Rabu, 1 Mei 2013

Anwar mahu Husam 'buka pintu Putrajaya'

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika ditemui pada satu wawancara eksklusif di pejabatnya. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
PUTRAJAYA - Dengan semangat yang berkobar-kobar dan dilihat agak luar biasa, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru warga Putrajaya melakar sejarah membenamkan kerajaan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.

"Ini masanya untuk kita beri pengajaran kepada mereka.

"Rakyat yang akan beri mereka pelajaran, apa itu bankrap," katanya dalam perutusan khas hari pekerja, menjawab dakwaan dasar Pakatan Rakyat (PR) hanya akan memufliskan negara.

Ucapan Anwar bukan hanya menerima tepukan, laungan kata semangat penghuni Putrajaya diikuti sorakan gemuruh ribuan hadirin yang datang ke program ini.

"Tipulah macam mana pun, tapi kalau rakyat bangkit macam ini...," diikuti sekali lagi laungan "ubah" dari warga Putrajaya.
"Beri sokongan kepada calon kita, (Datuk) Husam Musa di Putrajaya," ungkap beliau lagi.

Dengan tempoh kempen yang masih berbaki empat hari sahaja lagi, Anwar dilihat menyuntik sepenuhnya iltizam kepada warga Putrajaya untuk membawa perubahan.

"Macam mana pun saya kena datang ke Putrajaya kerana kunci Putrajaya ada pada Husam," ujar Anwar lagi.

Anwar menekankan, jika peralihan kuasa berlaku, kerajaan PR akan memastikan nasib golongan penjawat awam khususnya akan terus terbela.

"50 tahun BN memerintah tidak nampak perubahan yang setimpal.

"Pendapatan mereka yang rendah itu terus mendatar. Tidak setimpal dengan pengorbanan dan kerja kuat," tambah beliau.

Malah dakwanya, di bawah pemerintah sekarang, kuasa penjawat awam juga turut terbatas.

"Masalah sekarang kuasa mereka direndahkan martabat. Ini harus diperbetulkan. Perkhidmatan mereka harus dihargai.

"Pertimbangan mereka selalu memihak kepada yang kaya sahaja," katanya.

Sementara itu, dalam Deklarasi Putrajaya untuk seluruh penjawat awam seluruh negara sempena Hari Pekerja, PR akan memperkenalkan bayaran gaji berasaskan bilangan minggu diikuti tambahan satu bulan pendapatan.

"Ia akan membolehkan penjawat awam menikmati tambahan sebulan gaji setahun atau 52 minggu setahun berbanding sistem sekarang hanya 48 minggu," deklarasi itu menyebut.

Selain itu, deklarasi turut mengandungi pinjaman perumahan tanpa faedah, pendidikan mesra penjawat awam, pencen pilihan, pertukaran dan penempatan penjawat awam berteraskan mesra keluarga dan elaun Cola tidak dipotong (RM150) bagi penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan di Putrajaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.