Sabtu, 18 Oktober 2008

Pelajar tendang guru, modal insan gagal

Bashir Ishak


KANGAR - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) melahirkan rasa kesal dan terkejut dengan insiden pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini yang didakwa menendang dan memukul seorang guru kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku ke atas ke atas seorang guru wanita, Azahana Ibrahim, 27, yang mengajar pendidikan Sivik di sekolah berkenaan.

Ketuanya, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyifatkan kejadian sedemikian adalah satu tamparan hebat ke atas pembentukan modal insan yang digembar-gemburkan oleh kerajaan Umno-BN selama ini.

"Ini adalah satu contoh yang buruk ke atas pembentukan modal insan apabila para pelajar seawal usia 14 belas tahun (tingkatan) dua sudah menunjukkan ciri-ciri yang begitu kurang ajar apatah lagi terhadap guru yang mendidik mereka.

"Modal insan yang disebut-sebut itu pula lebih mementingkan aspek material berbanding spritual, akhlak dan keagamaan,"katanya mengulas insiden yang berlaku itu.

Menurutnya lagi, kejadian seumpama ini dan banyak lagi permasalahan yang menimpa para pelajar sekolah pada masa ini menunjukkan kegagalan sistem pendidikan negara.

"Sistem pendidikan yang ada sekarang lebih berorientasikan peperiksaan dan gagal melahirkan manusia yang beretika. Walaupun adanya pendidikan moral, namun ianya gagal. Dalam kejadian ini, lebih memalukan apabila yang dipukul oleh pelajar itu ialah seorang guru yang mengajar pendidikan sivik.

"Sekarang sudah sampai masanya sistem pendidikan negara kembali kepada landasan Islam yang memberikan satu penyelesaian untuk umat manusia sejagat. Untuk yang bukan Islam sendiripun, pendidikan moral itu harus diperkasakan,"ujarnya.

Justeru, DPPPs menggesa pihak yang berwajib mengambil tindakan segera keatas kejadian tersebut.

Tengahari semalam, Ustaz Ya'akub bersama-sama Exco DPPPs mengunjungi Azahana di rumahnya di Taman Suriani dekat sini bertanyakan khabar dan melahirkan rasa simapti di atas insiden yang berlaku.

Menurut Azahana, beliau terkejut apabila berita tentang kejadian tersebut mula diketahui para pemberita dan disirkan oleh media.

Jelasnya, beliau melaporkan kejadian di Balai Polis untuk memastikan keselamatan dirinya terjamin.

"Manalah tahu, pelajar berkenaan ada ramai kawan atau saya ditahan ditengah jalan, tapi saya terkejut bila ramai pemberita menghubungi saya dan berita kejadian tersebut pula tersiar di televisyen kelmarin.

"Saya memanggil pelajar berkenaan untuk berbincang bagaimana untuk memberikannya markah selepas lewat menghantar tugasan dan pada belakang kertas folionya pula tertulis perkataan kasar 'gila babi'.

"Dia datang dengan seorang kawan dan selepas ditegur dan dimarahi tentang tugasan dan perkataan kasar itu, berlakulah insiden kekasaran seperti yang dilaporkan media itu," jelasnya.

Laporan Buletin Utama TV3 kelmarin turut memaparkan kejadian itu yang dirakamkan menggunakan kamera video telefon bimbit oleh seorang pelajar kelas terbabit.

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, SMK Perlis terus menjadi tumpuan orang ramai.

Minggu lalu, berlaku insiden di mana lapan orang pelajar Muslim telah terbabit menyertai pancaragam sekolah mengiringi perarakan di Tokong Cina. - mks._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.