SINAR HARIAN
NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang telah menyiapkan kertas siasatan
berhubung penahanan lapan individu termasuk doktor sebuah klinik swasta
dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan kes sindiket
penjualan bayi dan kanak-kanak.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kertas
siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya esok untuk
tindakan selanjutnya.
"Kertas siasatan kes itu sudah siap dan kita akan hantar esok dan kita
jangka keputusan untuk mendakwa mereka pada Jumaat ini," katanya kepada
pemberita selepas program Lawatan Ketua Polis Pulau Pinang ke Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jawi, di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata setakat ini polis menahan 36 individu, termasuk dua
tangkapan baru iaitu pasangan suami isteri berumur lingkungan 50an di
Bukit Mertajam serta menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur
tiga tahun.
"Dua puluh dua daripada mereka yang ditahan sudah dibebaskan dengan
ikat jamin mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah,"
katanya.
Khamis lepas, Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan
kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu
berumur antara 23 hingga 52 tahun.
Dalam serbuan di sebuah tempat persembunyian bayi dan kanak-kanak itu,
polis menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak berusia lapan
tahun.
Polis turut menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan pada Isnin
dan menahan pasangan suami isteri menjadikan jumlah tangkapan 36 orang
dan bayi serta kanak-kanak yang diselamatkan 10 orang.
Lima daripada yang ditahan sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth
25 Januari lepas sementara kesemua bayi dan kanak-kanak itu kini
diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.