Selasa, 26 Januari 2010

Saman RM546 juta terhadap BN didengar 10 Mei

BERNAMA



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan lima hari bermula 10 Mei untuk mendengar saman RM546 juta terhadap Barisan Nasional (BN) oleh sebuah syarikat pengiklanan papan iklan kerana menamatkan kontrak papan iklan.

Timbalan Pendaftar Nur Yusliana Yusoff menetapkan tarikh itu setelah peguam BN, Abu Bakar Isa Ramat berbincang dengan peguam Syarikat Pentas Permata Sdn Bhd (PPSB) Catherine Durai dalam kamar.

Nur Yusliana juga menetapkan 18 Mac untuk berbincang dengan kedua-dua pihak untuk pengurusan kes akhir.

Saman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Komersial (Hakim Mahkamah Dagang) Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Syarikat Pentas Permata memfailkan saman itu pada 7 Dis, 2007, terhadap BN kerana menamatkan kontrak bertarikh 5 Jan, 2006 untuk membekal dan memasang papan iklan pengiklanan di kawasan terbuka bagi mempromosikan BN bagi pilihan raya umum akan datang.

Syarikat itu, yang dilantik sebagai ejen untuk memasang papan iklan tersebut untuk BN, menamakan BN yang diwakili pada ketika itu setiausaha kerjanya Datuk Yaakob Mohammad sebagai defendan.

PPSB dalam pernyataan tuntutan, antara lain mendakwa bahawa menurut kontrak itu, BN berhak menamatkannya pada bila-bila masa dalam masa enam bulan ketika ia ditandatangani tetapi notis penamatan kontrak tersebut dikeluarkan selepas enam bulan.

Syarikat itu mendakwa bahawa ia mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM546,552,800 akibat tindakan itu dan memohon amaun pembayaran balik, kos, faedah dan relif lain yang wajar diputuskan mahkamah.

BN dalam jawapan afidavitnya mendakwa bahawa penamatan kontrak itu adalah sah kerana PPSB gagal menunjukkan sebarang kemajuan dalam tugas-tugasnya yang perlu dilaksanakan seperti dalam terma kontrak.

Ia menambah bahawa BN bukanlah pihak yang bersalah untuk disaman dan saluran betul ialah menerusi setiausaha kerjanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.