BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibenar membuat pindaan dalam pembelaannya pada kes saman yang difailkan oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan berhubung siasatan insiden mata lebam Ketua Pembangkang itu pada 1998.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, A.Kaveeta dalam kamar.
Peguam Anwar, S.N.Nair memberitahu pemberita bahawa anak guamnya itu akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.
Anwar membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis kontingen Selangor pada 1 Julai, 2008 mendakwa Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan kes kerangan fizikal terhadapnya oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim
Noor, pada 1998.
Musa dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 21 Julai 2008 mendakwa tuduhan itu adalah tidak berasas dan tidak benar dan telah menjejaskan reputasi, imej, ketulusan dan nama baiknya terjejas di kalangan masyarakat umum dan dalam kapasiti profesional beliau.
Beliau menafikan berkomplot mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta Anwar berhubung insiden serangan itu daripada masyarakat umum.
KPN nafi salahgunakan kuasanya
Beliau juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat terhadap Anwar.
Musa berkata Anwar telah secara berniat jahat membuat laporan polis itu terhadapnya dan Abdul Gani selepas menghadapi tuduhan liwat.
Ketua Polis Negara itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah sebanyak lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh Mahkamah.
Jumlah ganti rugi tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutannya.
Selain ganti rugi, Musa juga memohon satu perintah injunksi menghalang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu atau ejennya daripada mengulangi menerbit perkataan-perkataan berunsur fitnah tersebut.
Anwar dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 24 Okt 2008 berkata laporan polis dibuat adalah bersifat perlindungan mutlak dan justifikasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.