Sabtu, 31 Januari 2009

ADUN Pengkalan Baharu juga nafi sertai Pakatan Rakyat

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar turut menolak desas-desus yang mengatakan beliau akan keluar daripada Umno untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Tegas Hamdi, tidak timbul soal mahu meninggalkan Umno walaupun beliau sebelum ini dilaporkan pernah mengkritik kepimpinan parti di negeri itu kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) Perak didakwa tidak mempunyai hala tuju yang jelas selepas tewas pada pilihanraya umum Mac tahun lalu.

"Tak ada... tak ada, saya tak akan lompat kemana-mana.

"Saya akan terus kekal bersama Umno dan BN, itu semua (dakwaan lompat parti) tidak betul," katanya kepada mStar Online.

Selain Hamdi, ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam juga merupakan pemimpin Umno di Perak yang menyuarakan kekecewaan terhadap kepimpinan negeri yang disifatkan lesu dan tidak aktif bekerja untuk parti.

Mereka dikatakan antara dua wakil rakyat BN yang disebut-sebut akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

Pentadbiran Umno dan BN di Perak menerima formula baru apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno melantik Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno serta Pengerusi BN negeri.

Bagaimanapun Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak jawatan kerana merasakan tidak cukup kuat untuk mengetuai jentera kempen bagi menawan semula negeri itu terutamanya selepas tindakan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim lompat parti menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hamdi berkata beliau amat yakin dengan ketokohan Najib sebagai pemimpin yang berwibawa untuk mengambil alih kepimpinan di Perak.

"Keputusan melantik Datuk Seri Najib adalah tindakan yang terbaik untuk Umno Perak.

"Malah kalau boleh lantikkan itu bukan sahaja sehingga Mac ini, tetapi terus sehingga BN memenangi semula Perak pada pilihanraya ke-13," katanya.

Jelas beliau, Umno Perak sememangnya memerlukan pemimpin yang berjawatan tinggi atau dihormati bagi memastikan setiap arahan demi kebaikan parti akan diikuti dengan mudah tanpa dipersoalkan.

Semalam ketika dihubungi mStar Online, Ahamad menegaskan pendiriannya akan kekal bersama Umno selepas Najib mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Ahamad berkata, beliau yakin dengan pelan perubahan yang diperkenalkan dalam struktur kepimpinan Umno negeri dan tidak akan melompat parti.

"Setakat sekarang saya yakin akan terus kekal bersama Umno dan BN.

"Kita tengok dulu macam mana, harap akan ada perubahan yang baik untuk parti," katanya.

Bagaimanapun beliau berharap supaya selepas Perhimpunan Agung Umno Mac ini pemimpin peringkat negeri akan diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan Umno di Perak.

"Baguslah Datuk Seri najib ambil alih dulu, kita pun faham bukan senang terus nak ganti orang baru.

"Tapi kita harap lepas Mac nanti, bagi peluang kepada pemimpin negeri yang ketuai," katanya.

PERPINDAHAN SETINGGAN BUKIT BOTAK KE TAMAN SELAYANG MUTIARA

MALAYSIA TODAY


Mesyuarat Stanco Tanah hari ini turut membincangkan isu projek penempatan semula setinggan Bukit Botak, Selayang yang melibatkan seramai 1400 pemilik tanah serta merangkumi keluasan tanah seluas 138 ekar. Delpuri Corporation Sdn. Bhd. (DCSB) telah dilantik sebagai kontraktor pada tahun 1999 oleh Kerajaan Negeri terdahulu bagi membangun dan menyusun semula penempatan setinggan Bukit Botak ke Taman Selayang Mutiara.

DCSB, selaku pemaju yang telah diamanahkan membangun dan menyusun semula penempatan setinggan Bukit Botak ke Taman Selayang Mutiara juga telah diarahkan membina rumah dan menyiapkan infrastruktur seperti pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa. DCSB dikehendaki menyediakan rumah transit atau memberi bantuan subsidi sewa rumah sebanyak RM300.00 kepada penduduk yang diarahkan mengosongkan tapak projek sehingga rumah siap. Sebagai balasan kepada usaha tersebut, penduduk telah memberi surat kuasa wakil (power of attorney) kepada DCSB untuk menyerahkan hak mereka keatas tanah tersebut kepada syarikat pemaju itu. Namun demikian, DCSB akhirnya tidak dapat meneruskan tanggungjawab mereka dan segala projek yang telah dirancang terbengkalai.

Tanpa membuat kajian yang menyeluruh, kerajaan negeri yang terdahulu telah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih projek terbengkalai dari DCSB. Setelah membuat penelitian, mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS baru-baru ini telah membuat keputusan menghentikan kerja- kerja pembinaan di tapak dan memutuskan subsidi bayaran sewa ditamatkan hingga bulan Oktober 2008. Keputusan ini terpaksa dibuat kerana PKNS tidak mampu menanggung kos kerugian sebanyak RM140 juta jika meneruskan projek pembinaan berkenaan.

Walaupun Kerajaan Negeri mengambil berat tentang kesusahan yang dialami oleh rakyat, tetapi adalah tidak wajar untuk meletakkan beban keseluruhan kepada PKNS adalah tidak wajar hanya kerana Kerajaan terdahulu tidak dapat memantau projek-projek ini dengan baik. Tambah pula DCSB dibenarkan lepas tangan dalam hal ini.

Kerajaan Negeri amat berhasrat untuk menolong penduduk yang terlibat namun terhalang kerana hak kepada tanah yang terbabit masih lagi ditangan DCSB. Pertolongan yang wajar boleh dibuat sekiranya penduduk mendapat balik hak terhadap tanah dengan membatalkan surat kuasa wakil yang ditandatangani diantara para penduduk dan Syarikat DCSB. Dari sudut perundangan, Kerajaan Negeri mahupun PKNS tidak mempunyai hak untuk meneruskan pembangunan kerana penduduk yang juga pemilik tanah masih lagi terikat dengan terma-terma dalam perjanjian tersebut.

Setelah pembatalan kedua-dua perjanjian dilaksanakan barulah perbincangan dengan Kerajaan Negeri dapat dibuat bagi memutuskan bentuk penyelesaian yang lebih konkrit. Kerajaan Negeri berharap semua pihak memahami isu sebenar yang menghantui para penduduk Bukit Botak agar satu jalan penyelesaian dapat dilaksanakan secepat mungkin.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR,
YB Tan Sri Khalid Ibrahim

Kehilangan 2 Adun KeADIlan Perak Membimbangkan

SUARA KEADILAN ONLINE


Kehilangan dua Adun KeADILan yang juga exco kerajaan Perak sejak empat hari lalu membimbangkan bukan saja oleh parti tetapi juga oleh ahli keluarga mereka. Demikian kata Ketua Perhubungan KeADILan Perak Osman Abdul Rahman.

Kedua-dua exco tersebut ialah Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu. Menurut Osman, bagaimana pun pihaknya menjangka kehilangan itu ada kaitan dengan cubaan Barisan Nasional memujuk mereka dengan imbuhan termasuk tawaran wang ringgit.

“Kami percaya ada usaha-usaha oleh Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib Tun Razak termasuk menggugurkan kes rasuah mereka berdua,” kata Osman dalam sebuah kenyataan akhbar.

Kedua mereka ditangkap dalam satu serbuan meragukan menjelang Pilihanraya Umum Mac tahun lepas. Kes mereka akan dibicarakan bermula 10 Februari depan.

“Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik,” tambah Osman.

“Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan muslihat Umno/BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu,” tambah beliau.

PAS: Tindakan SPRM jejas Agong

Jimadie Shah Othman


PAS menyifatkan isu penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa membelasah seorang pemimpin Umno sebagai tindakan yang menjejaskan nama baik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Ia (SPRM) hilang kawalan. Tindakan itu, jika benar, menjejaskan imej SPRM yang mahu memastikan amalan integriti dan ketelusan.

"Ia juga menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong," kata Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar.

SPRM – sebelumnya dikenali Badan Pencegah Rasuah (BPR) – dinaiktaraf sebagai suruhanjaya tahun lalu.

Mahfuz mengulas laporan polis Halimi Kamaruzzaman yang mendakwa didera serius sewaktu disiasat berhubung amalan politik wang selama empat hari mulai 23 Januari.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran, Pahang itu mendakwa tiga pegawai SPRM menumbuk, menendang dan memaksanya berbogel dan kemudiannya berguling-guling di atas lantai.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

Halimi, dalam aduan polisnya itu, bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dengan Norza.

Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena, berharap satu badan bebas ditubuhkan bagi mengkaji kesahihan dakwaan salah laku agensi-agensi penguatkuasaan termasuk SPRM dan polis.

Tambahnya, badan bebas itu perlu kerana kerana negara kini berdepan isu mendiang A Kugan didakwa mati dibunuh sewaktu dalam jagaan polis dua minggu lalu.

Mahfuz juga berkata, walaupun Halimi seorang pemimpin Umno, semua pihak wajar membelanya demi menegakkan prinsip keadilan terhadap semua.

Sementara ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula mendesak SPRM tampil menjelaskan kesahihan dakwaan Halimi itu dan pegawai penyiasat yang terlibat dan seterusnya mengambil tindakan.

"Keluarkan mereka (daripada SPRM), bersihkan sistem," kata ketua Wanita PKR itu.

Menyatakan beliau terkejut dengan dakwaan kejadian itu, Zuraida sekali lagi menegaskan perlunya SPRM berubah secara menyeluruh dalam siasatannya.

"Seperti kita tegaskan dalam Parlimen dulu, SPRM jangan tukar baju sahaja. Mula-mula, apabila mereka menyiasat kes rasuah dalam Umno, kita gembira.

"Tetapi kalau jadi macam ini (penderaan), ia hanya akan kembali kepada keadaan lama (sebelum dibentuk suruhanjaya).

"SPRM patut menunjukkan ketelusan dan profesionalisme mereka dalam hal ini," katanya.

Watan berbohong, tidak professional - Wahid

Khairul Azlam Mohamad


KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan laporan akhbar mingguan Watan menyalahi etika kewartawanan dan tidak profesional.

Ini berikutan, laporan akhbar berkenaan di muka hadapan Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari lalu bersifat 'bohong' serta sengaja diada-adakan tanpa merujuk kepada mana-mana pihak terbabit.

"Saya tidak pernah berjumpa dihubungi oleh wartawan akhbar itu (Watan) dan tidak pernah jumpa dengan dia (wartawan) sepanjang tempoh berkempen ini.

"Akhbar itu siar berita 'bohong' dan tidak benar sama sekali kononnya saya akan meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam," tegasnya kepada Harakahdaily, semalam.

Katanya, laporan berita itu sengaja diada-adakan kononnya pilihan raya kecil sekali lagi bakal diadakan bagi tujuan memalukan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, semua laporan berkenaan tidak benar kerana beliau dipilih oleh rakyat dan tidak akan mengkhianati amanah tersebut.

Justeru, beliau bersedia mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar berkenaan kecuali pihak terbabit memperbetulkan semula laporan berkenaan dalam masa terdekat ini.

"Saya sudah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan susulan (terhadap akhbar Watan)," ujarnya.

Menurutnya, laporan berita bertajuk 'Wahid Lepas Adun' yang disiarkan akhbar berkenaan telah menjatuhkan maruah dan imej beliau sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat.

Berikutan itu katanya, beliau rasa terganggu akibat banyak menerima panggilan telefon dan sms dari pelbagai pihak yang bertanyakan perkara tersebut.

Menurutnya, akhbar tersebut telah melanggar etika kewartawanan kerana mengeluarkan berita yang tidak tepat serta bersifat spekulasi.

