SEPANG – Misi Aqsa2Gaza2 yang dianjurkan aktivis Aqsa Syarif berakhir sementara apabila 11 aktivisnya yang berangkat ke Gaza minggu lepas selamat kembali ke tanah air semalam.
Ketibaan mereka disambut ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang sebahagian besarnya masih belum pulang untuk berhari raya di kampung masing-masing.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum 9.00 pagi di sini, mereka terus diiring masuk ke bilik tetamu di tingkat lima untuk pertemuan dengan wakil-wakil media.
Setelah sidang media, para aktivis keluar seorang demi seorang dan disambut sebagai wira oleh hadirin yang menunggu di luar. Wajah kegembiraan dan rasa syukur terpancar di wajah terutama apabila bertemu isteri atau suami dan anak-anak yang ditinggalkan.
Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pentas khas di tingkat yang sama, ketua misi Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, Masjid al-Aqsa di Palestin, sebagaimana Masjid al-Haram di Makkah, adalah satu lagi bumi suci yang menjadi simbol penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
Kehadiran peserta A2G2 di Gaza mengutip seribu pengalaman unik penuh motivasi. Mereka terkejut disambut meriah oleh penduduk di sana dan menjadi tetamu kepada tidak kurang lima pihak berwajib tempatan.
“Kami dijemput bertemu Perdana Menteri Gaza Dr Ismail Haniyeh, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan ahli parlimen Gaza dan mengadakan perbincangan untuk meneruskan jaringan kerjasama seterusnya,” jelas Dr Zin yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif. Mesej beliau ialah misi A2G2 tidak berakhir di sini tetapi akan diteruskan dengan projek-projek yang telah dirancang bersama.
Sepanjang berada di sana, antara yang menarik dan mengharukanbeliau adalah melihat kecekalan perjuangan serta ketinggian akhlak warga Gaza yang tidak menunjukkan realiti kesusahan hidup. Mereka langsung tidak menunjukkan wajah terdesak mengharap bantuan dan simpati daripada luar, bahkan meraikan kedatangan aktivis Aqsa Syarif dengan hangat, seolah-olah tiada apa-apa berlaku berlaku di sekeliling mereka.
Pada hakikatnya, bak kata Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom sebelumnya, Gaza adalah bumi yang tidak pernah tenteram (daripada ancaman Israel).
Pandangan Dr Zin turut dikongsi oleh anggota misi lain yang tidak dapat melupakan kehangatan tangan penduduk Gaza menyambut dan melayani mereka.
Seorang peserta wanita, Noorazian Anidin dalam nada sebak sempat menyampaikan salam kasih sayang daripada para ibu dan anak-anak Gaza buat seluruh rakyat Malaysia.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan yang menyokong dari jauh. Pemergian saya ke Gaza memberi keyakinan dan motivasi yang kuat untuk terus memperjuangkan bumi al-Aqsa,” katanya disambut laungan takbir daripada yang hadir.
Peserta paling veteran, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman, 61, secara berseloroh melontarkan cabaran kepada hadirin, “Insya-Allah dengan kembalinya saya pada hari ini, tiada alasan bagi anda semua, khususnya yang berumur bawah 61 tahun untuk menyertai Aqsa2Gaza seterusnya!”
Turut berucap adalah Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Nor yang menggelarkan ahli keluarga peserta A2G2 sebagai wira sebenar kerana menurutnya, bukan senang untuk melepaskan pemergian peserta ke satu bumi bergolak yang penuh dengan risiko kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.