UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) hari ini mendesak Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melepaskan portfolio Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ekoran kenyataan beliau yang didakwa mencemarkan imej pemandu teksi.
Presidennya, Azmi Md. Yatin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga perlu memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang mengatakan bahawa sikap pemandu teksi lebih teruk daripada jamban.
''Kami seluruh pemandu teksi tidak dapat menerima kenyataan kurang ajar daripada seorang pemimpin yang meletakkan taraf pemandu teksi di tahap begitu menjijikkan.
''Semua perkara itu terdapat di dalam memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar beliau dapat campur tangan dalam hal ini serta mengkaji kembali kedudukan pemimpin yang bermulut celupar itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan bagi mendesak Mohamed Nazri meletak jawatan kepada Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Kamarudin Hassan.
Turut memberi sokongan di dalam memorandum itu Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) dan Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Melaka-KLIA.
Baru-baru ini, Nazri mendakwa, pelancong asing tidak begitu selesa dengan perkhidmatan teksi di negara ini.
Dalam pada itu, Azmi menegaskan, sekiranya Nazri enggan memohon maaf, seluruh pemandu teksi di bawah persatuan tersebut akan melancarkan protes dengan meletakkan teksi di hadapan rumahnya.
''Kami juga akan memohon untuk berjumpa dengan Najib dan berharap memorandum hari ini dapat dinilai dalam masa sebulan,'' katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Mohamed Nazri telah gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang memegang portfolio LPKP.
''Berbanding menteri terdahulu, Mohamed Nazri dilihat lebih suka mencari kesalahan kami dan bukannya memikirkan jalan meningkatkan imej perkhidmatan teksi di negara ini.
''Pernah juga beliau melabelkan pemandu teksi sebagai 'wayar putus' semasa sesi perbincangan mengenai pengambilan pemandu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,'' katanya.
Tambahnya, sikap Mohamed Nazri itu boleh merosakkan pandangan serta sokongan pemandu teksi terhadap kerajaan untuk jangka panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.