Oleh Muhammad Zir
Kejayaan pihak pentadbiran mahkamah patut dipuji atas pencapaian membanggakan iaitu bilangan kes sivil yang tertunggak di Mahkamah Tinggi dapat dikurangkan daripada 44,873 kes pada tahun 2009 kepada hanya 5,309 kes pada 2011.
Jika dinilai prestasi ini, memang ianya satu pencapaian yang baik sekali.
Kita dapat lihat dengan jelas bahawa, jika kakitangan yang profesional diberi ruang peranan yang kondusif serta sistem kerja yang bebas dari tekanan pihak legislatife dan eksekutif, mereka mampu melaksanakan tugas dan seterusnya mencapai kejayaan dalam urus tadbir perundangan.
Bayangkan jika etika dan profesionalisme ini dipupuk dan dikekalkan semenjak kita merdeka 54 tahun yang lalu, pasti kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dapat diurus dengan cekap dan baik.
Imej badan kehakiman kita pula akan terus dipandang mulia dan dihormati, lebih-lebih lagi kepada masyarakat kita.
Jika semua ini kita kekalkan sejak dahulu, sudah pasti kita tidak akan mendengar lagi rungutan tentang ketidakadilan dan kelemahan sistem perundangan, baik yang melibatkan kalangan orang-orang politik, institusi awam seperti PDRM, SPRM dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.
Peniaga dan para pelabur akan lebih yakin dengan sistem kita, maka sudah tentu mereka dengan senang hati berani untuk melabur di Malaysia. Sudah tentu ekonomi kita yang lembap seperti hari ini berjaya diimbang kembali.
Hasil dari semua ini, sudah tentu pada akhirnya rakyat juga yang mendapat faedah. Inilah yang dinamakan kemakmuran.
Dalam pujian dan pencapaian yang bagus ini, apatah lagi sempena Ramadhan dan menjelasng Syawal, kita tidak harus terlalu teruja dengan jumlah pencapaian itu.
Ya, benar ia suatu pencapaian, tetapi itu dari segi kuantiti. Cabaran sebenar atau cabaran yang lebih utama adalah kualiti.
Selain kita mengejar jumlah kuantiti, jangan sekali-kali kita terleka hingga melupakan kualiti sistem perundangan kita.
Kes-kes berprofil tinggi seperti skandal PKFZ, pita Linggam, kes kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini serta adik Aminurashid dan Kugan hinggalah kepada kes Anwar Ibrahim, harus ditangani dengan lebih objektif, telus dan adil.
Kes-kes ini bukan sekadar mengharapkan ianya cepat diselesaikan, malah masyarakat mahu ia dilihat adil dan bukan pendakwaan dan perbicaraan terpilih.
Selain dari jumlah penyelesaian kes yang perlu ditingkatkan, kualiti hakim juga harus ditingkatkan.
Bukan sekadar mengatakan hakim kita bersih tetapi ia harus dilihat bersih oleh umum. Persepsi ini harus dibina dan diusahakan dengan gigih oleh semua pihak lebih-lebih lagi pihak badan pengurusan perundangan kita.
Kita akui, tugas hakim bukanlah tugas yang mudah. Jika akta yang dibentang dan diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini mengenai pencen penuh untuk hakim itu boleh meningkatkan kualiti hakim dan badan kehakiman kita, masakan kita ingin menolaknya.
Justeru, kita sebagai rakyat selain ingin mengucapkan tahniah kepada badan kehakiman dan perundangan, ingin sekali kita mengharapkan bahawa jangan sekali-kali kita mengabaikan kualiti hakim dan badan kehakiman kita.
Jika kuih-muih sempena Syawal banyak tetapi harganya mahal dan rasanya tidak enak, tentu kita rasa kurang senang. Samalah dengan pilihan tanpa tanggungjawab.Kuasa memilih beraneka jenis kuih raya itu banyak, tetapi hasilnya amat mengecewakan. Jangan badan kehakiman kita pula menjadi seperti kuih raya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.