Ahad, 27 Disember 2009

Inikah Idola Remaja, 3.15 pagi masih berlibur?

SABAH DAILY / MSTAR

Berikutan penahanan seorang pelakon dan pengacara lelaki berusia 28 tahun pada awal pagi, timbul desas-desus mengatakan artis terbabit adalah Awal Ashaari.

Menurut sumber yang berada di tempat kejadian, Awal disahkan antara 21 orang yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan tanpa lesen di bumbung sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini.

Artis itu ditahan kerana enggan menjalani ujian air kencing dalam serbuan pukul 3.15 pagi itu.

Difahamkan, pelakon Scha Al-Yahya dan Juliana Evans turut berada di pusat hiburan berkenaan. Namun mereka dibebaskan setelah ujian air kencing yang dijalankan didapati negatif.

Bagaimanapun Pengurus Awal, Azlina Merican yang dihubungi berkata, dia amat terkejut dengan berita itu dan menafikan sekeras-kerasnya Awal terbabit dengan kes tersebut.

“Saya terkejut dengan berita itu. Saya pun baru dimaklumkan oleh seorang teman sebentar tadi namun berita ini tidak berasas sama sekali.

“Apa yang saya boleh katakan, artis itu memang bukan Awal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Supritendan Sharifah Hawariah Syed Idrus ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara tersebut namun tidak menafikan bahawa Awal terbabit dalam serbuan itu.

Usaha untuk menghubungi Awal, Scha dan Juliana bagaimanapun menemui jalan buntu apabila mereka tidak menjawab panggilan.

Selain mereka bertiga, dua lagi artis lelaki, kedua-duanya berumur 40-an, dibebaskan selepas ujian air kencing mereka didapati negatif dadah dalam serbuan.

Terdahulu, Sharifah Hawariah berkata, pusat hiburan yang terletak di tingkat lapan itu didapati beroperasi tanpa lesen sejak lebih enam bulan lalu pada setiap malam sehingga pukul 6 pagi.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur manakala mereka yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.

Bagaimanapun, Awal kemudiannya dibebaskan setelah hasil ujian kencing didapati negatif. -Mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.