UTUSAN ONLINE
KANGAR - Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bersetuju dengan cadangan agar masjid komuniti Cina Muslim didirikan kerana ia boleh membantu golongan Muslim bukan Melayu mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, penubuhan masjid itu adalah langkah terbaik kerana pengurusan masjid yang dikendalikan oleh golongan tersebut sendiri lebih memahami masalah yang dihadapi oleh komuniti Cina Muslim.
Katanya, jika imam-imam masjid itu terdiri daripada Cina Muslim, pengembangan agama Islam menjadi lebih mudah melalui pengunaan bahasa yang mudah difahami.
‘‘Saya telah mencadangkan perkara ini pada Januari 2007 tetapi ia telah ditentang oleh kelompok yang sempit pandangannya, mereka beranggapan Islam di Malaysia mestilah beridentitikan Melayu sahaja.
‘‘Masyarakat Cina Muslim telah lama memohon masjid seperti ini kerana orang Cina yang menganut Islam apabila terputus hubungan dengan masyarakat Melayu seperti bercerai atau bergaduh, mereka ada tempat dituju dan lebih memahami masalah mereka,” katanya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Noordin di Parlimen semalam yang mahukan kerajaan membina sebuah masjid Cina di pusat bandar Kuala Lumpur dengan segala aktivitinya termasuk kuliah dan khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Mandarin.
Dr. Asri berkata, masih terdapat sikap prejudis yang tinggi antara Muslim dan bukan Muslim dalam keadaan tertentu di negara ini walaupun selepas lebih 50 tahun merdeka.
‘‘Orang bukan Islam masih melihat Melayu itu sebagai lambang Islam sehingga perkara negatif yang dilakukan oleh Melayu dikaitkan dengan Islam walaupun perkara itu dilarang oleh agama.
‘‘Mengapa perkara ini berlaku? Ini bermakna dakwah tidak berjalan dengan baik, mesej Islam tidak sampai. Apakah Islam telah maju dalam hal ini dan ke mana perginya bajet besar yang diperolehi badan-badan agama setiap tahun,” katanya.
Beliau juga memuji keberanian Zulkifli bersuara demi menegakkan Islam walaupun terpaksa mengkritik kelemahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dianggotainya dan juga Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, tindakan itu merupakan perkara yang bagus dalam perkembangan politik negara kerana ahli politik mula terbuka dan tidak terlalu taksub dengan politik kepartian masing-masing.
‘‘Saya harap budaya seperti ini berterusan kerana sebelum ini parti pembangkang dan kerajaan takut memberi pandangan yang berbeza atau menyentuh parti mereka, takut dikenakan tindakan.
‘‘Sikap seperti ini yang lebih terbuka dan matang merupakan refomasi yang seharusnya dilakukan oleh setiap ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan, bukan refomasi dalam bentuk lain atau terlalu taksub dengan parti masing-masing,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.