Ahad, 27 Disember 2009

Blogger Disaran Boikot KFC?

Oleh: HAMBALI MALI (sabahkini)


PARA blogger di Sabah disaran memboikot Kentucky Fried Chicken (KFC) kerana menafikan peranan para blogger dalam pembangunan negara dan Dasar Multimedia Negara kerana ‘mematikan wifi’ pada cuti umum dan hujung minggu.

Presiden Persatuan Blogger Sabah (PBS), Mutalib M.D ketika dihubungi Sabahkini.net berkata sebagai sebuah restoran yang mendapat taraf ‘Restoran Keluarga’ tidak sewajarnya menutup premis mereka kepada para ‘Blogger’ yang memerlukan wifi sekalipun KFC menyediakan notis kecil mengatakan bahawa Wifi tidak disediakan pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ada baiknya jika ianya tidak menawarkan wifi sekaligus daripada ‘menghalau’ para Blogger pada hujung minggu dan cuti umum. Apakah apabila restoran mereka kosong pada hari biasa, maka mereka memerlukan para blogger meramaikan restoran mereka. Apabila mereka mempunyai pelanggan yang ramai, maka mereka menutup pintu kepada para blogger?” tanya Mutalib sebagai mengulas aduan seorang pelanggan KFC di Bornion Centre, Luyang yang mengadu bahawa wifi dimatikan apabila beliau sedang asyik melayari internet lebih kurang jam 11.30 pagi Krismas.

Menurut aduan yang beliau terima, kata Mutalib, pelanggan tersebut merupakan salah seorang Blogger muda yang berdaftar secara online dengan Persatuan Blogger Sabah (PBS) yang dipautkan di portal Sabahkini.net.

Mutalib menegaskan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) sewajarnya menarik balik pengiktirafan ‘Restoran Keluarga’ dan sebarang kempen yang melibatkan KFC kerana berniat ‘menipu pengguna’ melalui tindakan ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’.

KFC sewajarnya mencontohi McDonald, kata Mutalib, yang bukan sahaja menyediakan wifi 24 jam, malah menyediakan soket untuk mengecas ‘lap top’ secara percuma kepada pelanggan tanpa mengenakan sebarang sekatan.

“Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar bagi membolehkan rakyat Malaysia dapat melayari dan menggunakan perkhidmatan IT secara telus dan tidak disekat terutama pada cuti umum dan hujung minggu di mana-mana premis perniagaan yang menawarkan wifi,” ujar Mutalib yang menggesa agar Dewan Bandaraya dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenakan syarat menyediakan wifi sepenuh masa bagi restoran keluarga tanpa sebarang sekatan atau had masa tertentu.

Jika sebelum ini, kata Mutalib, PBT melarang restoran menutup tandas kepada umum atau mengenakan bayaran kepada orang awam yang menggunakan tandas, kenapa PBT tidak melakukan perkara yang sama dalam hal IT.

“Buat masa ini kita hanya menerima aduan daripada pelanggan KFC kerana premis berstatus restoran keluarga tidak menghadkan tempoh penggunaan wifi kerana Piagam Pelanggan mereka yang jujur serta ikhlas, namun KFC melakukan sebaliknya,” tegas Mutalib yang mencadangkan agar para Blogger memboikot KFC sekiranya mereka tidak mengubah dasar mereka berhubung IT.

Mutalib menyatakan, PBS akan menghantar surat bantahan rasmi kepada Ibu Pejabat KFC dan KPDNK dalam masa yang singkat agar tidak ada blogger yang teraniaya oleh sikap drakonian KFC yang menyongsang arus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.