Rabu, 29 Mei 2013

Tian Chua, Haris, Tamrin dan Safwan didakwa di bawah Akta Hasutan

TERKINI
Oleh Md Izwan

 Naib presiden PAS Salahuddin Ayub (kiri), cakap dengan media di luar mahkamah. Sebelah kiri beliau ialah peguam Gobind Singh Deo dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar. — Gambar oleh Saw Siow FengKUALA LUMPUR — Empat individu yang ditahan semalam oleh pihak polis telah didakwa hari ini dibawah Akta Hasutan 1948, beberapa hari selepas aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim didakwa dibawah akta sama.

Tiga diantaranya — Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar — ditahan semula oleh polis semalam beberapa hari selepas majistret enggan memberikan perintah reman untuk ketiga-tiga mereka, manakala seorang aktivis mahasiswa Safwan Anang turut ditahan petang semalam.

Individu tersebut yang didakwa dibawah Seksyen 4 (1) (b) mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di Majistret 1, Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.

Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000. Hakim Norsharidah Awang menetapkan 2 Julai 2012 sebagai tarikh perbicaraan.

Keempat-empat mereka didakwa kerana penglibatan memberikan ucapan berbentuk hasutan dalam sebuah forum pada 13 Mei lalu mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Dalam lampiran A yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya sebagai cubaan menghasut orang ramai ke jalan raya untuk menumbangkan kerajaan, pemimpin PKR Chua berkata, “Kalau rakyat sudah bersedia untuk bangkit, untuk turun ke jalan raya, setiap pemimpin baik kita Pakatan Rakyat atau sesiapapun, kita harus ikut”.

Seorang lagi pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Tamrin didakwa kerana mengeluarkan kata, “Kerajaan yang ada hari ini rampas kuasa rakyat, yang control mahkamah dia, control Suruhanjaya Pilihan Raya dia, dia control polis dan berbagai-bagai lagi. Bagaimana kita mahu menang di mahkamah? Saya juga bersetuju supaya kita turun ke jalan raya untuk menuntut hak kita.”

Aktivis politik Hishamuddin Rais, juga hadir di mahkamah. Dibawah Seksyen 4 (1) (b), jika disabitkan bersalah, keempat-empat mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, serta terdapat kemungkinan Chua juga bakal kehilangan kerusi Parlimennya di Batu.

Peguam memberitahu, Safwan menolak untuk dijamin dan akan dihantar ke penjara Sungai Buloh sehingga hari perbicaraan.

Sementara itu, awal pagi ini dilaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh berkata lima waran telah dikeluarkan terhadap keempat-empat individu tersebut yang ditahan semalam dan seorang lagi aktivis politik Hishamuddin Rais.

Hishamuddin yang gagal ditahan oleh pihak polis hadir di mahkamah pagi ini untuk menyerah diri selepas mengetahui tentang waran tersebut.

Hishamuddin juga dibebaskan dengan jumlah wang ikat jamin sama dan permohonan untuk mengurangkannya ditolak oleh hakim Norsharidah.

 Di luar mahkamah pagi 29 Mei 2013 (dari kiri) Haris Ibrahim, Tian Chua dan Tamrin Ghafar.Pada 24 Mei lalu, Tamrin, Haris dan Chua dibebaskan selepas ditahan semalaman oleh polis.
PR sebelum ini mengatakan penahanan merupakan tindakan keras secara nasional terhadap pemimpin pembangkang persekutuan.

Minggu lalu aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim ditahan kerana menghasut - terlibat dalam forum sama, dituduh menghasut rakyat Malaysia ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Pelajar berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan kes akan mula didengar pada 2 Julai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.