UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan tiga individu didakwa dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semalam, bukanlah merupakan 'kambing hitam'.
Beliau berkata, sebaliknya siasatan kes itu masih berjalan dengan lebih ramai akan didakwa dalam masa terdekat termasuk 'jerung'.
Ditanya sama ada membabitkan ahli politik, beliau enggan mengulas kerana bimbang mengganggu siasatan.
''Ramai lagi yang akan didakwa, semuanya tidak akan terlepas. Biar apa orang nak cakap (dakwaan 'kambing hitam'), siasatan tetap akan diteruskan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas sebuah artikel dalam portal berita Malaysiakini hari ini yang mendakwa tiga individu yang didakwa berhubung skandal PKFZ hanyalah 'kambing hitam' untuk menyelamatkan orang kenamaan dalam kerajaan.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, lebih ramai lagi individu termasuk 'jerung' akan didakwa dalam masa terdekat berkaitan skandal PKFZ.
''Ini baru permulaan, apa yang telah diselesaikan (siasatan) akan diteruskan untuk kesalahan-kesalahan lain.
''Bukan bermakna dengan mendakwa tiga atau empat orang ini maka kes tutup,'' katanya.
Katanya, selain tiga individu itu, jurutera Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Law Jenn Dong juga akan dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.