Selasa, 30 November 2021

Gagal turun harga, 4 pemborong ayam terima surat pemberitahuan

Ainul Illia

Kenaikan harga sayur bersifat sementara, dijangka turun selepas cuaca bertambah baik

KUALA TERENGGANU – Empat kertas siasatan dibuka ke atas pemborong ayam atas kegagalan menurunkan harga pada paras ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, harga maksimum ayam yang diperiksa ialah RM10.50 sen sekilogram, manakala harga minimum ditetapkan RM8.80 sen sekilogram.

“Rata-rata mereka memaklumkan kenaikan harga telur ayam ketika ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam dan kos ditanggung oleh pengeluar telur.

“Selain itu, kenaikan harga sayuran pula adalah disebabkan keadaan cuaca penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan akibat kerosakan hasil pertanian,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan harga sayuran adalah bersifat sementara dan dijangka mengalami penurunan semula selepas keadaan cuaca bertambah baik.

Empat pemborong ayam itu adalah daripada sebanyak 41 peniaga peringkat borong dan runcit yang turut diberikan surat pemberitahuan mengikut surat pemberitahuan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011.

“Hasil pemantauan kami, bukan semua pasar awam dan pasar raya menaikkan harga sayur. Masih terdapat peniaga menjualnya dengan harga murah,” katanya.

Beliau memaklumkan, seramai 116 anggota dan pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi membuat pemeriksaan harga dan bekalan di seluruh negeri berserta 59 Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk memantau harga barangan keperluan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna disarankan untuk berbelanja secara bijak dengan memilih premis yang menawarkan barang pada harga berpatutan.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi Price Catcher yang disediakan pihak KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan atau tempat tinggal masing-masing.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google PlayStore dan Apple AppStore secara percuma,” katanya.

Pada masa sama, Saharuddin berkata, KPDNHEP Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.