Roketkini.com
GEORGETOWN – Hanya dengan menghayati dan mengamalkan ajaran agama yang mengajak kepada kasih sayang, perpaduan dan saling faham-memahami antara satu sama lain dapat meruntuhkan tembok perkauman.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan Aidilfitri hari ini berkata harapan beliau untuk Malaysia adalah untuk melihat semua rakyat mendapat pembelaan yang wajar dan adil dari kerajaan.
“Harapan saya ialah untuk melihat ibu-ibu tidak lagi menangis kerana melihat anak-anak kelaparan, bapa-bapa tidak lagi mengeluh kerana tidak mampu menyediakan keperluan keluarga, anak-anak tidak lagi kecewa kerana tidak mempunyai buku, pakaian dan barang permainan.
“Dan warga emas, ibu tunggal serta orang kurang upaya tidak lagi meratap kerana dipinggirkan oleh orang-orang yang menjadi tempat mereka menaruh harapan,” katanya.
Menurutnya, usaha meringankan beban rakyat, khususnya di Pulau Pinang, boleh dilihat dalam program sosial seperti penghapusan miskin tegar, penghargaan warga emas, sumbangan pelajar institute pengajian tinggi awam (IPTA) dan program anak emas, bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat dan para huffaz serta program kebajikan yang memakan perbelanjaan lebih RM40 juta setahun.
“Inilah erti Syawal yang saya harap dapat mengukuhkan semangat kita semua untuk tidak melupakan mereka yang amat memerlukan bantuan, sumbangan dan kasih sayang kita.
“Dengan sedikit tenaga dan keupayaan kurniaan Tuhan, kami telah dan akan terus berusaha untuk melaksanakan yang terbaik untuk semua, terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan.
“Marilah kita terus kekalkan kerajaan (Pakatan Rakyat) berjiwa rakyat yang martabatkan rakyat,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat terus berusaha menunaikan kewajipan kepada rakyat dengan urustadbir CAT – cekap, akauntabel dan telus – yang berlandaskan prinsip “amar maaruf nahi mungkar”.
Katanya, urus tadbir baik dan cekap ini telah pun mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan negara seperti oleh Laporan Ketua Audit Negara dan perunding dana kewangan Tan Siok Choo, yang juga merupakan anak kepada Tun Tan Siew Sin dan cucu kepada Sir Tan Cheng Lock, dua negarawan yang ulung.
Malah, menurutnya, Pulau Pinang baru-baru ini dipuji oleh majalah ekonomi antarabangsa “The Economist” dan Transparency International atas usaha melawan rasuah dan mengamalkan sistem tender terbuka.
“Pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba mainkan sentimen perkauman dengan momokan bahawa kontraktor Melayu akan rugi kerana tidak dapat berdaya saing dalam sistem tender terbuka.
“Hakikatnya ialah 100 peratus kontrak Jabatan Perairan & Saliran bernilai RM35.6 juta dan 99.5 peratus daripada kontrak JKR bernilai RM124.2 juta diberikan kepada kontraktor Melayu.
“Nyata sekali bukan kontraktor Melayu yang tidak dapat berdaya saing tetapi kontraktor bersifat kroni yang tak berguna. Inilah matlamat kerajaan Pakatan Rakyat berjiwa rakyat dengan martabatkan rakyat tanpa kira kaum, agama dan fahaman politik,” tambah beliau.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Adun Air Putih menjelaskan beliau sedar masih ada segelintir orang mahu menyempitkan ajaran Islam dengan memburukkan orang lain serta menimbulkan fitnah dan memainkan sentimen perkauman.
Namun, katanya, kerajaan negeri yakin bahawa Islam yang sebenar menggalakkan umat Islam untuk bersahabat dengan sesiapa sahaja yang berhati ikhlas secara penuh kasih sayang tanpa rasa curiga antara satu sama lain.
“Itulah sebabnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengulangi jaminan bahawa ia bukan anti-Cina, anti-Melayu atau anti-India tetapi hanya anti-rasuah sahaja,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.