Bashir Ishak
KANGAR - Mufti baru kerajaan negeri Perlis, Dr Juanda Jaya, 38, yang akan mulai berkhidmat Februari ini diyakini akan mampu menjalankan tugas dengan baik dan berkesan berdasarkan pengalaman yang ada.
"Ini juga dibantu oleh sikap kepimpinan kerajaan negeri yang ada pada hari ini yang dilihat lebih terbuka dan mesra, tidak terlalu mengongkong dan mencengkam," demikian menurut Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin.
Dalam laman blognya peribadinya Ustaz Zolkharnain melahirkan rasa gembira dengan pelantikan tersebut, sekurang-kurangnya kerana kerusi penting itu tidak dibiarkan kosong terlalu lama.
Katanya, walaupun masih muda, jawatan yang diisi Juanda itu mempunyai beban tugas yang semakin mencabar, kadang-kadang lebih memerlukan adunan dua keupayaan serentak iaitu keupayaan fizikal dan akademik.
Ustaz Zolkharnain menggariskan beberapa mulahazah yang ingin disuarakan kepada mufti baru ini iaitu perlulah mendengar suara semua pihak dan bukan pihak berkuasa yang melantik dan membayar gajinya sahaja.
Selain itu, mufti juga harus mengukuhkan usaha mengikis salah faham kalangan bukan Islam terhadap Islam melalui kegiatan dialog antara budaya.Begitu juga, seorang mufti perlu mengelak ketegangan dalam masyarakat melalui pengiktirafan terhadap perbezaan amalan berdasarkan pegangan kepada mazhab tertentu.
"Peranan mufti juga perlu mencakupi usaha mendekati golongan muda dan mendidik mereka supaya mesra 'orang agama' di samping memberi nafas baru kepada institusi masjid supaya lebih segar melalui penambaikan khutbah dan penjenamaan semula semua aktiviti," ulasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar mufti yang baru ini menjadikan tokoh-tokoh agama tempatan seperti Dr Mohd Arsyad Taib, Dato' Dahlan Mohd Zain, Dato' Ahmad Jusoh termasuk daripada parti pembangkang seperti Ustaz Hashim Jasin, Ustaz Ahmad Ali dan ramai lagi wajar menjadi 'rakan kerja'.
"Tidak menjadi kesalahan kita berbeza pandangan dalam banyak hal, tetapi menjadi suatu kesalahan besar apabila kita tidak mahu bersatu demi kepentingan agama," ujarnya. - azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.