Rabu, 19 Januari 2022

Fail inkuiri ditutup, Azam Baki akan teruskan tugas sebagai KP SPRM

 

Tan Sri Azam Baki akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak dapat memuktamadkan kesalahan Azam Baki dalam isu pemilikan dua juta unit saham.

Menerusi kenyataan media rasmi SPRM, Azam Baki mengucapkan syukur dan memberitahu bahawa siasatan SC terhadap perkara tersebut telah pun dimuktamadkan.

“Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan. Oleh yang demikian, pihak Suruhanjaya telah menutup fail inkuiri tersebut.

“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, SC berkata pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam Baki.

SC juga telah menamatkan inkuiri dan berdasarkan keterangan yang dikumpul, pihak SC tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku.

Sebelum ini, Azam dalam penjelasannya kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan rasuah (LPPR), beliau memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri. 

Azam kemudian berdepan tekanan hebat untuk meletakkan jawatan dan desakan berehat sementara dari tugasnya untuk memberi laluan kepada satu siasatan telus dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.