KUALA LUMPUR: Kenaikan harga kebanyakan barangan di negara ini adalah akibat dua kementerian tidak dapat mencapai keputusan dalam menangani kekurangan tenaga kerja, dakwa seorang Ahli Parlimen.
Ngee Koo Ham (PH-Beruas) menuduh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebagai punca utama masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini kerana berdolak-dalik mengenai isu itu.
“Inilah sumbangan menteri itu – sehingga harga sayur-sayuran melonjak 100% hingga 200%,” katanya.
Walaupun mengakui ada punca lain menyumbang kepada kenaikan harga barangan, beliau berkata dua menteri terlibat seperti tiada perancangan atau arah tuju untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Beliau memetik sebagai contoh, pemutihan pekerja tanpa dokumen yang dilakukan pada November 2020.
“Program itu tidak difikirkan secara mendalam, manakala terma dan syaratnya dibuat seolah-olah untuk menggagalkannya,” katanya di Dewan Rakyat ketika menghujahkan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 untuk Kementerian Sumber Manusia pada peringkat jawatankuasa.
Antara syarat berkenaan adalah pekerja terlibat mesti sudah mempunyai majikan.
“Jika pekerja itu pendatang tanpa dokumen, bagaimana untuk majikan membuktikan itu adalah pekerjanya?” soalnya.
Beliau menyifatkan syarat yang diletakkan sebagai “tidak logik” dan berkata, negara telah kerugian RM20 bilion setahun berkaitan minyak sawit serta RM2 bilion bagi cukai tahun lalu akibat kekurangan tenaga kerja ini.
“Harga barangan dan sayuran melonjak kerana bilangan pekerja yang tidak mencukupi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.