Selasa, 30 Ogos 2011

Antara propaganda dan fitnah

Oleh Daing Yahya


Sebagai ejen propaganda, media massa seperti lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia atau media milik rakyat yang dikongkong oleh kerajaan Barisan Nasional, iaitu RTM dan media kawalan BN seperti Media Prima yang menguasai TV3, Berita Harian dan New Straits Times, kerja mereka adalah memanipulasi berita atau maklumat bagi tujuan laba politik.

Dengan menyamar sebagai media massa yang mana lessen penerbitan ditentukan oleh UMNO-BN, memang itulah kerja-kerja politik versi 1Malaysia.

Walau pun definisi propaganda itu adalah usaha memujuk orang ramai menyokong sesuatu pihak, bentuk propaganda yang dipilih oleh versi 1Malaysia ini hanya ada sejenis, iaitu fitnah.

Apa itu propaganda

Pada hakikatnya, propaganda adalah satu manifestasi kerja memanipulasi data atau fakta, baik nombor, ayat, frasa atau gerak-geri pelaku yang ianya digunakan untuk mempengaruhi sokongan umum menerusi persepsi.

Ia dilakukan secara sistematik dengan koordinasi yang cekap dan dengan penglibatan banyak pihak, baik secara profesional atau pun tidak. Matlamatnya ialah untuk terus kekal berkuasa atau mendapatkan kuasa.

Kerja memanipulasi data adalah kerja orang bijak pandai dan pakar dalam bidang tertentu, baik politik, sosial atau ekonomi. Manipulator atau propagandis bukan orang yang tidak bijak, mereka ini rajin membaca, mahir menganalisa dan faham tentang ramalan atau jangkaan kepada sesuatu tindakan.

Ini bermakna propaganda bukan kerja seorang pengampu yang gila glamor atau contract junkies atau pemfitnah yang jahil dalam segala ilmu pengetahuan.

Di Malaysia, inilah jenis propaganda yang menjadi pilihan UMNO-BN yang sengaja memilih untuk menjadi pemfitnah. Kerja menfitnah ini amat mudah berbanding kerja seorang propagandis terlatih yang wajib membaca dan menganalisa sesuatu bahan dengan mendalam.

Kerja menfitnah hanya memerlukan niat dan kreativiti untuk menyalin, menyunting, menampal dan menuduh seseorang secara sembrono. Kemudian, hasil kreativiti yang tidak lengkap ini akan digembar-gemburkan menerusi imej-imej panas atau sensasi di media mereka.

Memang dalam jangka pendek, fitnah busuk ini mungkin berjaya. Tetapi setelah kekal berkuasa atau mendapat kuasa melalui fitnah, pemerintah akan berhadapan dengan masalah sentimen dan kemarahan rakyat yang telah mereka api-apikan.

Lihat sahaja apa yang telah dan sedang berlaku di bumi Arab sekarang. Kenang semula apa yang berlaku di Soviet Union dan negara-negara satelit komunis pada zaman kejatuhan komunisme. Semua ini bencana fitnah sebagai propaganda.

Impian sebagai propaganda

Salah satu model propaganda yang tersusun yang boleh dijadikan contoh ialah sewaktu era Presiden Franklin D. Roosevelt sewaktu Amerika Syarikat menghadapi Perang Dunia Kedua (1939-45). Pada ketika itu kerajaan Amerika menggunakan agensi kerajaan, penulis dan karyawan, pembikin filem Hollywood, stesen radio dan media cetak untuk meyakinkan rakyat bahawa peperangan menentang Jerman Nazi dan Jepun adalah untuk survival hidup mereka demi mengekalkan cara hidup Amerika.

Cara hidup Amerika ini yang dikenali sebagai The American Dream benar-benar terkesan di jiwa rakyat negara itu yang semuanya dari keturunan imigran dari seluruh dunia.

Mereka mengisi makna itu sebagai cara hidup yang ideal, bebas dan merdeka berbanding sistem fasis, komunis dan lain-lain yang bersifat kuku besi yang mengekang kebebasan dan menindas.

Mesej untuk rakyat Amerika ialah idea cara hidup Amerika yang dianggap murni itu perlu dipertahankan dengan menghantar anak-anak muda Amerika pergi berperang di Eropah menentang tentera Nazi dan fasis Musolini dan kawasan Asia Pasifik untuk menumpaskan Jepun.

Bahan-bahan propaganda ini diteliti oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut. Ia melibatkan karyawan seni, penulis dan pengkritik dalam semua bidang. Sekali pun propaganda mereka tidak dapat lari elemen palsu dan fitnah, asas propaganda itu tetap ada justifikasi dan logiknya. Dengan makna lain, mereka bukan hentam keromo.

Jika boleh dibuat perbandingan di antara propaganda Amerika dengan propaganda Adolf Hitler, amat jauh dari segi kualitinya. Walau pun Hitler dikatakan pakar propaganda pada awal pemerintahannya sepanjang 1930-an, apabila Jerman mula menghadapi serangan balas tentera Bersekutu dan gerila rakyat Eropah sekitar 1943, pihak Nazi mula menggelabah.