Kata Wahid, pihaknya sedia memaafkan pihak terbabit jika permohonan maaf dibuat serta diperbetulkan semula melalui akhbar berkenaan. - mns_

Calon Pensiangan: Kurup serah kepada BN

BERNAMA


KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup hari ini berkata beliau menyerahkan soal pemilihan calon kerusi Parlimen Pensiangan sebulat-bulatnya kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding semula, Kurup berkata: "Tak tahulah, kita tunggu sampai kes mahkamah selesai, terlalu awal untuk menyatakan".

Ditanya mengenai parti-parti lain yang mungkin berminat untuk bertanding bagi kerusi tersebut, beliau enggan mengulas dan cuma berkata: "Tunggulah dulu, inipun kita serahkan semata-mata kepada pucuk pimpinan."

Kurup memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu tetapi Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 8 September, mengisytiharkan kemenangan Kurup adalah batal dan tidak sah.

Kurup memfailkan rayuan dan Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 dan 13 Februari ini untuk mendengar rayuan beliau.

Nasarudin, Anwar, Nizar ceramah perjelas isu lompat di Dun Bota malam ini

KLPOS.COM


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bota, Datuk Nasarudin Hashim perlu kembali kepada pengundi-pengundi di kawasannya untuk menjelaskan pendirian beliau keluar Umno dan Barisan Nasional (BN), Ahad lalu.

Pengarah Eksekutif Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI), Amin Iskandar berkata, oleh kerana perundangan semasa tidak membolehkan seseorang wakil rakyat berhenti dan bertanding semula, Nasarudin wajar menemui semula pengundinya untuk menerangkan pendirian beliau.

"Kalau boleh sebelum melompat perlu berunding (dengan pengundi) dulu... jadi pengundi-pengundi boleh memutuskan sama ada adil ataupun tidak tindakan menyertai parti lain," kata beliau ketika dihubungi.

"Beliau boleh mengadakan dialog dan menjelaskan kepada mereka (pengundi kawasan Bota)," kata beliau kepada mStar Online.

CERAMAH MALAM INI

Nasarudin ketika dihubungi mStar Online pagi tadi berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan malam ini.

Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyerta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Nasarudin, ia dianjurkan oleh PKR.

Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin.

Ketika ditanya soal moral dengan tindakan beliau, Amin memberitahu, dari segi demokrasi Nasarudin ada hak untuk berbuat demikian.

"Tetapi apabila melompat beliau perlu kembali kepada pengundi untuk menjelaskan," katanya lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, jika ramai tidak bersetuju, wakil rakyat terbabit perlu melepaskan jawatan dan bertanding lagi.

"Tetapi ada masalah (aspek perundangan)... itu adalah satu halangan," katanya.

ANTI LOMPAT

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan antilompat parti.

"Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini.

"Dengan adanya peruntukan undang-udang antilompat parti dalam perlembagaan, kita dapat melaksanakan satu lagi langkah ke arah kestabilan dalam landskap masyarakat dan politik kita," katanya.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah berkata, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.

Kelmarin, Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada BN Perak supaya mengadakan gerakan besarbesaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu yang dimenanginya atas tiket BN.

Nasarudin telah melompat parti kepada PKR Ahad lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.

KOMEN MAFREL

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Malaysian for Free & Fair Election (Mafrel), Syed Ibrahim Noh berkata, pihaknya menyambut baik jika tindakan seseorang wakil rakyat itu melompat parti demi kebaikan rakyat.

"Jika niat baik, jika mahu berkhidmat untuk rakyat dan pengundi, saya ingat sihat.

"Tetapi jika melompat kerana mahu jawatan dan ganjaran, tidak harus berbuat demikian," kata beliau sambil mengakui tentang halangan aspek perundangan yang wujud.

Malah, beliau juga berpendapat wakil rakyat berkenaan perlu kembali kepada pengundi untuk mendapatkan "penerimaan."

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa ia juga satu soal yang rumit untuk dibicarakan secara langsung.

Undang-undang pilihan raya tidak membenarkan seseorang wakil rakyat yang bertanding untuk kembali bertanding selama lima tahun jika memutuskan untuk melepaskan kerusi yang dimenanginya.

Politik wang: Umno tidak setuju SPRM siasat pemimpin

Abdul Rahim Sabri
(dikemaskini)


Walaupun tanpa isu dakwaan penderaan seorang pemimpin bahagian Umno sewaktu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Umno umumnya tidak bersetuju campur tangan badan itu dalam membanteras gejala politik wang dalam parti.

Pemuda Umno Padang Serai menyifatkan siasatan SPRM "tidak tepat pada masanya", lebih-lebih lagi hampir dengan pemilihan parti, Mac ini.

Ketua Pemudanya Ismadi Abu Talib turut mempertikaikan tangkapan suruhanjaya itu terhadap sejumlah pemimpin Umno peringkat pertengahan baru-baru ini tetapi tidak menfokuskan pemimpin parti-parti lain.

"Tangkapan SPRM fokus pemimpin Umno sewaktu dekat dengan pemilihan, seolah-olah ahli Umno sahaja yang yang rasuah.

"Tidak semua pemimpin Umno mengamalkan rasuah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Lebih-lebih lagi, tambahnya, tindakan sedemikian menyebabkan wujud pertembungan bidang tugas antara SPRM dengan Lembaga Displin Umno untuk membanteras politik wang dalam parti tersebut.

"Akar umbi terkapai-kapai, yang mana satu nak ikut?" katanya.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) – sebelum pembentukan suruhanjaya baru itu – sudah memadai untuk mengawal gejala buruk itu, tambahnya.

Mengulas dakwaan insiden penderaan seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran, Pahang di tangan penyiasat SPRM, Ismadi berkata beliau membantah cara siasatan tersebut.

"Saya tidak nampak kebaikan SPRM. Saya tidak bersetuju dan tidak sokong tindakan itu," katanya.

Dalam laporan polisnya kelmarin, Halimi Kamaruzzaman mendakwa mengalami penderaan serius sewaktu disiasat berhubung amalan politik wang anggota MT dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.

Halimi mendakwa tiga pegawai SPRM menumbuk, menendang dan memaksanya berbogel dan kemudiannya berguling-guling di atas lantai.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan (mengaitkan dengan Norza)," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

Ismadi menambah, beliau difahamkan kira-kira 600 penyiasat ditambah bersama SPRM dan ia memberi tafsiran bahawa pemimpin Umno mengamal rasuah.

"Saya rasa kita membuka pekung di dada, seolah-olah memang pemimpin kita mengamalkan rasuah.

"Bagaimana saya nak beritahu kepada akar umbi bahawa pemimpin-pemimpin kita itu benar-benar bersih (daripada politik wang)?" katanya.

Sejak siri penangkapan SPRM terhadap pemimpin Umno, beliau juga mengalami perasaan fobia untuk keluar rumah walaupun berjumpa kawan-kawan.

Katanya, tangkapan tersebut menjadi satu kejutan kepadanya, tambahan pula beliau baru sahaja memegang jawatan tersebut pada pemilihan bahagian itu November lalu.

"Oleh yang demikian saya mahukan definisi politik wang yang jelas dalam Umno supaya akar umbi tidak terawang-awang dengan matlamat penubuhan SPRM," katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar masalah politik wang dalam parti tersebut dibincangkan dan dibahaskan dalam persidangan agung, mulai 24 Mac ini.

Manakala Naib Ketua Bahagian Umno Langkawi, Mohd Rawi Abdul Hamid pula menjelaskan beliau tidak bersetuju sejak awal lagi isu politik wang Umno dibawa kepada SPRM.

Kerana, tambah wakil rakyat Ayer Hangat, ia memberi gambaran kepada akar umbi bahawa pemimpin-pemimpin bahagian mengamalkan politik wang.

Mengulas dakwaan insiden yang menimpa Halimi sepanjang empat hari ditahan SPRM sejak 23 Januari, beliau berasa kesal dan menyifatkan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Dalam mana-mana siasatan, tidak boleh dijalankan siasatan dengan kekerasan, hatta orang yang ditahan atas dakwaan jenayah pun tidak boleh disiasat dengan kekerasan," katanya sewaktu dihubungi.

Tambahnya, dakwaan insiden sebegini akan menyebabkan rakyat mempersoalkan kaedah siasatan yang dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MT menentukan sama ada suruhanjaya itu boleh menyiasat berhubung amalan politik wang atau tidak memandangkan lembaga disiplin parti sudah berbuat demikian.

Sementara ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Hazizah Mohd Sultan berkata dakwaan insiden penderaan oleh penyiasat SPRM tidak sepatutnya berlaku.

"Masalah politik harus di selesaikan dengan politik. Bukan cara begitu untuk menyiasat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan ahli jawatankuasa, tangkapan tersebut memberikan gambaran tidak elok kepada Umno dan menjatuhkan imej parti itu.

"Tangkapan memburukkan lagi keadaan (Umno), seolah-olah memberi anggapan buruk kepada Umno.

Tambahnya, politik wang yang berlaku dalam parti tersebut adalah perkara kecil dan terpencil yang diperbesar-besarkan.

"Ada satu, dua orang sahaja daripada berjuta-juta ahli Umno yang melakukan rasuah," katanya.

Hazizah menjelaskan, hukuman daripada lembaga disiplin seperti digugurkan keahlian atau digantung jawatan sudah mampu untuk membanteras politik wang dalam parti.

Pelan AirAsia bina LCCT ditolak

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Cadangan AirAsia Bhd. untuk membina sebuah lapangan terbang berharga RM1.6 bilion di Labu, Negeri Sembilan ditolak oleh kerajaan, tetapi syarikat penerbangan tambang murah itu dikatakan memperoleh beberapa konsesi.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan diberi tanggungjawab membina sebuah terminal syarikat penerbangan kos rendah (LCCT) baru, berdekatan terminal sekarang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kata satu sumber yang mempunyai maklumat mengenai hasil mesyuarat itu semalam.

Keputusan untuk membatalkan projek itu disampaikan kepada AirAsia pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dihadiri para pegawai Kementerian Kewangan, MAHb, dan AirAsia.

Sumber itu menyatakan AirAsia berjaya mendapat jaminan mengenai caj dan cukai lapangan terbang yang lebih rendah, yang ia akan berunding dengan MAHB, dan juga akan dibenarkan memberi input mengenai spesifikasi bagi LCCT baru itu.

Katanya, syarikat penerbangan tambang murah itu diberikan masa untuk mengemukakan senarai keperluannya mengenai LCCT baru itu.

Caj itu boleh diturunkan sehingga separuh, kata sumber itu.

AirAsia sentiasa mengadu tentang caj di LCCT sekarang kerana ia berpendapat bahawa dengan penyediaan kurang kemudahan, caj dan cukai lapangan terbang itu sepatutnya lebih rendah daripada yang dikenakan di KLIA.

Pada mesyuarat itu, AirAsia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tony Fernandes.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Tony berkata, AirAsia menganggap hasil mesyuarat itu sebagai amat positif dan kini ia menunggu butiran lengkapnya.

Katanya, AirAsia komited bagi menyediakan tetamunya perkhidmatan berkelas dunia, lima bintang, melalui sebuah LCCT dibina bertujuan khas.

Menurutnya, AirAsia turut komited menjadikan Kuala Lumpur sebuah hab serantau bagi syarikat penerbangan tambang murah dan menyumbang dengan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Di segi kewangan, ini merupakan berita baik bagi Airasia, katanya.

AirAsia yang kini telah mempunyai gearan yang tinggi, tidak perlu lagi mendapatkan pembiayaan untuk membina LCCT baru itu, katanya.

