UTUSAN ONLINE
PULAU PINANG - "Sudah lima orang maut dilanggar kereta ketika ingin menunaikan solat Jumaat namun sehingga hari ini permohonan kami untuk mendapat masjid yang lebih besar masih tidak diendahkan".
Itulah antara kekesalan yang diluahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sungai Nibong Pantai, Isahak Mohd. apabila permohonan mereka untuk mendapatkan masjid lebih besar menggantikan Masjid Sungai Nibong Besar yang digunakan sekarang tidak mendapat perhatian kerajaan.
Isahak yang lebih selesa dipanggil Pak Leh berkata, permohonan tersebut telah diajukan kepada wakil rakyat yang bersilih ganti sejak lebih 30 tahun dahulu namun janji yang diberi hanyalah 'hangat-hangat tahi ayam'.
Menurutnya, sejak lebih 30 tahun dahulu, jemaah terpaksa menunaikan solat Jumaat di bawah jejantas yang terletak berhadapan dengan masjid itu.
"Saya tidak tahu kenapa permohonan kami sejak 30 tahun lalu tidak pernah ditunaikan oleh kerajaan sedangkan penduduk Melayu yang tinggal di sini merupakan anak jati negeri ini.
"Setiap kali wakil rakyat bertukar kami pasti dijanjikan sesuatu yang positif namun apa yang jelas sampai hari ini jemaah terpaksa solat Jumaat di bawah jejantas," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kariah Masjid itu yang mempunyai kira-kira 7,000 orang kariah, Abdul Halim Musa berkata, mereka menghadapi masalah birokrasi dengan kerajaan apabila setiap kali membuat permohonan mereka terpaksa menyediakan banyak sangat dokumen.
"Setiap kali mohon mereka akan minta banyak sangat dokumen malah sampai tanah pun kami perlu sediakan.
"Tetapi sekarang bila tanah di depan masjid ini boleh digunakan untuk membina masjid baru, mereka sekali lagi memberikan banyak alasan seolah-olah hendak menghalang kami," katanya.
Abdul Halim juga hairan apabila kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi membina Masjid Terapung di Jalan Tanjung Tokong walaupun kariahnya sedikit.
"Kalau RM12 juta mereka boleh bagi di sana kenapa RM2 juta yang kami mohon untuk bina masjid baru di sini sampai sekarang ditolak," tegasnya.
Sementara itu seorang penduduk setempat, Mohamad Husain Sah Nordin, 52, meminta kerajaan mempercepatkan pembinaan masjid di kampung tersebut demi kebaikan semua pihak.
"Sebagai penduduk asal kampung ini, saya amat berharap supaya kerajaan sekarang ini dapat membela nasib kami dengan segera.
"Janganlah bagi pelbagai alasan lagi kerana perkara ini penting untuk memartabatkan agama dan bangsa melayu sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.