KUALA LUMPUR: Skala dan intensiti banjir yang terlalu besar dan berada di luar ramalan negeri Selangor dalam menghadapi bencana banjir menyebabkan koordinasi penyelamatan mangsa banjir di negeri itu berhadapan kesulitan pada peringkat awal.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata persediaan menghadapi bencana banjir dibuat dua bulan awal menerusi mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana pusat dipengerusikan Perdana Menteri pada September lalu.
"Jangkaan setiap tahun kita tahu musim tengkujuh di negara ini adalah pada setiap hujung tahun, mulai Oktober atau November dan pada mesyuarat itu, segala data dan persediaan di peringkat negeri dibincangkan.
"Segala data berkaitan teknikal sebagai contoh data cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), jalan raya yang sering terkesan atau cerun yang bahaya, dibentangkan jabatan berkaitan bersama ramalan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program wawancara Malaysia Petang Ini (MPI) dengan topik Pengurusan Bencana yang disiarkan di BERNAMA TV, petang tadi.
Kata Aminuddin, tumpuan persediaan bencana banjir semasa mesyuarat adalah di negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu yang berhadapan banjir setiap tahun.
"Menurut METMalaysia, sepatutnya trend bencana pada tahun ini merujuk kepada bencana pada tahun lalu, maka segala persiapan yang dibuat kita rujuk kepada tahun lepas, maka itulah ramalan kita.
"Dalam masa sama, jawatankuasa bencana negeri akan membincang, membuat persediaan negeri masing-masing berdasarkan keputusan peringkat pusat dan mengikut sumber dan data yang mereka ada dan segala persiapan yang perlu dibuat," katanya.
Selain itu, katanya persediaan juga dibuat berdasarkan input yang diterima daripada setiap daerah serta negeri menerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri masing-masing berhubung situasi dan ramalan bencana banjir yang dijangka berlaku.
Jelasnya, negeri di Pantai Timur membuat simulasi persediaan banjir lebih terkehadapan kerana biasa berlaku banjir, lebih-lebih lagi dalam situasi 'bencana dalam bencana' iaitu pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
"Namun kita tidak menjangka ia akan berlaku di tempat lain dan apabila ia berlaku di negeri Selangor yang mana mengikut data yang dibekalkan MET Malaysia, kadar hujan untuk satu bulan turun dalam satu hari, ia amat mengejutkan.
"Bagaimana mantap pun persediaan yang dibuat tetapi ramalan hujan itu tidak dapat kita anggarkan pada masa tersebut, air naik dengan cepat dan pada mula masing-masing menjangka ia hanya banjir kilat tetapi sebaliknya berlaku dan banjir berlaku secara serentak," katanya.
Tambahnya, air naik mendadak secara serentak di kawasan yang penduduknya amat padat, maka respon awal yang dapat dilaksanakan tatkala itu adalah mengikut kapasiti yang sedia ada pada masa itu.
"Bukan tiada persediaan dibuat di negeri Selangor, tetapi semasa banjir berlaku, penumpuan persediaan kita adalah di Pantai Timur yang mana, Pahang kini pun sedang berhadapan banjir teruk.
"Justeru, aset-aset yang digerakkan ke negeri-negeri yang tidak mengalami banjir sebelum ini, barulah kita gerakkan ke negeri- negeri yang dilanda banjir," katanya.
Katanya lagi, sebaik berlaku banjir, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKPK) diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengkoordinasi pengurusan bencana di lokaliti terbabit dan urusan penyelamatan oleh pasukan berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.