Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.
Pada masa sama beliau berkata harga telur ayam untuk semua gred adalah kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa, lapor Bernama.
Menurutnya keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan yang berlangsung hari ini.
Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata pelaksanaan kedua-dua harga berkenaan akan bermula dari 5 Februari depan sehingga 5 Jun ini.
“Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM dan perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri berkata selain itu, permit import ayam bulat juga dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.
Katanya mesyuarat yang memfokuskan kepada penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kenaikan harga juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar selain turut mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melakukan siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.
Beliau berkata pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) melibatkan 222 Parlimen juga perlu dilaksanakan secara maksimum dengan kerjasama bersepadu melibatkan kementerian-kementerian terbabit bagi membantu Keluarga Malaysia untuk mendapatkan barangan asas pada harga yang lebih murah.
“Pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan. Mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam,” katanya.
Perdana Menteri juga dilaporkan berkata selain itu, permohonan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh juga telah dibuka secara berperingkat mulai 28 Jan lepas.
“Koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga,” katanya.
Selain itu, mesyuarat khas turut membincangkan langkah-langkah jangka panjang yang perlu diambil bagi mengatasi isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.
Antaranya adalah menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam.
Mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian serta jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan untuk dibeli oleh Keluarga Malaysia.
“Pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang,” katanya.
Mengenai mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri berkata ia adalah bagi membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.
“Tindakan proaktif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil,” katanya.
Beliau berkata sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pengangkutan pada mesyuarat itu yang turut dihadiri Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.