Sabtu, 12 Disember 2009

Faizal AF4 mengaku sudah berkahwin

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Teka-teki tentang status penyanyi dan pelakon, Mohd. Faizal Ramly, 25, yang juga juara program realiti terkenal Akademi Fantasia musim keempat (AF4) berakhir hari ini apabila beliau mengaku sudah berkahwin.

Faizal yang ditemui pada majlis tayangan amal filem terbaru lakonannya, Pulau Asmara di TGV KLCC di sini memberitahu, dia telah menamatkan zaman bujangnya pada 12 Februari lalu dengan gadis pilihan hati yang berasal dari Temerloh pada satu majlis ringkas di Terengganu.

"Ya, saya mengaku sudah berkahwin. Saya tak mahu tipu sesiapa sebab itu saya perlu jujur mengakuinya.

"Saya tidak mahu menafikan kerana saya faham perasaan seorang isteri jika suaminya menafikan tentang status perkahwinan," kata Faizal yang telah dua tahun mengenali isterinya itu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Lihatlah itu menafikan bahawa dia merahsiakan perkahwinannya gara-gara ditangkap basah tidak lama dahulu.

"Saya tiada niat merahsiakan perkahwinan tersebut bagaimanapun, saya berdiam kerana tiada sesiapa yang bertanya kepada saya.

"Terus-terang memang saya sudah berkahwin tetapi sumpah, peristiwa tangkap basah tidak pernah berlaku," kata artis sulung di bawah pengurusan Alakazam Productions itu.

Dengan pengakuan itu, Faizal memohon agar kisah perkahwinannya tidak lagi digembar-gemburkan dan menjadi perhatian ramai selepas ini.

Isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais merasmikan tayangan amal filem tersebut.

Filem yang menelan belanja RM1.3 juta itu bakal memulakan tayangannya di pawagam pada 17 Disember ini.

Pengerusi Eksekutif Snap Productions Sdn. Bhd., Datuk Alexander I, ketika ditemui memberitahu, wang yang dikumpul daripada tayangan amal tersebut bakal disalurkan kepada badan-badan kebajikan sekitar ibu kota termasuk persatuan kanser dan kurang upaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.