Pemilihan Umno: Calon, perwakilan ditemukan bulan depan

BERNAMA


SEPANG: Pertemuan antara calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno Mac ini dengan para perwakilan peringkat negeri akan dimulakan bulan depan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Beliau berkata, pihak ibu pejabat parti sedang menyediakan jadual pertemuan para calon dengan perwakilan dari 13 badan perhubungan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa ada pihak dengan sewenang-wenangnya turun padang menemui ahli parti untuk mendapatkan sokongan sementara pada masa yang sama ada calon termasuk beliau sendiri yang tidak berbuat demikian kerana mematuhi larangan berkempen yang telah dikeluarkan.

Ditanya sama ada calon akan dilarang daripada menghadiri sebarang majlis selain yang diatur oleh Badan Perhubungan Negeri selepas ini, Muhammad berkata, peraturan itu sepatutnya dipatuhi, tetapi menghadiri majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan dan kematian adalah dikecualikan.

Calon masih tertakluk kepada larangan berkempen yang ditegaskan dalam tataetika parti termasuk ditegah mengadakan jamuan, memberi hadiah dan menganjurkan rombongan lawatan, katanya.

Muhammad juga menegaskan bahawa hal dan masalah parti seperti politik wang perlu disalurkan kepada parti untuk membuat keputusan.

Beliau mengulas kenyataaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bahawa politik wang adalah ditakrifkan sebagai rasuah dan badan itu akan melakukan siasatan.

Anak saudara Presiden PAS maut dilanggar kereta milik KPN

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Anak saudara Presiden PAS, Abdul Qahar Mansor maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi semalam.

Beliau dilanggar oleh sebuah kereta Honda CRV nombor plat WNN 6517 yang didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Qahar yang berusia 23 tahun maut selepas dilanggar Honda CRV dipandu seorang anggota polis yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Farez di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Menurut peguam keluarga mangsa, Fariz Mustafa, kemalangan tersebut terjadi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Rusila menuju ke Kuala Terengganu.

Ketika sampai di sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, motorsikal yang ditunggangi beliau dilanggar kereta yang dipandu Mohd Farez yang baru sahaja selesai membeli keropok di sebuah kedai berhampiran yang ingin membuat pusingan U di jalan tersebut.

"Kereta tersebut berada di sebelah kiri jalan terus membuat pusingan U tanpa memberikan signal malah secara tiba-tiba menukar line, menyebabkan motorsikal yang ditunggangi arwah gagal mengawal keadaan sehingga menyebabkan beliau maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Harakah.

Tambahnya, saksi di tempat kejadian memaklumkan Mohd Farez meninggalkan kereta tersebut di lokasi kemalangan tanpa kunci kenderaan tersebut yang menyebabkan pihak polis trafik sukar mengalihkannya.

"Malah, menurut anggota polis di beliau(Mohd Farez) kini telah pulang ke Kuala Lumpur manakala kereta tersebut ditinggalkan.

"Akibat kemalangan tersebut, kereta tersebut mengalami kesan kemek di pintu sebelah kanan," ujarnya.

Walau bagaimanapun, Fariz memberitahu Harakah bahwa pihaknya akan membuat dakwaan terhadap kes tersebut di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu kesalahan kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian.

Jelasnya, pemandu terbabit sepatutnya direman untuk siasatan kerana kemalangan tersebut melibatkan kematian.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Hisham Awang berkata pihaknya kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Lans Koperal Mohd Farez yang begitu ego ketika diminta memberi kerjasama kepada penduduk setempat sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.

"Kita kesal dengan sikap ego polis tersebut, yang seolah-olah berbangga dengan mengaku merupakan pegawai polis daripada Balai Polis Bukit Aman," katanya.

Setakat ini ujarnya, pihak polis masih belum memberikan apa-apa respon mengenai kejadian tersebut.

Abdul Qahar katanya maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas jenazahnya dituntut oleh keluarga mangsa dari Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rusila pada hari yang sama. -azm_

Jumaat, 30 Januari 2009

Umno Perlu Tukar Rasuah Menjadi Babi

oleh mso


ORLA - 'orang lama' Umno Tengku Ahmad Ritahuddeen Tengku Ismail barang kali sudah pening kepala dan tidak tahu apa yang perlu difikirkan lagi untuk membenteras rasuah dalam partinya. Kerana usaha dilakukan kini mungkin tidak membawa kejayaan menyebabkan beliau semalam mencadangkan supaya sayap Umno, Puteri dan Putera dibubarkan. Malahan kalau perlu katanya Pemuda Umno juga perlu dibubarkan.

Semuanya kerana rasuah. Bekas Naib Presiden Umno itu membuat cadangan itu sebagai ikhtiar (terakhir) untuk menyelamatkan Umno. Beliau menyedari bahawa parti Umno semakin sakit, sakit dan sakit dan tidak ada harapan untuk sembuh dari penyakit gila rasuah.

Rasuah sudah berleluasa dan bermaharajalela dalam Umno Baru.

Alasan orla itu, rasuah berlaku disebabkan adanya pertandingan. Dengan adanya sayap Puteri dan Putera menyebabkan wujud pertandingan baru dan ia membuka satu lagi ruang berlakunya rasuah. Katanya beliau ada dengar rasuah dalam Puteri, tetapi tidak ada orang yang ingin melaporkannya.

Petua orla itu nampak tidak disetujui oleh beberapa pemimpin Umno lain termasuk yang spara orla. Kata calon Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin cadangan itu tidak munasabah kerana kalau sayap itu dibubarkan dimana nak letakkan pemimpin pelapis Umno!

Ketua Wanita Umno yang akan ditentang, Rafidah Aziz pula berkata tindakan itu seolah-olah membakar kelambu. Katanya hanya segelintir saja ahli Umno terlibat dengan rasuah mengapa soal politik wang dikaitkan dengan sayap parti itu sedangkan yang melakukanya bukan kalangan ahli sayap itu tetapi para induknya.

Manakala seorang pemimpin puteri Naib Ketua Puteri, Rosnah Abdul Majid menyifatkan cadangan itu tidak rasional dan pembubaran sayap parti itu seolah-olah cuba menjauhkan golongan muda dengan politik.

Muhyiddin, Rafidah dan Rosnah menentang cadangan Tengku Rithauddeen itu dan menolak dakwaan Tengku Ritahuddeen yang beranggapan rasuah sudah parah dalam Umno.

Jelas perbezaan pandangan dan pendekatan mengenai masalah rausah dalam Umno. Bagi orla melihat ianya sudah parah, kerana mengukurnya dengan suasana dan pendekatan Umno lama.

Bagaimana pun keadaan yang kusut masai hari ini masih dapat dimaafi oleh golongan baru. Muhyiddin, Rafidah dan Rosnah melihatnya ianya (rasuah) perkara biasa kerana ia adalah amalan dan budaya sihat di zaman ini yang mana mungkin mereka juga adalah pengamalnya.

Pertentangan ini menjelaskan konflit mengenai penghapusan rasuah dalam Umno. Bagi mereka yang melihat rasuah masih belum parah ialah mereka yang mengamalkan rasuah dan naik menduduki jawatan hari ini dengan rasuah. Bila mereka sudah terbiasa dengan rasuah menyebabkan ia tidak dilihat sebagai jijik dan berdosa lagi.

Adapun kenapa Tengku Rithauddeen sampai tergamak membuat cadangan itu kerana beliau melihat rasuah bakal meruntuhkan institusi Umno. Kita percaya Tengk Ritahuddeen membuat cadangan itu berdasarkan kepada fakta-fakta dan sumber yang beliau perolehi.

Sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno yang bertanggungjawab menyelesaikan aduan mengenai salah laku ahli terkhusus rasuah, Tengku Ritahuddeen mendapat maklumat yang banyak dan tepat. Kita percaya masih banyak aduan yang diterima tetapi disembunyikan kerana untuk menjaga maruah Umno.

Pun begitu cadangan itu mungkin tidak begitu sesuai dan agak melampau. Tidak semestinya bila sayap Umno itu dibubarkan rasuah akan berkurangan. Seperti mana yang saya katakan sebelum ini rasuah sudah menjadi darah daging dan sebahagian idealisme parti Umno. Ia sudah membudaya dan mengakar umbi. Kerana itu ia tidak mungkin dihapuskan lagi kerana penghapusannya menyebabkan dengan Umno itu sendiri akan lenyap.

Rasuah sudah menjadi kepercayaan ahli Umno, di mana jika tidak hulurkan wang mereka akan gagal untuk mendapat tempat - jawatan. Syaksiah dan kredibiliti seseroang tidak menjamin ia dipilih sebagai pemimpin kalau 'kupit' untuk hulur wang. Kerana ia sebuah kepercayaan maka ia disembah dan diagungkan oleh para penyembahnya seperti mana penganut fahamam anamisme menyembah pokok besar atau busut yang dianggap keramat. Keramat dalam Umno ialah kerana rasuah.

Realifnya masalah rasuah akan selesai sekiranya ahlinya tidak menerima dan memberi rasuah. Di sini apa yang Umno harus lakukan ialah mendidik ahli-ahlinya agar membenci rasuah sungguh-sungguh. Jadikan rasuah itu macam babi yang dibenci oleh orang Melayu. Orang Melayu bila tengok babi semua benci dan geli gentleman dan sampai termuntah. Maka Umno kena cari pakar yang boleh menukar rasuah menjadi seperti babi.

Selagi rasuah tidak dibenci seperti orang Melayu membenci babi, maka selama itulah ia hidup dan bertamdun dalam Umno. Jadi kepada Tengku Ahmad Ritahauddeen daripada menyarankan agar sayap Umno dibubarkan bila beliau merantau jauh mencari pakar atau belajar formula bergaimana menukar rasuah menjadi babi. Dan kalau beliau gagal melakukan ini cadangan paling afdal dirasakan perlu dibuat oleh Tengku Ahmad Ritahuddeen selepas ini ialah mencadangkan agar Umno dibubarkan.

SPRM Kedah panggil 10 ahli Umno untuk disiasat

Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Nahar Tajri


ALOR STAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, memanggil lebih 10 ahli Umno sebuah bahagian, termasuk tiga pemimpin kanannya untuk diambil keterangan berhubung dakwaan politik wang bagi melobi seorang calon jawatan kanan dalam Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Sumber berkata, tiga pemimpin itu, termasuk Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib serta perwakilan bahagian itu, diambil keterangan di sebuah hotel di sini, bermula pagi semalam.

Beliau berkata, setiap individu berkenaan disoal siasat sejam dalam sebuah bilik hotel terbabit bagi membantu siasatan.

"Individu itu disiasat kerana didakwa terbabit mengagihkan sejumlah wang kepada ketua cawangan bagi meraih undi menyokong calon terbabit," katanya.

Sumber itu berkata, siasatan dilakukan secara berperingkat dan kemungkinan dua lagi bahagian Umno di negeri ini akan disiasat dalam tempoh terdekat.

"SPRM mendapatkan maklumat daripada individu yang dipercayai menerima sogokan sebelum menyoal siasat tiga individu berkenaan yang dipercayai menjadi ejen calon itu," katanya.

Pesuruhjaya SPRM Kedah, Nooraziah Abdul Manaf ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Akhbar sebelum ini melaporkan pihak berkuasa itu membuka kertas siasatan membabitkan sembilan kes rasuah politik sepanjang pemilihan peringkat bahagian Umno pada Oktober dan November tahun lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Umno Pendang, Datuk Md Rozai Shafian mengaku dipanggil membantu siasatan dakwaan salah laku etika pada mesyuarat pemilihan Umno bahagian itu, Oktober tahun lalu.

“Saya dipanggil sebuah panel di Alor Star pagi tadi dan mereka bertanya beberapa soalan,” katanya.

MB nafi wakil rakyat NS keluar BN

MALAYSIA KINI


Menteri besar Negeri Sembilan menafikan desas-desus beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional akan menyertai pembangkang.

