Rabu, 19 Januari 2022

Kebakaran padam sepenuhnya selepas hampir 4 hari

KUALA LUMPUR: Kebakaran tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kuala Selangor berhampiran Kompleks Penjara Sungai Buloh, sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya, hari ini.

Ia hasil operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertungkus lumus memadamkan api sejak menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang Sabtu lalu.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata operasi itu membabitkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Petaling Jaya, BBP Sungai Buloh dan BBP Damansara.

"Tapak kebakaran dianggarkan seluas 0.089 hektar. Dalam operasi pemadaman, hari ini, anggota bomba menggunakan dua pam mudah alih dengan tiga aliran untuk menyedut air dari sungai berhampiran.

"Mereka kemudian menggunakan tiga pancutan air untuk memadamkan api di empat tompok kebakaran kecil, dengan dibantu sebuah jentera jengkaut milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, operasi hari ini turut disertai tiga kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Gombak (tiga), serta wakil Kementerian Alam Sekitar dan Air (empat).

"Operasi ditamatkan pada jam 2 petang tadi selepas pemantauan dilakukan selama dua jam bagi memastikan tiada lagi tompok kebakaran dikesan di kawasan terbabit," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.