Fitnah sebagai propaganda

Rata-rata propaganda Nazi tidak masuk akal, simplistik dan tidak ada asas-asas rasional yang kuat.

Propaganda Hitler lebih menyerupai kerja pembohongan dan fitnah.

Nazi mendakwa kaum Yahudi menjadi penyebab orang Jerman tidak maju, mahu merampas hak kulit putih dan sebagainya. Apabila Hitler mendapat kuasa pada 1933, jumlah penduduk Jerman ialah 66 juta sedangkan rakyat berketurunan Yahudi hanyalah 500,000 atau 0.008 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu.

Untuk membangkitkan kebencian Jerman terhadap Yahudi, dakwaan itu disertakan dengan pelbagai slogan termasuk propaganda bahawa hanya kaum kulit putih keturunan Arya yang menjadi tuan di bumi Jerman.

Apabila sebahagian rakyat Jerman mula percaya dengan slogan ketuanan kulit putih ini, ia memudahkan Hitler dan Nazi untuk meminggir dan menindas kaum Yahudi. Mulanya harta mereka dirampas, mereka diasingkan daripada mendatangi tempat-tempat yang dikhususkan untuk kulit putih dan pelbagai bentuk penindasan lain.

Apabila sebahagian besar rakyat Jerman sudah cukup benci dengan Yahudi kerana termakan fitnah dan yakin dengan propaganda bahawa merekalah bangsa tuan di bumi sendiri, mereka memejamkan mata apabila Hitler dan Nazi mula menyembelih kaum Yahudi secara beramai-ramai; semua ini dilakukan atas dasar ‘kewajipan’.

Kita dapat lihat dengan jelas ke mana arah tujuan hasil dari dari kerja fitnah ini. Sedangkan ia bermula dari fitnah yang dianggap kecil dan tidak logik. Daripada sekadar memecahkan tingkap kedai orang Yahudi pada tahun-tahun 1930-an, Jerman Nazi dikatakan telah membunuh 6 juta Yahudi termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua sehingga akhir perang dunia pada 1945.

Bukan Yahudi sahaja yang disembelih dan dibunuh, kaum-kaum lain juga menjadi korban Nazi atas dasar ketuanan mulia kulit putih Jerman. Lebih lima juta lagi kaum bukan Yahudi dibunuh Nazi termasuk kaum kulit putih Poland, Gypsy, orang cacat dan sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai kaum yang rendah taraf.

Inilah bahana propaganda fitnah.

Hala tuju propaganda UMNO

Dengan itu juga mungkin kita dapat menganalisa ke mana hala tuju propaganda fitnah UMNO ini.

* Logikkah di Malaysia yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam untuk mengatakan DAP sebagai sebuah parti dengan jumlah keahlian kecil begitu berani dan bijak hingga mahu menukar agama orang-orang Melayu menjadi Kristian? Adakah ini cita-cita utama DAP yang terkenal sebagai parti demokrasi sekular?

* Logikkah DAP sebagai parti demokrasi sekular mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian?

* Logikkah DAP sebagai parti demokrasi sosial yang menerima pasaran bebas dengan pemantauan kerajaan bagi memastikan pekerja dan rakyat sentiasa dilindungi, ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara komunis? Di mana logik DAP yang menentang komunisme yang anti-kebebasan dan anti-perniagaan mahu mewujudkan sistem yang ditentangnya sendiri?

* Logikkkah DAP dituduh cauvinis, perkauman dan mementingkan satu kaum sedangkan DAP adalah parti pelbagai kaum dan anti-perkauman? Sedangkan yang sering membuat fitnah itu datangnya dari parti yang hanya mementingkan satu kaum, mahu kepada ketuanan kaum.

Jika pembuat fitnah itu semua mahu menjadi propagandis yang berjaya, dicadangkan mereka meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk membaca buku-buku yang diiktiraf dunia supaya mereka lebih faham apa itu idea sekular, demokrasi sekular, demokrasi sosial, negara Islam, negara Kristian, komunis dan komunisme, serta makna sebenar cauvinis dan perkauman.

Apakah mereka lupa bahawa PAP pimpinan Lee Kuan Yew (yang mana PAP sering dikaitkan dengan DAP) telah bersekongkol dengan UMNO yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman untuk menghancurkan gerakan komunis di Malaya dan Singapura dahulu?

Bawa-bawalah beristighfar, ada banyak lagi perkara yang penting ingin DAP dan Pakatan Rakyat lakukan di Malaysia ini. Memperbaiki pentadbiran negara, memulihkan dasar ekonomi, menyuburkan demokrasi dan kebebasan serta memastikan pelaksanaan keadilan menjadi keutamaan DAP, PAS dan PKR.

Janganlah kerana tidak mampu untuk lakukan ini semua, dicari jalan mudah dengan menabur fitnah yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Apa guna mendapat kuasa jika rakyat hidup melarat, benci-membenci, malah bunuh-membunuh antara satu sama lain?

Hentikanlah kerja-kerja fitnah terutamanya jika pemfitnah itu mengaku diri manusia beragama. Semua orang sudah beragama, apa perlu sibuk-sibuk hendak menukar agama orang lain. Membuka hati itu bukan kerja manusia. Hanya Tuhan yang menentukan. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.