Rabu, 19 Januari 2022

Pemandu teksi veteran ‘tercicir’ daripada arus kemodenan e-panggilan

Salah seorang pemandu teksi berbual dengan rakannya sambil menunggu penumpang.

PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi warga emas duduk di hentian teksi dalam keadaan panas di luar Bangsar Village I dengan berbaju putih sambil melihat ke kawasan sekeliling untuk mencari penumpang.

Dia melambai ke arah pemandu teksi lain. Ada yang datang untuk duduk bersamanya manakala yang lain pula berada di dalam teksi masing-masing selepas mematikan enjin dan menurunkan cermin tingkap bagi membolehkan udara keluar.

Bhavin dan rakannya, berusia 70 tahun ke atas, kini hanyut dalam arus perkembangan moden susulan pengenalan perkhidmatan e-panggilan di bandar raya ini.

Ini kerana beberapa syarikat perkhidmatan itu hanya membenarkan individu berusia 21 hingga 69 menjadi pemandu dan mensyaratkan mereka yang berusia 50 hingga 69 lulus pemeriksaan kesihatan.

Bagi Bhavin, 72, agak sukar untuknya mendaftar sebagai pemandu e-panggilan.

“Saya sudah menjadi pemandu teksi selama 50 tahun dan hanya ini sahaja kehidupan yang saya tahu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun mata pencariannya terjejas teruk sejak perkhidmatan e-panggilan diperkenalkan. Penumpang makin sedikit.

Kebiasaannya, dia perlu menunggu sehingga sejam untuk mendapatkan penumpang.

“Cuba lihat pemandu teksi yang berbaris panjang dan berapa ramai penumpang yang ada,” katanya sambil menunjukkan kira-kira 10 teksi yang berbaris.

Jon, seorang lagi pemandu teksi berusia 70-an berkata, sukar untuknya memperoleh RM50 biarpun selepas bekerja lapan jam.

Selepas menolak kos petrol dan makan, dia mungkin hanya mempunyai baki RM10 untuk dibawa pulang kepadakeluarga.

Manakala Hong, bekas penjawat awam berusia 65 tahun berkata, pada hari tertentu dia hanya mampu memperoleh antara RM20 hingga RM30 dan syarikat teksi boleh mengambil komisen sehingga 20%.

“Pada hari begitu, saya perlu menunggu sejam untuk mendapatkan seorang penumpang dan biasanya saya hanya dibayar RM4 bagi perjalanan itu,” katanya.

“Bagaimana untuk bertahan seperti ini?”

Katanya, perkhidmatan pengangkutan pengantara percuma yang disediakan kerajaan turut mengurangkan pendapatannya, walaupun sedar ia adalah inisiatif yang baik khususnya untuk golongan miskin bandar.

Pada Sept 2012, kerajaan memperkenalkan Bas Go-KL City, iaitu perkhidmatan bas pengantara percuma untuk pelancong dan penduduk Kuala Lumpur.

Ia kini diperluaskan ke lima laluan dengan lebih 80 hentian di seluruh ibu kota.

“Saya berharap kerajaan boleh melihat untuk membantu pemandu teksi berbanding memperkenalkan lebih banyak penyedia perkhidmatan e-panggilan,” kata Hong.

Nenurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pada 2019 Malaysia mempunyai 41 syarikat e-panggilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.