Sabtu, 18 Oktober 2008

Raja Petra tidak perlu ditahan ISA – Mahathir

Suhaimi Taib


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, pemilik blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin (PRK) dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak perlu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka tidak menimbulkan ketegangan dalam negara.

Beliau berkata adalah tidak benar sekiranya kedua-dua individu terbabit didakwa menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara hanya kerana meluahkan pandangan masing-masing.

Bernama melaporkan, katanya, keadaan sekarang tidak begitu tegang jika dibandingkan pada 1987 yang menyaksikan 106 ahli politik ditahan dalam Operasi Lalang.

Tun Mahathir mengeluarkan pandangan tersebut ketika bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini malam semalam.

Sementara itu, beliau menjelaskan kontroversinya menyertai semula Umno dengan berkata, beliau hanya akan kembali menyertai Umno pada suatu masa yang tepat.

Tun Mahathir yang juga bekas presiden parti itu berkata pelbagai pihak telah berusaha meyakinkan dan memujuknya agar kembali kepada Umno.

"Saya sedang memikirkan untuk menyertai semula Umno, tetapi saya akan menentukan sendiri masa yang sesuai.

"Permohonan (untuk menyertai semula Umno) adalah satu perkara, penerimaan mereka juga harus difikirkan. Jadi saya mahu waktu yang tepat (untuk menyertai semula)," katanya. - mks. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.