Itu keyakinan diperlihatkan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan ketika ditanya kesediaan dan persediaannya sekiranya dicalonkan pada PRU13 akan datang.
Baginya, semangat kemengangan itu tidak pernah luntur malahan terus membara sampai bila-bila.
“Tamat saja PRK, saya sudah mulakan persiapan untuk menghadapi PRU. Saya mengekalkan semangat dan momentum itu hingga ke hari ini,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan janji-janji yang diberikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada PRK lalu juga kebanyakan sudah selesai dan ada yang masih dalam proses penyelesaian.
Beliau mengambil contoh pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Buaya dan Projek Perumahan Kampung Hassan di Hulu Bernam yang masing-masing dalam proses penyelesaian.
Katanya, secara keseluruhannya tidak ada satu aspek pun yang tertinggal dan jika ada beliau mengakui terlepas pandang, namun tetap akan didekati dan diselesaikan.
Modal politik pembangkang.
Melihat kepada beban berpanjangan dialami pembeli-pembeli projek terbengkalai yang menjadi isu utama di Parlimen Hulu Selangor, Kamalanathan mengakui ada pihak yang menjadikan isu tersebut sebagai modal politik menjelang PRU13.
Bagi beliau, kesempatan itu sudah menjadi lumrah terutama pakatan pembangkang yang ketandusan isu.
“Sikap pembangkang, kalau ada masalah hasrat mereka bukan mahu menyelesaikan masalah tapi bagaimana boleh membesarkan masalah ini, mempolitikkan perkara ini supaya mereka dapat keuntungan politik. Kita tidak begitu.
“Kita membawa penyelesaian. Tapi apakah pendekatan Kerajaan Negeri Selangor, berapa banyak projek perumahan di negeri ini yang mereka pulihkan sepanjang memerintah?” katanya.
Menurutnya, antara sebab rakyat memberikan kepercayaan kepada pakatan pembangkang kerana mahu melihat perubahan yang dibawa, tetapi malangnya dalam tempoh empat tahun pakatan gagal membawa sebarang perubahan.
Katanya, berbeza dengan kerajaan BN dalam tempoh lebih dua tahun selepas PRK 2010 sudah banyak perubahan dan pembangunan dibawa ke daerah ini.
Kamalanathan berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menambah baik proses penyelesaian berkaitan projek terbengkalai di mana kerajaan telah membentangkan beberapa rang undang-undang yang baru agar pembeli dapat dipertahankan berbanding
pemaju.
Menurutnya, jika selama ini pemaju sering kali terlepas apabila sesuatu projek pembangunan gagal disiapkan di mana hanya syarikat di senarai hitam sedangkan pengarahnya terlepas, tetapi sekarang kerajaan mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap
pengarah yang terlibat.
“Kerajaan memberi syarat kepada pemaju sekiranya mereka mempunyai rekod buruk maka mereka tidak boleh laksanakan projek lain dan kita juga memastikan bahawa pemaju-pemaju perumahan menepati janji kepada pembeli.
“Kita akan pertahankan kuasa pembeli. Usaha kerajaan untuk memastikan pemaju lebih bertanggungjawab, menunjukkan komitmen dan lebih serius dalam pelaksanaan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan antara usaha lain kerajaan membangunkan semula projek terbengkalai adalah dengan membawa masuk pelabur ke daerah ini.
Menurutnya, langkah itu dilakukan melalui pengembangan bidang perindustrian, mewujudkan pelung-peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak ruang pendidikan.
Nilai diri, prestasi saya
Menurut Kamalanathan, segala pembangunan yang telah dibawa ke daerah ini dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini merupakan bukti pembaharuan atau transformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan BN.
Menurutnya, untuk memastikan lebih banyak pembaharuan di bawa, beliau memerlukan tempoh lebih panjang untuk berkhidmat.
“Kita ada perancangan dan kita telah buktikan dalam masa dua tahun ini dan masa yang singkat.
“Saya dengan kerjasama 100 peratus kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak membuat pembaharuan. Kita boleh buat banyak pembaharuan, berikan kita lagi kepercayaan, mandat satu lagi untuk mentadbir Hulu Selangor kerana kerajaan BN banyak
lagi perancangan untuk membangunkan Hulu Selangor,” katanya.
Hanya berbaki beberapa hari saja lagi sebelum medan PRU13 dibuka dan sudah pasti masa yang ada semakin suntuk.
Ketika ditanya bagaimana untuk beliau meyakinkan rakyat dalam tempoh berbaki ini, Kamalanathan dengan nada rendah menyatakan supaya rakyat membuat perbandingan dan menilai prestasinya selama ini.
“Apabila saya pergi berceramah politik di mana-mana pun, saya akan suruh mereka (rakyat) buat perbandingan, dua tahun zaman PKR dan dua tahun zaman BN.
“(Dalam ceramah) saya tidak akan menyentuh atau mencari kesalahan mereka. Saya hanya akan tanya dalam tempoh dua tahun apa yang telah mereka lakukan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan BN juga sedang melaksanakan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa, dalam cadangan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Serendah, klinik kesihatan di Bukit Sentosa dan pembinaan dua universiti di Serendah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.