Oleh Athirah Huda Zalhe
Rakyat mahu kerajaan stabil roh perjuangan, cintakan Islam
BANGI – Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diasaskan kerajaan Pusat dipercayai menjadi punca pemimpin parti tamak haloba DAP, Nga Kor Ming bebas bersuara untuk mencipta provokasi yang mengganggu keharmonian negara dan perpaduan rakyat.
Apatah lagi, Setiausaha Agung parti itu juga didapati sering mencetuskan pelbagai isu kontroversi lain sebelum ini, yang jelas mewakili suara gerakan ekstremis, DAP.
Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan tidak menafikan, ‘pelakon’ politik terbabit bijak menggerakkan agendanya melalui kenyataan bersifat rasis, namun pada masa sama DAP bekerja keras mendekati dan memenangi hati rakyat.
“Konsep ini akan menyukarkan gelombang kebencian dan penolakan rakyat kepada DAP dan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH). Mereka sering bersikap seperti suci dalam debu.
“Setiap kali mereka mempertikai hak Islam atau Melayu, masyarakat seolah-olah segan untuk membantah dan hati rakyat seolah-olah cair dengan janji dan pujuk rayu PH,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Malah, Fahmi mendakwa, kerajaan juga seolah-olah tunduk dan menyepi tanpa sebarang tekanan serta sekatan yang dibuat terhadap semua provokasi yang dicetuskan.
“Saya boleh katakan kerajaan terlalu takut untuk bertindak, semacam lembu ditusuk hidung. Apa lagi yang boleh rakyat harapkan daripada kerajaan.
“Rakyat bukan sekadar mahukan kerajaan yang stabil tetapi subur dengan roh perjuangan dan cintakan Islam serta ketuanan Melayu membangun semula peradaban membina negara berdaulat,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kor Ming yang membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi bukan dalam aksara Cina.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu menggesa kerajaan Pusat menghormati identiti budaya SJKC dan mendakwa isu papan tanda terbabit bertentangan dengan slogan ‘Keluarga Malaysia’.
Ini bukanlah pertama kali Kor Ming mengeluarkan kenyataan yang lantang menolak tulisan Jawi, malah pernah mencetuskan kontroversi lain termasuklah cadangan mengenai status Bumiputera dan melabel kerjasama UMNO-PAS seperti Taliban jika kedua-dua parti itu membentuk kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.