Amin Iskandar
Tidak berapa lama selepas Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk tidak mengekalkan jawatan presiden Umno, muncul spekulasi mengenai kebangkitan kembali legasi pemerintahan Dr Mahathir Mohamad melalui kepemimpinan Mohd Najib Razak sebagai perdana menteri yang keenam.
Cakap-cakap ini bukan sahaja berlegar di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan penentang-penentang Umno, malahan ia turut diperkatakan oleh pemimpin Umno sendiri.
Zaid Ibrahim, yang meletakkan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada kabinet Abdullah ekoran penggunaan ISA baru-baru ini, lantang menyuarakan kebimbangan ramai tentang kemungkinan itu.
Menurut peguam itu, jika Najib menjadi perdana menteri, “Mahathirisme” akan kembali di Malaysia. Lebih parah lagi, beliau turut meramalkan bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri de facto di belakang Najib.
Ini kerana ahli parlimen Pekan - yang hanya menang dengan majoriti 241 pada pilihanraya umum 1999 - dilihat sebagai benteng peninggalan Dr Mahathir di zaman pemerintahan Abdullah.
Ketika Zaid masih bersama kabinet, reformasi kehakiman yang cuba dibawanya – sebagai sebahagian projek reformasi perdana menteri – telah ditentang hebat oleh kelompok-kelompok pro-Dr Mahathir yang bernaung bawah payung Najib.
Anak bekas perdan menteri yang kini bakal menduduki jawatan Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir menyerang Zaid secara terbuka di Dewan Rakyat dengan mengatakan menteri de facto undang-undang itu melaksanakan "apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat".
Walaupun reformasi kehakiman direstui oleh Abdullah, ia tetap tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Umno (juak Dr Mahathir) yang jelas menentang segala usaha untuk melaksanakan pembaharuan ke arah memantapkan demokrasi di Malaysia.
Ketika pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, rakyat menyaksikan bagaimana kerasnya beliau apabila berhadapan dengan penentang-penentangnya – sama ada dalam atau luar kerajaan dan partinya.
Dalam Umno, Musa Hitam dan Anwar Ibrahim terpaksa membayar kos politik yang besar sewaktu menjadi timbalannya kerana kekhuatirannya mereka boleh mencabar kedudukan teratasnya.
Hanya pemimpin seperti Abdullah yang boleh mengiyakan apa sahaja tindakan Dr Mahathir sehingga akhirnya berjaya menjadi perdana menteri kelima.
Lagipun kerana Mahathir sedar, jika beliau terus menerajui pemerintahan negara, nasibnya mungkin akan sama seperti apa yang berlaku kepada Soeharto di Indonesia dan Marcos di Filipina – ditumbangkan oleh gerakan rakyat yang menuntut reformasi.
Dalam kalangan penentang-penentang Dr Mahathir di luar Umno, nasib mereka lebih parah lagi.
Pada November 1985, berlaku tragedi Memali di Baling, Kedah yang sungguh menyayat hati. Ibrahim Libya dan tiga belas orang penyokongnya terkorban, manakala 159 penduduk kampung itu ditahan polis untuk menutup tragedi berdarah di kampung terpencil itu.
Dr Mahathir cuci tangan daripada insiden itu, dan sebaliknya menyalahkan Musa, timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri yang berada di dalam negara pada ketika itu. Dr Mahathir berada di luar negara.
Mengenali cara pemerintahan Dr Mahathir, tanpa restunya, tidak mungkin Musa berani mengeluarkan arahan kepada polis untuk bertindak.
Pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis sosial turut menjadi mangsa kekejaman politik Dr Mahathir. Pada Oktober 1987, Operasi Lalang membaham 106 orang, memaksa mereka berdekam bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tokoh-tokoh politik yang menjadi mangsa antaranya Lim Kit Siang, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Lim Guan Eng, Ibrahim Ali, Chandra Muzaffar, Mohammad Sabu, Mahfuz Omar, dan Yunus Ali.