"Kalau ada dakwaan, suruh dia bagi nama. Yang DAP Perak risau sangat pasal apa, jagalah negeri Perak itu," Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik berkata hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan DAP Perak yang tersiar dalam laporan muka depan akhbar China Press yang menyebut tiga atau empat wakil rakyat negeri akan menyertai Pakatan Rakyat.

Menurut Bernama, Mohamad berkata wakil rakyat BN bawah pimpinannya mempunyai integriti dan jati diri yang kuat serta sayangkan parti.

"Saya tidak nampak mereka ini senang dipujuk dan mudah melompat keluar dari Umno walaupun ada antara mereka telah tewas dalam pemilihan peringkat bahagian masing-masing.

"Semangat mereka kepada parti masih kuat," katanya.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.

KEBIMBANGAN SIASAH MALAYSIA MUTAKHIR

Ruhanie Ahmad


Sewaktu kita hangat berpolemik supaya calon-calon Timbalan Presiden UMNO berkompromi untuk elakkan pertandingan pada Mac 2009 ini, muncul pula desas-desus mengenai pemimpin besar UMNO dan janji peralihan kuasanya. Desas-desus ini menyebabkan sesetengah komuniti politik di Kuala Lumpur kini dibelenggu persoalan sama ada benar peralihan kuasa akan berlaku dalam UMNO dan pemerintahan Malaysia pada Mac 2009.

Persoalan ini disuarakan oleh banyak pihak - warga siasah, media elektronik dan media cetak, professional, penganalisis dan sesetengah ahli akademik. Persoalan ini juga mengingatkan saya kepada tempoh waktu sesudah Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan persaraannya pada pertengahan 2003. Ketika itu memang wujud kalangan tertentu - warga politik, warga birokrat, warga korporat dan rakyat jelata - mahukan Mahathir terus berkuasa atas alasan dan sebab yang munasabah demi kepentingan nasional.

Antara sebab-sebabnya - satu: mereka mengharapkan Mahathir bersara sesudah tamat tempoh Malaysia jadi pengerusi NAM dan OIC; dua: mereka mengharapkan Mahathir membereskan dulu seluruh isu tertunggak Malaysia-Singapura; ketiga: golongan skeptik dikatakan agak kurang yakin terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Mahathir tetap berpegang teguh kepada kata-katanya. Sebab itulah Abdullah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima pada 31 Oktober 2003.

Oleh itu, saya pasti desas-desus mengenai pemimpin besar dan janji peralihan kuasanya mutakhir ini adalah sesuatu yang mungkin sama rasionalnya seperti di era akhir kepimpinan Mahathir. Tetapi, oleh kerana desas-desus ini terlalu rancak dan hangat, ia menyebabkan siasah Malaysia hari ini penuh dengan anxieties dan uncertainties - penuh dengan kebimbangan dan keterumbang-ambingan. Keadaan seperti ini mungkin berasaskan imaginasi semata-mata. Tetapi ianya tidak sihat. Tidak perlukah sesiapa menjelaskan keadaan sebenar-benarnya? -

Pakej Ransangan Kedua: Najib perlu bentang di Parlimen, elak kegagalan berulang

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - PAS pada asasnya bersetuju cadangan untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi kedua oleh Menteri Kewangan Dato' Seri Najib Tun Razak akibat kegawatan masalah global itu namun ianya perlu dikemukakan di Parlimen bagi diperhalusi dan dibahaskan oleh semua pihak yang mewakili suara rakyat.

Ketua Penerangan PAS Dato' Mahfuz Omar berpendapat, langkah itu perlu bagi memastikan segala dasar dan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang gagal akibat salah urus dan tadbir tidak berulang lagi menyebabkan ekonomi negara bertambah parah.

"Kita tidak mahu pakej ini hanya 'dilingkari' dan 'dimanfaatkan' oleh Umno dan BN serta kroninya sahaja sedangkan ianya perlu mendapat pandangan semua pihak termasuk pembangkang yang mewakili suara rakyat.

"Kita tidak mahu lagi tradisi Umno-BN yang terus melaksanakan tanpa mengambil kira pendapat semua dan bila gagal, pakej lain diperbaharui lagi," katanya ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena tidak menafikan pakej rangsangan amat penting dalam mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi selain mengatasi masalah pembuangan pekerja secara beramai-ramai serta mengatasi krisis ekonomi itu.

Namun pakej itu tidak dilakukan 'bersendirian' seperti sebelumnya yang hanya mengambil kira pandangan kerajaan BN semata-mata yang menyebabkan perubahan tidak berlaku.

Memberi contoh, Mahfuz menambah isu suntikan pemulihan saham RM5 billion oleh KWSP kepada Valuecap juga gagal termasuk bail-out kepada syarikat-syarikat tertentu.

"Berapa banyak pakej yang dilakuan secara sendiri-sendiri oleh BN sebelum ini yang akhirnya gagal dan tidak mendapatkan perubahan. Kita mahu semua pihak terlibat memberi input dalam menjana ekonomi negara yang lembap ini," .

"Ini bukan masanya untuk memikirkan kepentingan survival politik. Isu ekonomi merentasi sempadan politik dan melibatkan kepentingan seluruh rakyat dalam negara," katanya.

Jika perlu, katanya satu sidang khas Parlimen sebelum 16 Februari dibuat selama dua hari bagi semua ahli parlimen membincangkan secara serius dan terperinci supaya pakej ini tidak dilakukan secara terburu-buru dan mengakibatkan kegagalan seterusnya menenjajaskan ekonomi negara. - azm _

ADUN Bota: "Saya terbuka untuk disiasat"

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lalu hari ini menegaskan beliau terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Niat saya (keluar Umno dan BN) adalah bersih dan pendirian saya menyertai (Parti Keadilan Rakyat) adalah untuk mencari platform baru untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya dapat platform itu.

"Tidak lebih daripada... saya boleh siasat, saya terbuka untuk siasatan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online pagi ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya akan menyiasat Nasarudin jika wujud elemen rasuah dalam keputusannya menyertai PKR dan Pakatan Rakyat awal minggu ini.

Ketika ditemui di Melaka semalam, Ahmad Said memberitahu, beliau tidak pasti sama ada sudah terhadapat aduan mengenai soal itu.

"Kami akan menyiasat mereka yang melompat parti jika ada elemen rasuah janji (jawatan dan ganjaran)," katanya.

Nasarudin, pemimpin dari Umno, menyertai PKR berkuat kuasa Ahad lalu.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota.

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Ketika menjelaskan keputusannya menyertai PKR, Nasarudin berkata, beliau tidak dijanjikan ataupun ditawarkan sebarang jawatan dan ganjaran oleh PKR dan kerajaan Perak yang dipimpin Pakatan Rakyat.

"Apa yang saya minta pada Menteri Perak (Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin) adalah agar membantu menyelesaikan masalah rakyat dan program pembangunan di kawasan saya.

"Saya tidak minta lebih daripada itu dan Menteri Besar berkata bahawa insya-Allah akan membantu saya," katanya.

Nasarudin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar kelmarin - tiga hari selepas mengumumkan keluar Umno dan BN.

Exco Perlis kahwini bekas Ketua Puteri Umno

BERNAMA


KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis, Abdul Jamil Saad, 47, yang menduda sejak hampir dua tahun lepas, melangsungkan perkahwinan dengan bekas Ketua Puteri Umno Negeri Perlis, Marzita Mansor di sini malam semalam.

Majlis akad nikah yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Ahli Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Kampung Guru dekat sini.

Akad nikah dengan mas kahwin sebanyak RM5,500 dilakukan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Mansor Ibrahim dengan disaksikan imam Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, Kassim Abu.

Abdul Jamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sena, berkata beliau mengenali isterinya telah lama tetapi bibit cinta bermula selepas Marzita kematian suaminya Azhar Othman, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Julai tahun lepas.

Abdul Jamil yang mempunyai tiga anak pula kematian isteri, Saliza Shaari pada 21 Mei 2007 akibat kanser manakala Marzita yang mempunyai lima anak turut memelihara dua lagi anak allahyarham Azhar bersama isterinya yang terdahulu.

"Kami kini mempunyai sepuluh anak dan kami tidak mahu komen sama ada jumlah itu perlu ditambah," kata Jamil kepada pemberita selepas majlis akad nikah.

Beliau bersyukur kerana telah bertemu jodoh dan menyifatkan Marzita sebagai isteri serta ibu yang begitu sesuai dengan anak-anaknya.

Ditanya sama ada mereka juga akan berbulan madu, Abdul Jamil berkata, beliau dan isteri akan menunaikan Umrah selama 19 hari bermula 7 Februari ini dan ia merupakan "bulan madu" paling istimewa.

Sementara itu, Marzita yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika Mohd Radzi menjadi menterinya, berkata kehadiran Abdul Jamil dalam hidupnya begitu bermakna kerana banyak persamaan antara mereka selain samasama bergiat dalam arena politik.

"Kesibukan dalam politik adalah sebahagian daripada kehidupan saya dan itu bukan penghalang bagi suami saya untuk teruskan kariernya dalam politik. Saya memahami kesibukan menjadi seorang yang berjawatan penting dalam kerajaan negeri dan saya akan teruskan karier saya, dan dia dengan karier dia," katanya.

Majlis pernikahan itu yang dihadiri 30 orang rombongan pengantin lelaki yang membawa lima dulang hantaran dan sebentuk cincin manakala pihak pengantin wanita pula membalas dengan tujuh dulang hantaran.

200 ditipu pegawai wanita Tekun

MALAYSIA KINI


Seramai 200 orang mendakwa ditipu seorang pegawai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang meminta mereka membayar RM100 seorang bagi mempercepatkan permohonan pinjaman.

Menurut Bernama, selepas menunggu enam bulan, mereka berasa telah ditipu pegawai wanita itu dan membuat laporan polis di balai polis Taman Pelangi, Johor Bahru semalam.

"Setiap seorang daripada kami membayar RM100 kepada pegawai wanita ini untuk mendapatkan pinjaman antara RM50,000 dan RM70,000 daripada sebuah koperasi," seorang pegawal keselamatan Hisham Samsu yang mewakili mangsa-mangsa tersebut dipetik berkata.

Tambahnya, pinjaman itu mereka hendak gunakan bagi menyertai satu skim pemasaran pelbagai peringkat.

"Sampai sekarang kami masih belum mendapat pinjaman itu walaupun sudah beberapa kali menelefon beliau," katanya lagi.

Hisham berkata pembayaran tersebut dibuat di sebuah restoran di Simpang Renggam pada Jun tahun lalu dan dijanjikan ia akan diluluskan dalam masa sebulan.

Namun ketika ditemui dua bulan kemudiannya, wanita itu berdalih dengan mengatakan pinjaman itu memerlukan masa tiga bulan lagi untuk diluluskan.

Agensi berita itu juga melaporkan, seorang lagi mangsa Omar Mohamad berharap masalah itu dapat diselesaikan kerana ramai antara mereka hanya berpendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Datuk Maulizan Bujang dipetik sebagai menyarankan agar mangsa membuat laporan di pejabat Tekun.

"Apabila laporan telah dibuat, siasatan dalaman akan dibuat ke atas kes ini dan jika didapati benar maka tindakan akan diambil ke atas pegawai tersebut," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Zainal Baharom mengesahkan laporan itu dan akan membuat siasatan ke atasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi polis di talian 07-22 12 999 atau balai polis berdekatan.

Radzi nafi dalang lemahkan politik Shahidan

Abdul Rahim Sabri
(dikemaskini)


Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad menyifatkan dakwaan beliau sebagai dalang gerakan menghapuskan pengaruh Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis sebagai satu tuduhan yang liar.

