JOHOR BAHRU: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada berusia lebih 10 tahun kuno dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.
Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat JPJ Johor hari ini turut menegur agensi kerajaan tersebut agar memantau kesesakan yang berlaku di ibu pejabatnya, khususnya pada hari Ahad.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai terpaksa membuang masa dengan beratur panjang dan berjemur di bawah terik matahari.
“Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan ‘queue’ yang panjang.
“Ada yang beritahu Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pejabat Pos, selain ada yang mempersoal sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.
“Selain itu, daripada empat mesin cetak LMM yang dibekal Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini. Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM,” katanya dalam laman Facebook miliknya di sini hari ini.
Tambah Ka Siong, beliau membuat kesimpulan bahawa sistem JPJ agak ketinggalan dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.
“Saya akan cuba sedaya upaya
mengimbangi jurang antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang
penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar,
menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,” ujarnya. – UTUSAN
ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.