Rabu, 19 Januari 2022

Sebulan selepas banjir, mangsa di Klang masih tunggu bantuan

Taman Klang Utama ditenggelami air pada 18 Dis tahun lepas.

PETALING JAYA: Mangsa banjir, Loganathan Asaithandy, masih menunggu bantuan kerajaan walaupun sudah hampir sebulan air banjir di Taman Klang Utama yang didiaminya surut.

Hujan yang turun pada 17 Dis tahun lepas sangat lebat dan tidak henti-henti, bermula pada sebelah petang dan berterusan sepanjang malam. Menjelang 2 pagi, air naik di rumah Loganathan sehingga mencecah paras lutut.

“Ketika itulah pihak bomba dan penyelamat memberitahu kami supaya berpindah dan kami tiada pilihan selain pergi ke rumah anak saudara saya di Puchong,” kata lelaki berusia 41 tahun itu kepada FMT.

Beliau memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi masih belum mendapat satu sen pun, katanya.

Loganathan Asaithandy.

“Satu hari saya dipanggil ke Pejabat Tanah Daerah Klang. Saya diberitahu agar mengambil wang (bantuan) pada pagi Sabtu, tetapi pada masa itu, saya sibuk dan tak dapat hadir.

“Jadi saya pergi pada hari berikutnya dan bertanya sama ada saya masih boleh mendapatkannya dan mereka berkata, ‘Tidak, sudah terlambat.’

“Mereka memberitahu saya supaya menunggu jemputan lain melalui panggilan telefon atau pesanan teks, tetapi masih belum ada,” katanya.

Beliau layak mendapat RM1,000 daripada kerajaan Selangor dan RM1,000 lagi daripada Putrajaya.

Namun sekali pun ia tiba, wang bantuan tersebut mungkin tidak begitu membantu meringankan bebannya.

“Saya anggar kerosakan yang dialami setakat ini (bernilai) kira-kira RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.

Air naik sehingga paras lutut di rumah Loganathan Asaithandy 
sebelum beliau dan keluarganya dipindahkan.

“Saya kehilangan perabot seperti sofa, almari, meja kopi. Sistem pendawaian mengalami litar pintas, peti ais dan mesin basuh saya rosak. Banyak yang saya rugi.

“RM2,000 itu tidak cukup pun, tetapi sekurang-kurangnya ada. Namun kini, saya hanya tunggu dan tunggu serta berharap mendapat pesanan supaya datang mendapatkannya.”

Menurut Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Loganathan bukan satu-satunya mangsa yang masih menunggu wang bantuan yang dijanjikan kerajaan.

“Saya dengar ada kelewatan. Segelintirnya boleh difahami kerana permintaan untuk bantuan sangat tinggi. Namun secara umumnya, Pejabat Tanah cenderung bekerja perlahan. Jadi keadaan semasa tidak mengejutkan saya,” katanya.

Menurut makluman kerajaan, sebanyak RM61,000 disediakan untuk mangsa, tetapi Santiago berkata, kriteria kelayakan mengecualikan ramai yang terjejas.

“Ada yang memberitahu saya mereka diminta bukti seperti gambar ketinggian air di rumah atau gambar barangan rosak,” katanya.

“Apabila air naik, orang tidak ambil gambar. Orang tidak ambil gambar barangan yang musnah sebelum mereka membuangnya. Terdapat keperluan untuk mengkaji semula kriteria ini.”

Dengan kegawatan ekonomi yang dicetuskan oleh wabak Covid-19 masih mengakibatkan penderitaan, mereka yang terjejas banjir menjadi lebih rentan, katanya.

“Orang ramai kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji dan segelintir mungkin sudah kehabisan wang simpanan,” katanya.

“Kumpulan rentan menjadi semakin besar sekarang dan adalah sesuatu yang tidak digarapi sewajarnya oleh kerajaan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.