"Itu tuduhan liar dan tidak benar. Saya buat kerja sepanjang masa. Menjaga kebajikan rakyat keseluruhan,” kata ahli parlimen Kangar.

"Saya tidak ada kena-mengena langsung dan tidak pernah mencampuri pentadbiran menteri besar."

Radzi didakwa sedang menjalankan gerakan mencantas pengaruh bekas menteri besar itu dengan menyekat jawatan para penyokongnya, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan menghalang pemberian kontrak kerajaan negeri.

Sambil menempelak ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Suboh yang melemparkan dakwaan sedemikian semalam, bekas setiausaha agung Umno itu berkata:

"Cermin muka dahulu. Apa yang anda buat selama ini di Kangar dan Perlis? Jangan sembang kosong, tidak baik. Jangan buat tuduhan.

"Sembang kosong, tapi apa pun tak buat. Tunjukkan bukti dahulu."

Hashim juga mendakwa, menteri besar kini Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

"Orang Shahidan yang kalah dalam pertandingan jawatan parti (tahun lepas) telah diketepikan sama sekali.

"Berikutan itu, kini suara-suara tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Umno Perlis semakin kuat kedengaran," kata Hashim lagi.

Radzi juga mencabar Hashim menunjukkan bukti bahawa beliau terlibat mencampuri urusan pentadbiran menteri besar itu.

Beliau seterusnya mempersoalkan status projek membela ikan di empangan air Timah Tassoh yang diketuai oleh Hashim.

"Apa sudah jadi dengan projek itu sekarang?" katanya.

Radzi turut mendakwa Hashim tidak turun membantu jentera kempen BN dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu untuk memastikan kemenangan calon-calon parti itu di parlimen Kangar.

"Beliau tidak pernah tolong dan turun kempen untuk sama-sama memenangkan calon di Kangar. Satu sen pun tidak beri.

"Awak ketua penerangan? Siapa yang lantik awak? Saya ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat," katanya, sambil menasihatkan kepada Hashim agar menjalankan kerja dengan baik dan menunjukkan kejayaan kepada masyarakat.

Bekas menteri itu berkata orang ramai kini sedang menilai kekuatan pemimpin Umno setelah PAS berjaya menguasai dua kerusi DUN – di Sanglang dan Simpang Empat – dalam parlimen Arau.

Umno bahagian Arau kini masih diketuai Shahidan.

Sambil mendakwa beliau tidak ada sebarang perselisihan faham atau permusuhan dengan bekas menteri besar itu, Radzi berkata:

"Beliau buat kerjanya, saya buat kerja saya."

Ramlang saman Jakim jika rayuan ditolak

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 2:06pm)


Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim - akan mengambil tindakan saman.

"Saya akan merayu (kepada Jakim). Jika tidak terima, saya akan tuntut hak-hak saya melalui (proses) undang-undang," kata Ramlang Porigi.

Beliau merancang mengemukakan rayuan kepada jabatan tersebut pada Selasa atau Rabu depan.

Anak kelahiran Sabah itu kini sedang berehat di kampung halamannya di Sandakan dan dijadual kembali ke Kuala Lumpur awal minggu depan.

Ramlang - yang berceramah di tiga tempat dan kemudian mengadakan sidang media bersama PKR ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas - diberhentikan perkhidmatannya minggu lepas.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja."

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim yang dipengerusikan oleh Wan Mohamad mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ramlang mendakwa penyingkirannya tidak melalui prosedur dan amalan biasa.

"Saya dibuang tanpa amaran, tanpa notis," katanya.

Beliau juga mendakwa hanya dipanggil sekali sahaja bertemu Wan Mohamad - sehari sebelum dipindahkan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke bahagian pentadbiran dan kewangan Jakim di Putrajaya pada 9 September lalu.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu juga, Ramlang mendakwa tidak dimaklumkan berhubung tindakan pembuangan itu tetapi hanya dipersalahkan ekoran kemunculan beliau di pentas PKR pada 24 Ogos, kira-kira 48 jam sebelum pengundian dalam pilihanraya tersengit itu.

Tambahnya, kehadiran beliau ke pentas PKR dipersoalkan oleh majikannya kerana kelihatan "senang hati" sewaktu berucap tetapi sebab beliau berada di situ tidak diambil perhatian.

"Mereka kata, gambar saya (berucap) yang disiarkan di (laman perkongsian video) Youtube nampak gembira," kata Ramlang.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau reda dengan takdir tuhan walaupun pemecatannya itu tidak diduga sama sekali.

"Waktu saya cakap dengan kawan-kawan, mereka kata, mustahil sampai kena buang. Ada orang (kakitangan awam) lawan kerajaan betul-betul tetapi (mereka) tidak kena buang (kerja) pun.

"Ada (kakitangan) yang ada rekod jenayah pun tidak kena buang pun."

"Saya hanya ingin membebaskan nama saya daripada pelbagai fitnah yang diterima sejak seminggu menjadi saksi sumpah itu.

"Alhamdulillah sekarang, ke mana saya pergi, orang tidak marah pada saya," katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat dengan mendakwa beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menceritakan pengalaman beliau bertugas empat bulan di Jakim sejak ditukarkan secara mendadak, beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada pegawai atasannya.

Bagaimanapun, tambah Ramlang, beliau tidak diberikan sebarang kerja dengan harapan beliau akan melepaskan jawatan sebagai kakitangan Gred 17 secara sukarela.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Pendaftaran keahlian UMNO secara Online

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini melancarkan sistem pendaftaran keahlian parti secara online di lobi Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menerusi kaedah tersebut, permohonan menjadi ahli UMNO boleh dibuat menerusi laman web www. daftar.umno.org.my.

Majlis pelancaran dilakukan pada kira-kira pukul 8.30 malam iaitu sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di menara berkenaan.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib-naib Presiden parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta ahli-ahli MT.

Individu yang ingin mendaftar keahlian dikehendaki menaip nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, telefon dan e-mel, negeri, bahagian dan cawangan yang ingin disertai.

Syarat untuk membuat pendaftaran ialah warganegara Malaysia dan kaum Melayu atau bumiputera.

Individu berkenaan juga dikehendaki membuat pengakuan untuk patuh kepada Perlembagaan, peraturan dan segala dasar parti.

Abdullah: Jawatankuasa Disiplin akan diperkuatkan

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Umno akan diperkuatkan bagi menangani isu-isu yang bersangkut paut dengan parti termasuk gejala politik wang yang serius diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Kita ambil kesempatan untuk terus ingatkan bahawa amalan politik wang ini tidak baik.

"Kita juga akan besarkan jawatankuasa ini (Disiplin) dengan menambah lagi pembantu-pembantu supaya kes-kes yang dilaporkan dapat dipertimbangkan dan diputuskan dengan cepat," kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini awal pagi ini.

Mesyuarat MT lebih tiga jam berakhir pukul 12.30 tengah malam tadi.

Isu gejala politik wang kini ditangani bersama oleh Jawatankuasa Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, mesyuarat MT turut menyentuh kegagalan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.

Jelas beliau, laporan mengenai keputusan pilihan raya itu akan dihalusi oleh jawatankuasa pengurusan.

"Kita belum dapat dedahkan laporan post-mortem, jawatankuasa pengurusan perlu perhalusi dulu," katanya.

"Tebal juga laporan itu... nanti baru kita boleh beritahu," jelas beliau.

Mengenai hasil retreat Umno tahun lalu, Abdullah menambah, mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa perkara yang telah diputuskan.

Tindakan-tindakan itu antaranya yang ada kaitan dengan proses pemilihan, sistem kuota dan proses pengundian.

Salah laku: Ketua Umno Pendang disiasat

BERNAMA


ALOR SETAR: Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Md. Rozai Shafian hari ini dipanggil membantu siasatan mengenai dakwaan salah laku etika dalam mesyuarat pemilihan Umno Bahagian Pendang pada Oktober tahun lepas.

"Ya, saya telah dipanggil oleh sebuah panel siasatan di Alor Setar pagi tadi dan mereka bertanya beberapa soalan dan saya telah memberi kerjasama," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah itu berkata, selain dirinya, terdapat juga beberapa anggota parti yang turut dipanggil oleh panel penyiasat berkenaan.

Pada pemilihan Umno Bahagian Pendang itu, Rozai berjaya mempertahankan jawatan Ketua Umno bahagian setelah menewaskan pencabarnya Datuk Othman Abdul.

Panel penyiasat itu dipercayai sedang dalam rangka lawatan ke beberapa buah negeri bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang berkaitan dengan salah laku etika dan politik wang pada pemilihan peringkat bahagian Umno Oktober lepas.

Konvensyen BN Di Tangguh Kerana kalah di Kuala Terengganu

Editor Buletin Online


Kuala Terengganu – Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan berlangsung pada 14 Februari depan ditangguhkan kerana dikatakan menghadapi masalah logistik bagi menempatkan 2,000 perwakilan dari semua parti komponen.

Bagaimanapun, hakikat sebenarnya penangguhan tersebut, menurut seorang pemimpin parti komponen adalah kerana kekalahan UMNO di Kuala Terengganu disamping terlalu hampir dengan perhimpunan agung UMNO yang akan diadakan pada Mac depan.

“Ramai ahli UMNO bimbang para pimpinan parti komponen yang lain (dalam BN) akan banyak bercakap tentang UMNO dalam konvensyen itu, dan menyalahkan UMNO atas kekalahan BN ,”kata seorang pemimpin komponen BN yang tidak mahu dikenali.

“Akan ada percanggahan diantara perkara yang mungkin terjadi dalam konvensyen dengan perkara yang akan berlaku dalam perhimpunan agung UMNO,”tambah pemimpin itu sebagaimana dipetik wartawan Adib Zalkapli dalam akhbar internet Malaysia Insider.

Difahamkan, penangguhan konvensyen tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang semalam.

Cadangan Konvensyen BN itu telah diumumkan oleh Presdien UMNO akhir tahun lalu bertujuan untuk mengkaji merudumnya pengaruh BN sejak kekalahan teruk pada pilihanraya umum 8 Mac lalu.

‘Tsunami Politik’ yang melanda negara pada pilihanraya umum ke 12 tahun 2008 telah menyaksikan BN kehilangan majoriti 2/3 di parlimen.

Kekalahan calon UMNO yang mewakili BN dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu memberikan tamparan hebat kepada parti tersebut yang dilihat tidak lagi relevan dalam suasana politik masakini.

Khamis, 29 Januari 2009

Hari bekerja boleh dikurangkan jika pekerja setuju: JTR

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membenarkan syarikat dan kilang memendekkan operasi masing-masing kepada tiga hari seminggu jika pekerja bersetuju dengan langkah itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim, hari ini.

Katanya, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah bagi memastikan kadar kehilangan kerja yang miminum di kalangan rakyat.

Beliau berkata, majikan perlu mendapat persetujuan pekerja jika ingin melaksanakan langkah itu kerana pekerja akan menerima gaji yang rendah jika tempoh hari bekerja dikurangkan.

"Adalah menjadikan tanggungjawab jabatan ini untuk memastikan pekerja mendapat perlindungan secukupnya dan pada masa sama syarikat tidak mengalami kekurangan atau kerugian," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat adalah lebih baik untuk pekerja mengambil potongan gaji sementara daripada terus diberhentikan kerja.

"Sebagai majikan, kita tidak mahu kehilangan pekerja dan akan melakukan apa yang terbaik untuk mengekalkan seberapa ramai bilangan pekerja yang boleh," kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

Sejak 1 Januari lalu, kira-kira 10,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan bilangan itu dijangka meningkat jika situasi ekonomi tidak berubah. -

MB dedah penyelewengan BN Selangor di sidang Dun Mac ini

Saidah Hairan


KUALA SELANGOR - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendedahkan penyelewengan kerajaan BN Selangor di bawah pimpinan Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Mac nanti.

