Rabu, 27 Jun 2012

Pakatan sedia ambil alih semula Perak

Oleh V. Sivakumar




Pakatan Rakyat cukup yakin bahawa Barisan Nasional akan tumbang sekali lagi di Perak selepas BN kalah kali pertama dalam pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Dalam PRU13 akan datang, Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menang dengan majoriti kerusi yang lebih besar. BN telah membuat kesilapan besar merampas kuasa  rakyat di negeri Perak pada tahun 2009.

Politik kotor BN

Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Perlembagaan Persekutuan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah dibelakangkan  oleh BN dalam kerakusannya untuk berkuasa kembali.

Pelbagai muslihat dan politik kotor telah dilakukan oleh Barisan Nasional. Mereka telah memperalatkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mahkamah dan beberapa agensi kerajaan yang lain untuk merampas mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat.

BN juga telah merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan polis dan samseng. Selain daripada itu, politik wang juga telah digunakan untuk tumbangkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat. BN tidak menghormati sistem demokrasi yang berteraskan ‘kerajaan yang dipilih oleh rakyat’.  Kerajaan Perak yang ada hari ini adalah kerajaan yang ditentukan oleh mahkamah.

Rakyat Perak sedar akan semua tindak-tanduk BN dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Rakyat Perak tidak diberi peluang untuk menilai polisi-polisi dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Rakyat puas hati dengan 11 bulan PR Perak

Kerajaan pilihan rakyat hanya berkuasa selama 11 bulan. Tempoh itu adalah terlalu singkat untuk menentukan  sejauh manakah kecekapan dan keberkesanan kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan BN.  Sebelum Pakatan Rakyat dapat membuktikan kewibawaannya, kerajaan itu dirampas dengan cara yang tidak demokratik.

Rakyat Perak juga berpuas hati dengan beberapa polisi kerajaan Pakatan Rakyat Perak seperti geran kekal untuk kampung-kampung tersusun dan kampung-kampung baru di seluruh negeri. Banyak lagi polisi-polisi kebajikan yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Rakyat Perak merasakan bahawa BN tidak adil dan terlalu gila kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa. Sudah pasti rakyat Perak akan memberi satu pengajaran kepada BN dalam PRU13 nanti.

Krisis dalaman BN Perak

Tambahan pula, BN juga sudah hilang genggaman di Perak. Krisis dalaman UMNO, MCA dan MIC juga sudah memuncak kebelakangan ini.  Pemimpin-pemimpin mereka tahu bahawa BN akan tumbang sekali lagi di Perak.

Saya pasti Menteri Besar yang tidak dipilih oleh rakyat, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, juga  sedar bahawa keadaan BN hari ini seperti  ‘duduk dalam duri, bersandar di batang renggas’.

Pakatan Rakyat Perak sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan Perak bila-bila masa apabila pilihan raya umum diadakan. Pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat akan memberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan polisi-polisi yang berjiwa rakyat. 

Penulis adalah Timbalan Pengerusi DAP Perak merangkap ADUN Tronoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.