Ahad, 28 November 2021

‘Abang kawasan’ ganggu kerja naik taraf Sungai Segget

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

SENIBINA unik yang bakal mengubah pemandangan laluan pejalan kaki di Jalan Wong Ah Fook di tengah pusat bandar raya yang terlibat dalam Projek Landskap Sungai Segget di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU: Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook yang sudah memasuki fasa akhir di bandar raya ini berisiko mengalami kelewatan gara-gara diganggu pihak tertentu atau ‘abang kawasan’.

Timbalan Presiden Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ahmad Faizal Ismail berkata, perkara itu sudah berlaku sejak awal projek itu dijalankan sejak tiga tahun lalu namun ia semakin kerap setelah hampir siap.

Katanya, masalah tersebut dilalui oleh pihak subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengindahkan kawasan itu setelah terdapat pihak tertentu datang meminta duit untuk perlindungan dan sagu hati.

“Mereka tahu projek ini sangat strategik dan terletak di tengah-tengah bandar Johor Bahru. Oleh itu, mereka cuba ambil kesempatan, subkontraktor dan pekerjanya diperas ugut oleh kumpulan sama. Sekiranya tidak berbuat demikian, mereka akan ganggu kerja-kerja yang dibuat serta melakukan vandalisme di kawasan itu.

“Saya tidak pasti sama ada subkontraktor akur dengan permintaan mereka, namun hingga kini tidak ada kerosakan dan kebinasaan yang dilakukan. Jadi, kami harap polis dapat campur tangan dalam permasalahan ini,” katanya ketika sesi soal jawab pada Program Perbincangan Town Hall di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Larkin di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman. 

Ahmad Faizal berkata, dia bercakap demikian mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim yang tidak dapat hadir ke program itu dan menggunakan medium itu untuk menyuarakan kebimbangan mereka sambil berharap Polis Johor dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya kerja-kerja dapat dilakukan tanpa gangguan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.