Ini dilakukan selepas Khir Toyo mendedahkan dokumen kononnya Khalid mengarahkan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd membiayai pembelian 46 ekor lembu untuk dikorbankan dan diagih-agihkan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

"Saya belajar daripada dia (Khir), tapi saya hanya dedahkan dalam Dun dan bukan boleh kita dedahkan macam ini.Saya percaya dia setuju sebab kita dalam proses keterbukaan," katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian projek Laman Dapur di Dun Ijok.

Beliau mengingatkan Khir yang juga bekas Menteri Besar ketika memegang jawatan itu telah mengangkat sumpah dan menghormati Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tindakan Khir itu telah memberi kesempatan kepada beliau untuk membuat pendedahan tentang penyelewengan pada ketika pentadbirannya, tegas Khalid.

"Saya akan buka surat pemberian tanah dan kontrak kepada semua yang telah dibahagi," katanya.

Khalid menegaskan sejak awal lagi beliau menyokong OSA perlu dimansuhkan dan hanya pada perkara untuk keselamatan negara saja perlu dirahsiakan.

Tetapi tambah beliau, bagi penjualan lembu dan sebagainya tidak menjadi masalah untuk didedahkan dan OSA tidak boleh digunakan hanya untuk menjaga kepentingan satu-satu pihak sahaja.

Khalid yang menjadi Adun Ijok dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak akan bekerja keras untuk membetulkan penyelewengan selama ini.

Katanya, dalam usaha membetulkan penyelewengan mesti ada keterbukaan kerana dengan cara itu baru dapat menyelesaikan segala permasalahan.

"Saya bekas CEO dan masuk politik kerana hendak membuat perubahan dan saya akan sentiasa membuat perubahan," tegasnya. - lanh _

Hukuman pecat dibatal, pencabar Samy sambut baik

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 5 PETANG]


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) hari ini membatalkan hukuman memecat bekas Naib Presiden MIC Datuk M. Muthuppalaniappan, yang pernah menyatakan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu pada pemilihan presiden parti.

Dengan itu, bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan tersebut layak untuk terus menikmati segala hak yang diperuntukkan oleh parti itu.

Ini termasuklah memegang jawatan di peringkat cawangan dan bertanding apa juga kedudukan dalam parti jika layak berbuat demikian.

Keputusan membatalkan hukuman memecat diumumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel selepas mempengerusikan mesyuarat CWC lebih tiga jam.

Dalam reaksi segera, Muthuppalaniappan ketika dihubungi mStar Online berkata, beliau gembira dengan keputusan tersebut.

Ketika ditanya sama ada masih berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden - kemungkinan diadakan April atau Mei ini, beliau berkata, "pendirian yang saya umumkan dulu masih kekal."

Bagaimanapun katanya, sama ada beliau akan layak bertanding ia bergantung pada pencalonan yang boleh diterimanya kelak.

"Kita tunggu dulu jawapan balas (daripada ibu pejabat parti)," kata beliau sambil menambah, "saya gembira untuk mengetahui bahawa CWC mengambil satu keputusan yang baik demi kepentingan MIC dan masyarakat India secara keseluruhannya."

Muthupalaniappan, 68, bekas Exco kerajaan Negeri Sembilan, dipecat oleh Jawatankuasa Disiplin atas alasan mengeluarkan kenyataan memudaratkan MIC kepada akhbar-akhbar bahasa Tamil dan portal berita Malaysiakini.

Surat pemecatannya ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri G. Vadiveloo yang tidak hadir mesyuarat CWC hari ini kerana kurang sihat.

KEPUTUSAN CWC

Ketika menjelaskan keputusan CWC, Palanivel memberitahu, pihaknya memutuskan bahawa keputusan Jawatankuasa Disiplin adalah tepat, tetapi dengan mengambil kira jasa Muthuppalaniappan kepada parti selama ini, CWC membatalkan hukuman tersebut.

Di sebalik peluang itu, kata beliau, CWC memberi amaran kepada Muthuppalaniappan.

"Dengan ini kami memberi amaran yang tegas dan memberi peluang kepada Muthuppalaniappan supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan parti.

"Jika beliau keluarkan apa jua kenyataan yang menjejaskan kepentingan parti, Muthuppalaniappan akan dipecat dari parti serta-merta," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat MIC sebentar tadi.

Mesyuarat CWC bermula pada pukul 10 pagi tadi dengan dipengerusikan oleh Samy Vellu.

Namun oleh kerana isu itu ada kaitan dengan pemilihan Presiden MIC, Samy Vellu berundur daripada terus mempengerusikan mesyuarat CWC.

Palanivel mempengerusikannya sejak pukul 12 tengah hari khusus untuk meneliti rayuan Muthuppalaniappan.

Muthuppalaniappan mengemukakan rayuannya pagi semalam.

REAKSI SETIAUSAHA AGUNG

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam ketika ditemui memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi keputusan CWC kepada Muthuppalaniappan minggu depan.

"Dengan keputusan ini, beliau mempunyai segala hak sebagai ahli MIC, sebagaimana dinyatakan dalam perlembagaan parti," katanya.

Mesyuarat cawangan MIC akan berlangsung bulan depan dan disusuli dengan persidangan perwakilan bulan Mac.

November lalu, Muthuppalaniappan mengumumkan hasrat untuk mencabar Samy Vellu, Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu.

Jawatankuasa Disiplin mengumumkan keputusan memecat Muthuppalaniappan menerusi surat bertarikh 21 Januari lalu.

Tajol letak jawatan Ketua Umno Gerik hujung Mac

MSTAR ONLINE


KAMPAR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali akan meletak jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gerik pada 29 Mac ini.

Katanya, beliau juga tidak akan bertanding mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi pada perhimpunan agung Umno dari 24 hingga 28 Mac ini, yang sekali gus akan menyebbkan semua jawatan yang disandangnya melalui lantikan termasuk sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, tergugur.

Bercakap kepada pemberita di sini, Tajol Rosli menyelar sebuah akhbar hari ini yang melaporkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

"Saya terperanjat dengan laporan itu. Akhbar itu memang tidak beretika. Selama ini hubungan saya dengan wartawan memang baik tapi hari ini saya memang marah dengan akhbar itu.

"Laporan itu tidak sepatutnya dibuat kerana ia merupakan satu mesyuarat tertutup dan tidak sepatutnya apa yang berlaku dalam mesyuarat itu dilaporkan," katanya kepada selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Desa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning di sini hari ini.

Ketika diminta mengesahkan kesahihan laporan akhbar itu, Tajol Rosli meminta media bertanya kepada wartawan yang berkenaan.

"Saya tidak pernah memberi sebarang kenyataan akhbar, maka kenyataan dalam laporan itu bukannya daripada saya.

"Tanyalah dia, betul ke tidak," katanya.

Akhbar berkenaan dalam laporan muka depannya mendakwa Tajol Rosli pada majlis perjumpaan bersama Pemimpin Umno Bahagian Parit dan ketua cawangan dalam bahagian itu di Bangunan Umno Parit lewat petang Selasa lepas mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak kerana rasa bertanggungjawab terhadap tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Tajol Rosli berkata beliau tidak akan mengulas mengenai perkara itu lagi dan akan membiarkan kepimpinan parti memikirkan mengenainya.

Ditanya reaksinya tentang beberapa ADUN Umno di Perak yang menyalahkan beliau sebagai punca kepada masalah dalaman yang berlaku, Tajol Rosli berkata:

"Saya ambil tanggungjawab, apa yang mereka cakap itu kita terimalah."

Perdana Menteri yang diminta mengulas mengenai isu Umno Perak dan peletakan jawatan Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat MT malam ini.

SPR akan laksana pendaftaran pengundi secara online

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewujudkan kaedah pendaftaran pemilih secara online dalam usaha menggalakkan warganegara yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kaedah itu akan memudahkan orang ramai terutamanya golongan muda mendaftar daripada komputer masing-masing dan ia akan dijalankan secepat mungkin iaitu sebaik sahaja kajian mengenainya selesai.

"Kini terdapat empat juta warganegara yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar dengan SPR dan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda berumur 20an," katanya selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik.

"Kami juga berharap pihak NGO seperti Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) dan parti-parti politik akan membantu menarik minat orang ramai mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Dalam perjumpaan hampir 50 minit itu, Abdul Aziz berkata beliau menerangkan kepada Tuanku Mizan mengenai perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lepas.

Beliau berkata proses penganjuran pilihan raya itu merupakan yang terbaik setakat ini dan akan menjadi tanda aras atau contoh untuk pilihan raya akan datang.

"Tuanku gembira dan bertitah agar kami menjalankan tugas dengan saksama, adil, tidak berat sebelah dan profesional," katanya.

Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 31 Disember, manakala Datuk Ngah Senik sebagai Setiausaha pada 16 November tahun lepas.

Samy mahu terima balik ramai lagi pemimpin MIC

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu selepas menerima balik salah seorang pengkritiknya semalam, hari ini memaklumkan lebih ramai bekas ahli dan pemimpin parti itu, dijangka antara 15 hingga 30 orang, akan diterima semula dalam waktu terdekat.

Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu menyatakan perkara tersebut pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pagi tadi.

"Saya memaklumkan tentang hasrat untuk menerima ahli dan pemimpin MIC yang pernah dipecat dan pernah keluar MIC sebelum ini," kata beliau selepas mesyuarat CWC di Ibu Pejabat MIC hari ini.

Mesyuarat CWC peringkat awal dipengerusikan oleh beliau iaitu kira-kira dua jam dan kemudian diambil alih oleh Timbalannya, Datuk G. Palanivel khusus bagi membincangkan rayuan bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppaliappan yang dipecat minggu lalu.

Bagaimanapun Samy Vellu tidak menyatakan bilangan pemimpin yang akan diterima semula.

mStar Online difahamkan jumlahnya antara 15 hingga 30 orang.

Pemecatan pemimpin dalam MIC berlaku pada kadar drastik selepas pertandingan sengit bagi jawatan Naib Presiden tahun 1987 dan dua tahun kemudian pemilihan Presiden yang Samy Vellu ditentang oleh Datuk S. Subramaniam ketika itu timbalannya.

Samy Vellu sebagai Presiden mempunyai kuasa untuk menerima balik seseorang ahli dan diluluskan oleh CWC.

K. P. Samy, salah seorang pengkritik bersuara lantang terhadap Samy Vellu, yang dipecat dari parti tahun lepas, diterima semula ke dalam parti itu semalam.

Samy Vellu meluluskan permohonan K.P. Samy yang dikemukakan semalam.

Beliau yang merupakan bekas anggota CWC MIC pernah dikaitkan dengan pertubuhan haram, Hindraf.

"Saya menyertai semula MIC bagi meningkatkan imej Barisan Nasional (BN) dan MIC. Saya akan terus menyuarakan isuisu tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata K.P. Samy semalam.

Beliau juga merupakan bekas pengerusi MIC cawangan Shahbandar, Shah Alam, dipecat dari MIC selepas menyokong secara terbuka demonstrasi Hindraf di ibu negara pada November 2007.

Harapan kepada Mufti Perlis, jadikan tokoh agama 'rakan sekerja'

Bashir Ishak


KANGAR - Mufti baru kerajaan negeri Perlis, Dr Juanda Jaya, 38, yang akan mulai berkhidmat Februari ini diyakini akan mampu menjalankan tugas dengan baik dan berkesan berdasarkan pengalaman yang ada.

