Rabu, 1 Mei 2013

PR sedia 'sarung jari getah' elak kertas undi rosak

JAMILAH HAMZAH

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) menyatakan akan menyediakan 'sarung jari getah' kepada pengundi sebagai langkah awal untuk mengelakkan undi rosak apabila dicalit dakwat kekal pada pilihan raya umum, 5 Mei ini.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, PR telah menyediakan 100,000 sarung jari getah di pondok-pondok panas perikatan itu untuk memudahkan pengundi mendapatkannya khususnya di kerusi Parlimen Pandan.

Beliau juga berkata langkah ini penting untuk memastikan dakwat kekal yang dicalit tersebut tidak mengenai kertas undi ketika proses buang undi berjalan.

"...kita takut nanti masuk dewan mengundi, kena calit, dakwat tak kering akan rosak kertas undi.

"Tolong beritahu semua pengundi sebelum mengundi, tolong ambil dulu sarung jari getah di pondok PR.

"Lepas kena calit dengan cat, pakai sarung baru tanda kertas undi, Insya-ALLAH tak kena kertas undi," katanya pada Ceramah Perdana PR, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga calon Parlimen Pandan turut menuntut pegawai tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya meletak jawatan ekoran kegagalan memastikan dakwat tersebut kekal pada tempoh yang telah ditetapkan.

Katanya, PR juga telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

"Hari ini (semalam), pergi mengundi untuk anggota keselamatan, yang datang bagi gambar bagi video adalah anggota keselamatan sendiri yang marah kerana SPR tipu rakyat, kalau pakai dettol dan pencuci tangan akan hilang.

"Sebelum kita buat laporan polis, bila kita tanya secara tak rasmi kepada SPR sebelum membuat laporan polis, kita tanya kenapa dakwat ini tak kekal?

"Jawapan SPR kata, ini semua salah pegawai SPR sebab tak goncang botol dahulu...saya nak tunggu pegawai itu saman saya sebab dia cakap off-record," katanya.

Dalam pada itu, difahamkan jika botol tersebut tidak digoncangkan terlebih dahulu akan menyebabkan dakwat tersebut tidak akan bercampur untuk mengekalkan sifat kekalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.