Ahad, 27 Disember 2009

Ketua Polis Selangor Dicabar Letak Jawatan

Malaysian Insider


DAP Pulau Pinang menyifatkan “polis begitu tergesa-gesa” untuk membuat laporan, sekali gus mahu menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) kononnya beliau telah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, Sabtu lalu.

“Mengapa polis begitu tergesa-gesa untuk membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng? “Jikalau apa yang dinyatakan oleh Lim sememangnya berbaur hasutan, takkanlah kita perlu menunggu giliran pihak polis untuk membuat laporan sendiri supaya siasatan polis boleh dilakukan ke atas Lim?’ kata setiausaha publisiti DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dengan mendakwa Teoh Beng Hock, bekaas setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, “dibunuh” ketika berucap pada konvensyen sulung Pakatan Rakyat di Shah Alam.

Ng berkata perkembangan itu menunjukkan pihak polis telah membelakangi profesionalisme mereka sehingga terpasa membuat “laporan sendiri, membuat tafsiran sendiri serta menjalankan siasatan sendiri tanpa pihak-pihak lain yang membuat laporan polis terhadap Lim.”

Sehubungan itu tegas Ng, pihaknya ingin mencabar Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan serta-merta untuk memasuki politik dan bukan sekadar melaksanakan agenda-agenda politik yang digariskan oleh pihak atasannya dengan pandai-pandai menggunakan kuasa sebagai seorang ketua polis negeri.

“Datuk Khalid Abu Bakar berkata bahawa tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas. “Namun demikian, ini juga bukan tanggungjawab polis untuk membuat tafsiran sendiri bagi mengenal pasti sama ada kenyataan Lim berasas sebelum inkues yang diketuai oleh seorang koroner dapat membuat kesimpulannya terhadap kes kematian Teoh Beng Hock,” katanya.

Inkues mencari punca kematian Teoh itu akan disambung awal bulan depan.

Ng juga mendakwa pihak polis hanya berminat untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin bukan Barisan Nasional (BN), bukannya pemimpin-pemimpin BN seperti Datuk Ahmad Ismail, bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera yang telah melabelkan kaum-kaum tertentu sebagai “pendatang” ke negara ini.

“Sebagai salah seorang pengadu yang membuat laporan polis terhadap Datuk Ahmad Ismail, saya pernah menghantar surat bertarikh 1 Mac 2009 kepada Peguam Negara supaya dimaklumkan perkembangan kes tersebut.

“Namun, tiada sebarang jawapan diberikan sehingga hari ini,” katanya.

Sehubungan itu Ng menambah DAP Pulau Pinang dan seluruh pemimpin dan ahli parti itu akan memberi sokongan kuat terhadap Lim supaya tidak tunduk terhadap “kuasa-kuasa yang jahat.”

“Meskipun pihak polis dapat menutup mulut Lim dengan siasatan di bawah Akta Hasutan, namun mulut-mulut bagi seluruh rakyat yang mengejar keadilan tidak mungkin dapat ditutup oleh tindakan polis tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.