Selasa, 1 Februari 2022

Fenomena puting beliung diramal berulang di Pantai Barat Semenanjung

 

Fenomena puting beliung seperti yang berlaku di Perak semalam diramal berulang di beberapa lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung selain Sabah dan Sarawak.

Enam negeri di Pantai Barat Semenanjung terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang, berkata kejadian itu berlaku disebabkan kehadiran awan kumulonimbus yang besar menyebabkan perolakan kuat dalam awan tersebut seterusnya membentuk corong awan di dasar awan itu.

“Kita dapati kebanyakan (puting beliung) berlaku di sebelah negeri di Pantai Barat Semenanjung, selain di Sabah dan Sarawak, yang juga pernah melaporkan kejadian seumpama itu.

“Kebanyakan (yang akan berlaku) di kawasan di persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan perairan Labuan serta Pantai Barat Sabah.

“Kawasan berkenaan sudah melaporkan kejadian puting beliung dan ia akan sentiasa berlaku, apabila keadaan cuaca sesuai (kehadiran awan kumulonimbus),” dipetik BH.

Petang semalam, lebih 300 unit rumah di sekitar bandar Ipoh rosak dipukul ribut dan puting beliung.

Bencana yang berlaku sekitar pukul 6 hingga 6.30 petang dan turut menyebabkan pokok tumbang merintangi jalan dan menghempap kenderaan itu bagaimanapun dilapor tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Mengulas lanjut, Ambun berkata, amat sukar untuk MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di negara ini memandangkan kejadian itu berlaku pada skala kecil dengan jangka hayat yang pendek.

“Puting beliung sebesar ini sekejap saja berlaku. Paling lama pun dalam tempoh sejam. Jadi, tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab itu agak sukar untuk diramal, tetapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar kita yang ada di seluruh Malaysia” katanya.

Ambun berkata, antara tanda awal berlakunya puting beliung ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan menjulur ke bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.