Kestabilan ekonomi sering dijadikan alasan Dr Mahathir menghalalkan tindakan menutup ruang demokrasi – walaupun jelas ia ditujukan kepada pengkritik-pengkritiknya.
Selain Dr Mahathir, Lee Kuan Yew dari Singapura juga turut menggunakan alasan yang sama untuk bersikap kuku besi di republik itu.
Sebenarnya alasan tersebut telah dibuktikan tidak benar di Korea Selatan.
Selepas demokrasi dikembalikan di negara tersebut pada tahun 1987, pertumbuhan ekonomi negara tersebut berjalan dengan rancak.
Kini Korea Selatan boleh berbangga dengan pencapaian ekonominya di Asia kerana berdiri bersama-sama dengan Jepun, Singapura dan Taiwan.
Najib, yang berjinak dengan politik Mahathirisme, adalah tokoh Umno yang mampu untuk menjalankan pemerintahan bekas pemimpin itu.
Oleh kerana anak Razak Hussein itu, bekas perdana menteri, tidak dikenali sebagai seseorang yang mempunyai ideologi atau pemikiran asli, mudah baginya untuk melaksanakan pemerintahan dengan menggunakan nasihat Mahathir.
Sebab itu dalam wawancaranya, Zaid berkata:
Anda mempunyai 22 tahun era Dr Mahathir. Katakanlah Najib bertahan menjadi PM selama 10 tahun, ertinya 32 tahun Malaysia berada bawah Mahathir.
Keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia menolak Barisan Nasional dan menuntut perubahan.
Jika Najib mahu meneruskan era kuku besi ala Dr Mahathir, tidakkah beliau takut dengan kebangkitan rakyat?
Jika Mahathir dan Abdullah selamat daripada diturunkan melalui pilihan(jalan)raya, apakah Najib akan mengulangi nasib Soeharto dan Marcos?
Selain dibelenggu bayang-bayang Dr Mahathir, Najib turut dibayangi oleh imej isterinya Rosmah Mansor – seumpama Imelda Marcos, isteri presiden Filipina yang digulingkan oleh kekuatan rakyat pada 1986.
Imelda terkenal dengan kehidupan bergaya dan pernah dilaporkan membelanjakan USD5 juta ketika membeli-belah di New York, Rom dan Copenhagen pada 1983 di kala majoriti rakyat Filipina dibelenggu kemiskinan.
Imelda juga pernah membelanjakan USD51 juta untuk membeli Crown Building di kawasan mewah Manhattan pada 1980-an.
Rosmah tidak kurang juga hebatnya. Baru-baru ini ahli parlimen Gombak, Azmin Ali membangkitkan di Dewan Rakyat mengenai aktiviti membeli-belah Rosmah ketika berada di luar negara.
Orang rumah Najib dikatakan menggunakan Kedutaan Malaysia di London untuk urusan penghantaran pulang barang-barang tersebut ke Malaysia.
(Najib menafikan dakwaan naib presiden PKR itu)
Rosmah juga tercemar dengan imej kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Raja Petra Kamarudin, yang kini meringkuk bawah ISA, mendakwa sedemikian dalam akuan bersumpahnya tetapi Najib dan Rosmah menafikannya.
Raja Petra yang kini masih dibicarakan dibawah Akta Hasutan kerana menulis artikel tersebut turut ditahan di kem Kamunting, Taiping selama dua tahun.
Jika Malaysia kembali lagi ke era ala Dr Mahathir, rakyat berundur semula ke zaman yang lebih gelap.
Tetapi seorang teman diskusi penulis bersikap positif dalam hal ini. Katanya: “lebih keras penindasan, maka lebih keraslah perlawanan.
“Lebih kuat Najib menekan, lebih cepat Barisan Nasional akan disumbat dalam tong sampah sejarah”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.