Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia menjawab mengenai pendedahan gambar Altantuya Shariibuu sewaktu berada di Perancis yang kini mula tersebar.
“Persoalan sama ada Altantuya pernah ke Perancis atau tidak, bukan isu penting. Apa yang penting, Najib perlu jawab apa peranan Altantuya dalam kes Scorpene,” katanya dihubungi Keadilan Daily.
Cynthia turut mempersoal isu dilaporkan media kononnya Altantuya tidak pernah memasuki Perancis berdasarkan rekod siasatan polis negara itu.
“Jika benar Altantuya tak pernah ke Perancis, mengapa namanya disebut-sebut dalam kes ini (Scorpene)? Kenapa dia dibunuh dengan kejam, diletupkan dengan harapan dapat menghilangkan kesan bukti? Apa yang mereka cuba sembunyikan?” tegas Cynthia.
“Memang mengikut undang-undang negara Eropah, hanya pada kemasukan kali pertama saja yang akan diperiksa. Contohnya, jika kita masuk dari London, selepas itu kita boleh pergi ke mana saja kerana pemeriksaan hanya di negara Eropah yang pertama, jadi tak mustahil sebab itu mengapa rekod Altantuya tiada di sana,” jelasnya.
Pada 2007, satu siri foto diberikan kepada Asia Sentinel oleh Syed Abdul Rahman Al-Habshi – bekas Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia yang menunjukkan Altantuya “sedang makan angin ke Eropah”, namun gambar-gambar itu dirahsiakan dan hanya didedahkan baru-baru ini.
Ianya dipercayai telah ditemui bersama barangan milik Altantuya selepas dia dibunuh, demikian menurut laporan Asia Sentinel dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘Who was Altantuya Shaariibuu?’ (‘Siapakah Altantuya Shaariibuu?’) tulisan John Berthelsen pada 5 Disember tahun tersebut.
Berthelsen, bekas wartawan Asia Wall Street Journal di Malaysia, berkata, keluarga Altantuya enggan mengulas lanjut mengenai gambar-gambar tersebut.
Bagaimanapun, April lalu, bapa Altantuya, Setev Shaariibuu memberitahu, satu sidang akhbar yang dianjurkan Suaram bahawa visa anak perempuannya itu ke Perancis, dikeluarkan di Kuala Lumpur atas nama “Amina Abdullah” dan anaknya itu sepatutnya memasuki Paris selepas terbang ke Jerman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.