MYMETRO
PASIR PUTEH: “Saya bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC) kerana gagal membayar pampasan seperti dijanjikan sebelum ini.
“Saya masih menunggu mereka membayar wang berjumlah RM15,000 terutama selepas semua barangan untuk majlis perkahwinan dan wang tunai dirampas lanun ketika kapal kami ditawan dulu,” kata Salwadi Mamat, 32, bekas anak kapal MT Bunga Melati 2, yang dijadikan tebusan lanun di Teluk Aden, Somalia, Ogos tahun lalu.
Menurutnya, dia kesal kerana terpaksa dibiarkan menunggu untuk mendapatkan haknya seperti dijanjikan bekas majikannya itu.
“Saya kecewa dan bercadang mengemukakan tuntutan saman terhadap mereka dengan bantuan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingan bersama pasangannya, Nor Hasliza Mat Zin, 23, di Kampung Danan Selising, di sini, semalam.
Selepas mengharungi pelbagai dugaan, pasangan itu akhirnya selamat diijab kabul pada majlis yang dilangsungkan dalam suasana serba sederhana di rumah pengantin perempuan.
Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Aidiladha tahun lalu, namun terpaksa menangguhkan hasrat berkenaan apabila kesempitan wang akibat masalah kelewatan pembayaran pampasan terbabit.
Salwadi antara anak kapal MT Bunga Melati 2 yang ditawan sekumpulan lanun di pesisir pantai Somalia, 19 Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Nor Hasliza berkata, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada supaya hasrat mendirikan rumah tangga tercapai.
“Selepas mengharungi pelbagai dugaan, saya lega kerana selamat melangsungkan perkahwinan ini. Namun, kami tetap menunggu MISC memenuhi tuntutan suami saya.
“Kami kesempitan wang untuk melangsungkan majlis ini dan terpaksa menggunakan wang simpanan,” katanya.
Sebelum ini, Salwadi berkata, dia masih tidak tahu sama ada wang pampasan itu sudah dimasukkan ke dalam akaunnya atau belum selepas dihubungi syarikat terbabit, baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.