Ahad, 26 Disember 2021

Empat pegawai kastam terima rasuah dihukum penjara dua tahun

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
EMPAT pegawai kastam yang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun setelah mereka disabitkan dengan kesalahan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap empat pegawai kastam setelah mereka disabitkan dengan kesalahan menerima rasuah bernilai RM22,000, dua tahun lalu.

Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Kamaruzaman Hashim, 41; Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34; Saiful Azhar Ismail, 35; dan Muhamad Izrul Ismail, 30, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama telah menerima sejumlah wang bernilai RM22,000 daripada seorang warga emas berusia 69 tahun yang menyimpan rokok serta mercun belum lulus kastam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang, 21 Mei 2019 di Kampung Namek Tua, Sik dekat sini.

Selain disabitkan dengan kesalahan itu, tertuduh pertama, Kamaruzaman Hashim turut didapati bersalah terhadap satu lagi pertuduhan kerana didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada menantu warga emas tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6.49 petang, 21 Mei 2019 di lokasi sama sebagai ganjaran kerana tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap warga emas berkenaan yang didapati menyimpan rokok dan mercun belum lulus kastam.

Bagi kesalahan itu, Harmi Thamri turut menjatuhkan hukuman dua tahun penjara secara serentak bersama hukuman bagi pertuduhan pertama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Abu Bakar mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 138(1) akta sama.

Sementara itu, kesemua tertuduh pula diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.

Harmi Thamri dalam penghakimannya pula menjelaskan, hukuman tersebut dijatuhkan setelah mengambil kira kepentingan awam yang melebihi kepentingan mana-mana individu selain diharap menjadi pengajaran kepada pegawai kastam dan penjawat awam lain.

Pada masa sama, beliau membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya hukuman tersebut ditangguhkan sementara menanti rayuan di Mahkamah Tinggi.

Selain itu, kadar jaminan terhadap setiap mereka dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin berbanding cuma RM2,000 yang dikenakan sewaktu perbicaraan berlangsung sebelum ini dan kesemua tertuduh juga perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat JKDM terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.