"Ini juga dibantu oleh sikap kepimpinan kerajaan negeri yang ada pada hari ini yang dilihat lebih terbuka dan mesra, tidak terlalu mengongkong dan mencengkam," demikian menurut Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Dalam laman blognya peribadinya Ustaz Zolkharnain melahirkan rasa gembira dengan pelantikan tersebut, sekurang-kurangnya kerana kerusi penting itu tidak dibiarkan kosong terlalu lama.

Katanya, walaupun masih muda, jawatan yang diisi Juanda itu mempunyai beban tugas yang semakin mencabar, kadang-kadang lebih memerlukan adunan dua keupayaan serentak iaitu keupayaan fizikal dan akademik.

Ustaz Zolkharnain menggariskan beberapa mulahazah yang ingin disuarakan kepada mufti baru ini iaitu perlulah mendengar suara semua pihak dan bukan pihak berkuasa yang melantik dan membayar gajinya sahaja.

Selain itu, mufti juga harus mengukuhkan usaha mengikis salah faham kalangan bukan Islam terhadap Islam melalui kegiatan dialog antara budaya.Begitu juga, seorang mufti perlu mengelak ketegangan dalam masyarakat melalui pengiktirafan terhadap perbezaan amalan berdasarkan pegangan kepada mazhab tertentu.

"Peranan mufti juga perlu mencakupi usaha mendekati golongan muda dan mendidik mereka supaya mesra 'orang agama' di samping memberi nafas baru kepada institusi masjid supaya lebih segar melalui penambaikan khutbah dan penjenamaan semula semua aktiviti," ulasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar mufti yang baru ini menjadikan tokoh-tokoh agama tempatan seperti Dr Mohd Arsyad Taib, Dato' Dahlan Mohd Zain, Dato' Ahmad Jusoh termasuk daripada parti pembangkang seperti Ustaz Hashim Jasin, Ustaz Ahmad Ali dan ramai lagi wajar menjadi 'rakan kerja'.

"Tidak menjadi kesalahan kita berbeza pandangan dalam banyak hal, tetapi menjadi suatu kesalahan besar apabila kita tidak mahu bersatu demi kepentingan agama," ujarnya. - azm _

MB Selangor nasihat Khir Toyo bersikap profesional

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor mengingatkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo supaya bersikap lebih profesional dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan pelaksanaan kerajaan negeri.

Menurut Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengeluarkan sebarang kenyataan Khir perlu mendapatkan fakta yang jelas dan tepat supaya tidak bercanggah.

Beliau berkata demikian ekoran tindakan Khir yang mendakwa 46 ekor lembu yang dikorbankan di Bandar Tun Razak melibatkan wang kerajaan negeri.

"Sebagai Ketua Pembangkang, beliau mempunyai saluran tersendiri seperti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada Mac nanti," tegasnya.

Justeru, tambah beliau gunakanlah saluran itu dengan sebaik-baiknya.

Menurut beliau, pimpinan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan pihak yang cuba meraih politik murahan berkaitan isu tersebut kerana melibatkan insititusi Diraja negeri Selangor.

Khalid menegaskan, melibatkan pihak istana merupakan tindakan yang tidak wajar kerana perkara itu telah dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Biarlah mereka pihak (SPRM) menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak," tegas beliau.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Gerakan Demokrasi Anti Korupsi (Gerak) seolah-olah tidak tidak ikhlas dalam memperjuangkan isu dengan mengaitkan Tuanku Sultan.-SH _

Sayap Umno tidak dimansuh - Najib

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Umno tidak bercadang untuk memansuhkan semua sayap partinya walaupun perubahan struktur itu dikatakan boleh membendung gejala politik wang.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata perubahan struktur melalui kaedah pemansuhan sayap parti adalah satu tindakan drastik dan akan memberikan kesan yang begitu besar kepada usaha untuk memupuk pemimpin pelapis.

"Buat masa ini kita tak bercadang mansuhkan.

"Kita tak boleh ketepikan peluang untuk pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri untuk tonjolkan bakat kepimpinan mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenayataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail bahawa terlalu banyak proses pemilihan dalam struktur Umno hingga boleh menyumbang kepada gejala politik wang, beliau berkata: "Soal kaedah pemilihan boleh difikirkan."

Tambah beliau lagi Umno perlu memantapkan kaedah penguatkuasaan bagi membendung gejala politik wang.

"Kalau masalahnya ialah politik wang, kita mesti memperkukuhkan lagi penguatkuasaan kita untuk membanterasnya iaitu bukan sahaja dari segi tindakan, malah dari segi pengukuhan nilai, budaya dalam umno.

"Maknanya proses pengukuhan mesti berjalan seiring dengan soal penguatkuasaan.

Najib juga berkata perubahan struktur dengan memansuhkan sayap parti belum sampai pada masanya kerana ia akan memberi kesan yang begitu besar kerana selama ini Umno memainkan peranan penting dalam usaha menyediakan generasi muda untuk menerajui parti itu pada masa hadapan.

"Kalau mereka tidak diberi peluang untuk memimpin, maka kita tidak boleh bangunkan pemimpin baru," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata kesemua sayap parti itu merupakan pelengkap kepada struktur kepimpinan dalaman Umno.

"Struktur Umno telah lama wujud dengan sayap Pemuda dan Wanita diwujudkan pada peringkat awal.

"Kedua-dua sayap ini memainkan peranan penting dalam parti dan kemudian Puteri pula diwujudkan beberapa tahun lepas, ini adalah satu struktur yang lengkap," katanya.

Calon timb presiden enggan kompromi

Muda Mohd Noor


Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan tetap bertanding jawatan timbalan presiden Umno, Mac ini walaupun ada cadangan supaya jawatan tersebut dikompromi di antara tiga calonnya.

"Sebagai calon yang telah dipilih oleh ahli untuk bertanding, tidak ada sebab untuk saya berkompromi atau menarik diri.

"Saya ucapkan tahniah kalau ada yang memberi cadangan untuk berkompromi tetapi saya tidak akan tarik diri. Kalau ada calon lain yang menarik diri, alhamdulillah," kata ketua menteri Melaka.

Beliau diminta mengulas cadangan Umno bahagian Besut yang menyarankan calon-calon jawatan tersebut dan naib presiden Umno supaya berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Ketua bahagian tersebut Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cadangannya akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat - dijadual diadakan minggu ini.

Sebaliknya Mohd Ali berkata, semua calon termasuk beliau ada kelebihan masing-masing dan terpulang kepada ahli untuk menentukan kelebihan mereka.

“Kalau ikut rekod, saya telah berkhidmat dengan parti sejak 1968 di semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hingga pusat," katanya lagi.

Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, cadangan bekas menteri besar Terengganu itu tidak bermakna ia mewakili pandangan majoriti.

Tambahnya, dalam Umno, sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan untuk memantapkan parti.

"Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya menjurus kepada satu cadangan (Idris) sahaja kerana ada pelbagai aspek yang perlu diberikan perhatian," katanya.

Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan seorang lagi calon jawatan nombor dua, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Umno Perak yakin dua ADUN tidak lompat parti

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meluahkan kekecewaan terhadap Umno tidak akan lompat parti bagi menyertai pembangkang.

Beliau yang sudah berbincang dengan kedua-dua pemimpin itu yakin bahawa mereka akan terus kekal bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti yang diikrarkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan pada Isnin lalu.

"Saya yakin mereka akan terus kekal bersama kita (Umno)...mereka tak akan lompat parti.

"Mereka juga hadir dalam pertemuan dengan Datuk Seri Najib dan mereka juga berikrar akan taat setia untuk kekal dalam BN," katanya kepada mStar Online.

Akhbar hari ini melaporkan ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar melahirkan kekecewaan terhadap Umno dan memikirkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika parti itu masih tidak berubah.

Ahamad dan Hamdi yang masing-masing merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput dan Beruas bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam pemilihan parti peringkat bahagian Oktober lalu.

Isu lompat parti di Perak mula timbul apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengumumkan keluar daripada BN bagi menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR) pada Ahad lalu.

Bagaimanapun Ramly berkata tindakan kedua-dua ADUN berkenaan yang menyuarakan perasaan mereka itu tidak bermaksud untuk meninggalkan parti.

"Mereka hanya suarakan perasaan mereka...itu tak salah," katanya.

Malah jelas Ramly kedua-dua pemimpin berkenaan juga sebenarnya terkejut dengan tindakan Nasaruddin menyertai parti pembangkang.

"Kalau ditanya pada mereka berdua, mereka juga terkejut dengan tindakan Datuk Nasaruddin kerana mereka tidak menjangkakan sampai begitu sekali.

"Mereka sebenarnya tak sangka datuk Nasaruddin sampai tahap lompat parti," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan Badan Perhubungan Umno negeri untuk mengadakan rundingan dengan Nasaruddin bagi memujuk beliau kembali menyertai Umno dan BN, Ramly berkata pihaknya masih belum dapat membuat sebarang rumusan.

"Kita masih berusaha dan akan terus usaha...kita tak dapat nak rumus apa-apa lagi," katanya.

Pengebumian Kugan: Suspek kes bunuh antara enam ditahan

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dikehendaki polis adalah antara enam orang yang ditahan di hadapan pintu masuk utama Pusat Perubatan Universiti Malaya semasa menyertai perarakan membawa mayat suspek curi kereta A. Kugan hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata lelaki berusia 55 tahun itu disyaki terlibat dalam kes bunuh.

Penangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila seorang lelaki cuba merempuh kearah pintu masuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengarahkan orang ramai yang berkumpul bersurai.

Dua lagi ditahan kerana cuba melalui sekatan polis di PPUM.

Manakala dua lagi ditahan polis kerana didapati cuba untuk menyebarkan provokasi dikalangan orang ramai yang berkumpul di kawasan PPUM.

Empat daripada mereka memakai kemeja-t Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) - pertubuhan yang diharamkan sejak Oktober tahun lalu.

Salah seorang dipercayai bekas penyelaras kumpulan itu, R.S. Thanendran.

Polis dijangka membebaskan lima yang lain itu dalam waktu terdekat setelah keterangan mereka direkodkan.

Lima lelaki itu berusia antara 39 tahun dan 52 tahun.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul bagi menyertai perarakan dari PPUM ke krematorium di Batu 14 Puchong.

Bagaimanapun orang ramai yang berkumpul di perkarangan PPUM sejak pukul 8 pagi, mematuhi nasihat polis dan bersurai dari kawasan itu pada kira-kira pukul 1.45 petang.

Kereta jenazah yang membawa mayat Kugan, meninggalkan bilik mayat PPUM selepas pukul 2 petang untuk upacara pengebumian.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati pada 20 Januari semasa dalam siasatan.

BN Perak harus gesa Nasaruddin letak jawatan

BERNAMA


PUTRAJAYA:Barisan Nasional (BN) Perak perlu melakukan gerakan besarbesaran bagi menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota Datuk Nasaruddin Hashim meletakkan jawatan berikutan tindakannya melompat parti.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kemenangan Nasaruddin pada pilihan raya lalu adalah di atas tiket BN, justeru keputusan beliau untuk melompat parti memusnahkan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi di kawasan itu.

"Jika saya orang Perak, saya akan mula bentuk (gabungan) semua NGO dan ketua kampung sekarang menuntut peletakan jawatannya. BN Perak harus membuat keputusan seperti ini bagi menyedarkan rakyat.

"Kita ada beribu cawangan di Perak, cawangan Umno, Putera, Puteri, Pemuda, Wanita semua harus bersuara...Kalau setakat keluar di suratkhabar ia tidak akan memberi kesan," kata Menteri Luar itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Othman Hashim, di sini hari ini.

Dr Rais berkata beliau juga yakin BN akan menang sekali lagi sekiranya pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa BN masih kuat dan masih boleh bangkit, dan mereka yang cuba melompat keluar dari BN akan menyesal sendiri setelah melihat kekuatan parti nanti.

