BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah, hari ini diisytihar sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong.
Watikah perisytiharan itu dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu istiadat di Istana Darul Aman, Jalan Kedah, Bukit Persekutuan di sini.
Baginda kemudiannya menandatangani watikah perisytiharan bagi menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong selama sebulan.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual menjalani rawatan fisioterapi selama 21 hari di Medical Park, St.Hubertus, Bad Wiessee, Jerman.
Sultan Abdul Halim, yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959, adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 September 1970 sehingga 20 September 1975.
Istiadat hari ini turut dihadiri puteri baginda, Tunku Panglima Besar Datuk Seri Puteri Intan Safinaz, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa anggota Jemaah Menteri.
Terdahulu, Sultan Abdul Halim dan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun, tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 11 pagi bagi menghadiri istiadat itu.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Najib dan Rosmah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.