Ahad, 26 Disember 2021

Proses geologi berantai punca bencana besar di Lembah Klang

Oleh ARIF AIMAN ASROL

IBRAHIM KOMOO

PETALING JAYA: Runtuhan tanah yang menyekat aliran sungai menjadi punca berlakunya banjir luar biasa di Lembah Klang, baru-baru ini sehingga puluhan ribu rakyat terjejas.

Terdapat dua tanah runtuh besar bersaiz 40,000 dan 50,000 meter padu menyebabkan lebih 15 rumah musnah dan 250 penduduk dipindahkan.

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Professor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, ratusan tanah runtuh dan aliran puing bersaiz kecil hingga besar berlaku pada hari sama berlakunya kejadian banjir besar lalu menyebabkan kerosakan.

Menurut beliau, keadaan banjir di luar dugaan dan kerosakan harta benda berleluasa serta angka kematian di Selangor mencacah 46 orang adalah angka terbesar pernah direkodkan dalam sejarah moden negara.

“Hal ini menimbulkan pertanyaan di pihak kami, apakah kemusnahan besar-besaran disebabkan oleh banjir, atau terdapat proses berantai yang bertanggungjawab menghasilkan bencana dahsyat itu.

“Jika kita lihat pada peristiwa banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, kita boleh lihat punca yang sama terjadi.  Bahan puing dan lumpur yang banyak dibawa oleh air banjir mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau memaklumkan melakukan tinjauan bersama Kumpulan Ahli Geologi Negara ke tapak kejadian tanah runtuh di Sungai Pencala dan bannjir besar Sungai Lui, Selangor.

Ibrahim berkata, semasa tinjauan ke Sungai Lui, beliau mendapati kayu kayan  memenuhi jalan tersebut dan menjadi penyebab kemusnahan beberapa buah rumah di kawasan itu.

Jelasnya, terdapat banyak puing masih tersangkut di celah pokok menandakan bahan tersebut yang dibawa oleh air banjir, lumpur dan kayu kayan menjadi penyebab utama kemusnahan di luar jangkaan.

“Kenaikan air yang mendadak juga mungkin berpunca daripada puing yang tersekat membentuk ‘empangan sementara’, pecah menyebabkan luruan air banjir yang besar. Semua fenomena yang kami tafsirkan berdasarkan cerapan lapangan ini perlu diteliti dan disokong dengan kajian lanjutan.

“Kami berpendapat, semua peristiwa banjir besar atau banjir kuning negara mempunyai kaitan rapat dengan gabungan fenomena alam. Hujan lebat berterusan menyebabkan tanah di kawasan pergunungan tepu air dan mudah tergelincir. Oleh kerana kuantiti air yang tinggi di hulu lembah sungai, tanah runtuh bertukar menjadi aliran puing, berikutnya menjadi banjir puing dan disusuli dengan banjir lumpur,” katanya.

Tambahnya, bagi menangani isu bencana alam secara jangka panjang perlu mengenali punca dan jenis bencana, serta mengambil pendekatan pengurangan risiko bencana secara maklum kerana peristiwa tersebut bukan sekadar kerugiian tetapi pengajaran untuk hidup harmoni bersama alam. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.