Rabu, 27 Jun 2012

Katanya… Tan Sri Khalid tak tahu berpolitik ?

Roketkini.com




Budaya politik di Malaysia, termasuk di Selangor, memang unik, banyak sekali ironis dan tak masuk akalnya. Dahulu, insan seperti Dr. Khir Toyo yang asalnya seorang doktor gigi tidak semena-mena menjadi orang yang sangat penting dan amat kaya dalam arena politik Malaysia khususnya dalam politik Selangor.

Siapa Khir Toyo

Manusia bernama Khir Toyo ini datangnya entah dari mana, kliniknya pun ramai orang tak tahu. Namun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri dengan beraninya telah melonjakkan ‘budak mentah’ ini ke jawatan paling penting dan panas sekali. Perlantikan itu sekali gus membuang jauh-jauh nama-nama ahli politik yang kanan pada ketika itu.

Suka atau tidak, rasional atau tidak, semua orang UMNO ketika itu terpaksa menelan bulat-bulat keputusan Tun M. Mereka beranggapan, Tun M lebih tahu apa tentang yang beliau buat, Tun M boleh ‘nampak’ masa depan. Inilah mitos orang-orang UMNO ke atas Tun M.

Tetapi tidak berapa lama kemudian, pemimpin pilihan Tun M inilah yang menjadi punca utama tersungkurnya kerajaan UMNO-BN di Selangor. Malah, pendedahan demi pendedahan telah dibuat mengenai kegiatan korupsi Khir Toyo yang selama ini terselindung di sebalik imej pemimpin Melayu yang bersih.

Kekayaan luar biasanya yang dikumpulnya sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor dalam tempoh 8 tahun sahaja membolehkan dia membina mahligai hebat seperti di Hollywood bernilai berpuluh juta ringgit. Tak tahu dari mana datangnya wang seperti itu kerana gaji asas Menteri Besar lebih kurang RM15,000 sebulan sahaja.

Kini Khir Toyo telah menjadi sejarah. Dia dijadikan kambing hitam oleh semua pemimpin UMNO. Tun M pula hanya melihat dari jauh orang pilihannya itu.

Siapa Tan Sri Khalid

Sekali pun Tun M tidak pernah mengaku silap membuat pilihan. Kini Tun M mendakwa pula Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan tersungkur di Selangor, gara-gara tidak tahu berpolitik seperti mana yang dibayangkannya.

Kita sedia maklum akan sikap Tun M ini, sungguh pun beliau sudah bersara, dia menganggap dirinya sahaja yang paling tahu dan paling hebat dari orang lain. Malah ramai orang tahu Perdana Menteri Najib Razak pun takut dengan Tun M.

Jika nak dibandingkan antara ketokohan dan kepimpinan antara Khir Toyo dengan Tan Sri Khalid, ia ibarat bumi dengan langit.

Tan Sri Khalid ini kita tahu dari mana dia datang, kita tahu reputasi dan pengalamannya dalam mengurus aset, organisasi dan kewangan, baik syarikat biasa mahu pun gergasi korporat. Walau pun ini ini semua bukan pengalaman politik kepartian, ia adalah pengalaman pengurusan, pentadbiran dan kecekapan.

Gagalkah kepimpinan yang prihatin rakyat?

Adakah kerana itu Tun M menganggap Tan Sri Khalid gagal memimpin pentadbiran negeri? Adakah Tan Sri Khalid dianggap gagal kerana berjaya memberi rakyat Selangor air percuma, memperkenalkan tender terbuka, menghapuskan surat sokongan dan kabel politik, memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat, dan meningkatkan syiar Islam di negeri?

Jika Tan Sri Khalid tak pandai bermuka-muka atau bersikap hipokrit ala sesetengah orang politik, apa salahnya. Biarlah begitu. Berbanding dengan Menteri-menteri Besar lain, beliau jauh lebih baik dari segi pentadbiran kerana pengalaman dan kecekapan serta keberkesanannya mentadbir negeri.

Memang ada baiknya apabila insan profesional dipilih menjadi pengurus atau ketua pentadbir; bila hatinya jujur, budaya korupsi bukan sahaja dapat dielak, malah dapat dikurangkan lagi dengan lebih berjaya. Biarlah Tun M dengan angan-angannya. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.