Pada Ahad lepas, Nasaruddin yang menang dengan majoriti 2,068 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Usaili Alias pada pilihan raya umum Mac lalu mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai PKR.

Perak kini diterajui pakatan pembangkang Pas, DAP dan PKR dengan menguasai 31 kerusi DUN manakala BN 28 kerusi.

Mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memansuhkan sayapsayap parti bagi menghapuskan gejala politik wang, Dr Rais berkata setiap cadangan untuk memperbaiki Umno pada ketika ini akan diambil kira, namun cadangan itu haruslah praktikal dan mendatangkan faedah.

"Jika didapati suara majoriti nanti bahawa sayapsayap tersebut sesungguhnya tidak mendatangkan faedah atau melemahkan perjuangan tentu MT akan buat keputusan itu.

"Pada masa ini memang kita menggalakkan semua pihak memberi pandangan tetapi kita jangan terlalu mabuk pandangan pada masa ini selain daripada menghapuskan rasuah dalam parti dan mengukuhkan Umno itu sendiri," katanya.

Yayasan Amal sumbang 3,700 botol air bersih di Gaza

Harakahdaily


KAHERAH - Yayasan Amal Malaysia menempa satu lagi sejarah dalam misi kemanusiaan ke Gaza apabila 3700 botol air dengan isipadu 6 liter air sebotol, berjaya menembusi sempadan Rafah dan sampai ke Gaza.

Sumber daripada Arab Medical Union menyatakan, ini adalah bantuan air kali pertama yang dapat dihantar ke Gaza sejak perang meletus.

Sebelum ini hanya ubat-ubatan yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke Gaza melalui Rafah Crossing, walaupun maklumat yang didapati penduduk Gaza amat memerlukan air yang bersih.

Bantuan air bersih ini akan disampaikan terlebih dahulu kepada hospital-hospital di kawasan Gaza yang sangat memerlukannya.

Rabu, 28 Januari 2009

Usaha cantas orang Shahidan

Muda Mohd Noor


Usaha menghapuskan pengaruh bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa sedang dijalankan oleh pemimpin Umno tertentu di Perlis dengan menafikan jawatan dan kontrak.

Ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Jusoh mendakwa, gerakan mencantas penyokong Shahidan didalangi oleh bekas setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau menambah, menteri besar sekarang Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

Katanya, penyokong Shahidan kini diketepikan daripada memegang jawatan, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan tidak mendapat projek kerajaan negeri.

"Orang Shahidan yang kalah dalam pertandingan jawatan parti (tahun lepas) telah diketepikan sama sekali.

"Berikutan itu, kini suara-suara tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Umno Perlis semakin kuat kedengaran," katanya.

Shahidan, yang masih memegang ketua perhubungan Umno Perlis, terpaksa melepaskan jawatan menteri besar kepada Mohd Isa susulan campur tangan istana.

Hashim juga berkata, pihaknya kecewa kerana Umno belum mengambil sebarang tindakan ke atas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengingkari arahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika krisis pelantikan menteri besar Perlis, Mac tahun lalu.

Katanya, Abdullah mengarahkan semua Adun Perlis menyokong pelantikan Shahidan, seperti dipersetujui presiden Umno itu, sebagai menteri besar.

Sebaliknya, wakil-wakil rakyat itu menyokong Mohd Isa untuk jawatan tersebut.

"Selepas lapan bulan Umno tidak mengambil tindakan ke atas Adun-adun berkenaan yang terang-terang melanggar arahan perdana menteri dan presiden Umno," katanya.

Isu batu nesan: TKM tegur MAIPP

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG - Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin mengarahkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shabudin Yahya menjelaskan segera keadaan sebenar tentang projek di kawasan tanah perkuburan Kampung Kolam yang didakwa menjadi punca batu nesan bertaburan serta terdapat lubang untuk tujuan longgokan sampah.

Ketika ditemui baru-baru ini beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menyifatkan keengganan Shabudin bertemu dan memperjelaskan kedudukan Maipp sepertimana yang dikehendaki sejak pengambilan kuasa selepas pilihanraya umum lepas menyebabkan punca berlaku kejadian begini.

"Itulah sebabnya kita mahu mendengar taklimat sendiri dari Maipp yang selama ini tidak diketahui termasuk perancangan mereka terhadap tanah wakaf yang berada bawah kawal selia Maipp, " tambahnya kesal.

Kali ini tegasnya, Maipp tidak boleh lari lagi dari tanggungjawabnya sebalik kena menyediakan laporan tentang kejadian tersebut sehingga membuatkan PAS Tanjung menghantar batu nesan ke peabat Maipp minggu lepas tanda kecewa dengan pentadbiran Maipp yang agak alpa tentang penjagaaan kawasan perkuburan lama.

Kali ini bukan masa Shabudin melarikan diri tetapi wajar tampil dengan laporan yang dikehendaki memandangkan beliau masih YDP Maipp yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung

"Bila terjadi begitu baru kita tahu ada bermacam-macam masalah dalam Maipp yang belum selesai. Sebagai kerajaan baru Pakatan Rakyat tidak mahu timbul isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dimainkan, " katanya.

Baru-baru ini sebuah akhbar menyiarkan kawasan perkuburan lama di Kampung Kolam menjadi tempat pembuangan sampah serta batu nisan bertaburan.

Setelah PAS Tanjung bertindak drastik menghantar batu nesan pada hari itu juga Maipp mengarahkan tiga pegawainya mengadakan siasatan serta mengarahkan kawasan yang terdapat kubur di pagari tali untuk menghalang daripada dicemari. - azm_

MB setuju Gerak baru diwujudkan

Saidah Hairan


KUALA SELANGOR - Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang diasaskan oleh reformis KeADILan sudah lari daripada perjuangan asal dan seolah-olah gerakan itu telah dikuasai Umno.

Demikian menurut Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang setuju diwujukan Gerak baru bagi membantu menangani dan membasmi gejala rasuah.

Beliau berkata, ada 10 gerak ditubuhkan lagi bagus kerana boleh membantu dalam mengatasi masalah ketelusan serta kebertanggungjawaban dan ia merupakan satu era baru dalam politik.

Sebelum ini katanya, Gerak telah menyerahkan banyak memorandum kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung salah laku rasuah tetapi tidak mendapat tindak balas.

Bagaimanapun, tambah beliau aduan yang dibawa oleh Gerak sekarang diterima oleh BPR.

Khalid berkata demikian ketika mengulas tindakan Gerak yang menyerahkan memorandum berhubung pemberian lembu korban di Parlimen Bandar Tun Razak.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin setuju dengan cadangan Menteri Besar kerana Gerak pada asasnya sebuah badan bukan kerajaan yang bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Bagaimanapun katanya Gerak yang ada sekarang hanya memberi tumpuan pada kes yang dilakukan oleh pembangkang dan tidak ada usaha yang serius untuk melaporkan rasuah yang lebih besar dilakukan oleh pimpinan BN.

"Saya setuju dengan Menteri Besar dan saya berharap Gerak lebih terarah dalam memerangi rasuah tidak kira terhadap kerajaan atau pembangkang," tegasnya.

Gerak diasaskan oleh Angkata Muda KeADILan pada tahun 2005 yang dipengerusikan oleh Ezam Mohd Noor. SH _

Muslim Care selamat tiba di Gaza, sumbang bantuan RM 100,000

Harakahdaily


GAZA, 28 Jan (Hrkh) -Deligasi Muslim Care telah selamat melepasi sempadan Rafah. Mereka dibenarkan masuk setelah menunggu di kawasan sempadan Mesir ke Palestin selama 3 jam. Kemudian itu barulah mendapat perlepasan dari pihak keselamatan Mesir.

Perjalanan seterusnya membawa Delegasi Muslim Care yang terdiri daripada Zulkefli Nani, Ustaz Riduan Md Nor dan Zulkifili Wahijan ke Gaza untuk meninjau mangsa-mangsa kebiadaban rejim Israel.

Mereka selamat tiba di Gaza pada jam 3.30 pm waktu tempatan, dan ketibaan mereka disambut dengan beberapa taklimat keselamatan yang disampaikan oleh pihak berkuasa di Palestin.

Setakat ini, sumbangan-sumbangan yang diwakilkan kepada Muslim Care telah diberikan kepada mangsa-mangsa yang berada di Hospital Nashir dan Hospital Khan Yunis.

Muslim Care telah menyediakan bantuan kemanusiaan seperti makanan, selimut, pakaian, keperluan kebersihan dan ubat-ubatan yang kesemuanya bernilai RM100,000.

Setelah rejim Israel menamatkan genjatan senjata, ramai mangsa-mangsa yang cedera dihantar ke hospital. Hari ini delegasi Muslim Care akan terus berusaha menyalurkan bantuan, dan mereka akan bermalam di Gaza.

Kepada rakyat Malaysia atau sesiapa sahaja yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian atas nama; Muslim Care dengan menyalurkan dana ke akaun RHB Bank: 26-2120-0000-4747. - azm _

Bloger, ketua Puteri cawangan digantung keahlian

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang bloger dan ketua Puteri cawangan antara lima yang digantung keahlian antara satu hingga enam tahun kerana didapati bersalah melanggar perlembagaan Umno dan tata etika ahli.

Bloger berkenaan yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Taiping, Muzamir Ismail digantung keahlian setahun bermula 23 Januari lalu.

Nor Aishah Rajab, Ketua Puteri cawangan dalam Umno Bahagian Batu pula digantung selama dua penggal atau enam tahun, juga bermula 23 Januari lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, di sini, pagi ini.

Bekas kelasi bercadang saman MISC

MYMETRO


PASIR PUTEH: “Saya bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC) kerana gagal membayar pampasan seperti dijanjikan sebelum ini.

“Saya masih menunggu mereka membayar wang berjumlah RM15,000 terutama selepas semua barangan untuk majlis perkahwinan dan wang tunai dirampas lanun ketika kapal kami ditawan dulu,” kata Salwadi Mamat, 32, bekas anak kapal MT Bunga Melati 2, yang dijadikan tebusan lanun di Teluk Aden, Somalia, Ogos tahun lalu.

Menurutnya, dia kesal kerana terpaksa dibiarkan menunggu untuk mendapatkan haknya seperti dijanjikan bekas majikannya itu.

“Saya kecewa dan bercadang mengemukakan tuntutan saman terhadap mereka dengan bantuan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingan bersama pasangannya, Nor Hasliza Mat Zin, 23, di Kampung Danan Selising, di sini, semalam.

Selepas mengharungi pelbagai dugaan, pasangan itu akhirnya selamat diijab kabul pada majlis yang dilangsungkan dalam suasana serba sederhana di rumah pengantin perempuan.

Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Aidiladha tahun lalu, namun terpaksa menangguhkan hasrat berkenaan apabila kesempitan wang akibat masalah kelewatan pembayaran pampasan terbabit.

Salwadi antara anak kapal MT Bunga Melati 2 yang ditawan sekumpulan lanun di pesisir pantai Somalia, 19 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Nor Hasliza berkata, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada supaya hasrat mendirikan rumah tangga tercapai.

“Selepas mengharungi pelbagai dugaan, saya lega kerana selamat melangsungkan perkahwinan ini. Namun, kami tetap menunggu MISC memenuhi tuntutan suami saya.

“Kami kesempitan wang untuk melangsungkan majlis ini dan terpaksa menggunakan wang simpanan,” katanya.

Sebelum ini, Salwadi berkata, dia masih tidak tahu sama ada wang pampasan itu sudah dimasukkan ke dalam akaunnya atau belum selepas dihubungi syarikat terbabit, baru-baru ini.