Khamis, 29 Januari 2009

Calon timb presiden enggan kompromi

Muda Mohd Noor


Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan tetap bertanding jawatan timbalan presiden Umno, Mac ini walaupun ada cadangan supaya jawatan tersebut dikompromi di antara tiga calonnya.

"Sebagai calon yang telah dipilih oleh ahli untuk bertanding, tidak ada sebab untuk saya berkompromi atau menarik diri.

"Saya ucapkan tahniah kalau ada yang memberi cadangan untuk berkompromi tetapi saya tidak akan tarik diri. Kalau ada calon lain yang menarik diri, alhamdulillah," kata ketua menteri Melaka.

Beliau diminta mengulas cadangan Umno bahagian Besut yang menyarankan calon-calon jawatan tersebut dan naib presiden Umno supaya berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Ketua bahagian tersebut Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cadangannya akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat - dijadual diadakan minggu ini.

Sebaliknya Mohd Ali berkata, semua calon termasuk beliau ada kelebihan masing-masing dan terpulang kepada ahli untuk menentukan kelebihan mereka.

“Kalau ikut rekod, saya telah berkhidmat dengan parti sejak 1968 di semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hingga pusat," katanya lagi.

Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, cadangan bekas menteri besar Terengganu itu tidak bermakna ia mewakili pandangan majoriti.

Tambahnya, dalam Umno, sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan untuk memantapkan parti.

"Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya menjurus kepada satu cadangan (Idris) sahaja kerana ada pelbagai aspek yang perlu diberikan perhatian," katanya.

Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan seorang lagi calon jawatan nombor dua, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.