Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
SEPANG – Orang ramai boleh mendapatkan kit ujian kendiri Covid-19 dengan harga serendah RM6.90 seunit di sesetengah pasar raya terpilih termasuk KK Supermart.
Harga tersebut adalah inisiatif pengusaha pasar raya itu namun, penentuan harga siling baharu belum diumumkan lagi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebelum ini harga runcit maksimum bagi setiap satu set kit ujian kendiri Covid-19 adalah RM19.90 atau melalui harga borong RM16 seunit serta dijual di farmasi.
“Malah, ia juga pernah dijual pada harga RM30 atau lebih sehingga RM40 seunit. Dengan usaha kerajaan, harga siling ditetapkan bagi kit ujian tersebut jadi dengan adanya persaingan, dengan sendiri harga akan turun di peringkat runcit.
“Bagaimanapun, kita akan turunkan (harga siling) ke satu tahap. Buat masa sekarang tak boleh umum kerana kita perlu meneliti secara menyeluruh supaya adil untuk semua pihak,” katanya pada sidang akhbar pelancaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 bawah paras RM10 seunit dan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 di Gateway @ KLIA2 di sini hari ini.
Sempena pelancaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 itu juga, KK Supermart menawarkan harga serendah RM6.60 seunit untuk hari ini berbanding harga biasa RM6.90 seunit.
Dalam pada itu, beliau berkata, paras harga siling yang baharu bagi kit ujian kendiri Covid-19 akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia ditentukan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan pengguna dan peniaga.
“Ini berikutan ada peniaga yang perlu mengimport kit ujian kendiri tersebut dari negara lain.
“Kita tengok paras (harga siling) boleh letak untuk memastikan pengguna boleh membeli mengikut kehendak dari segi jenama dan kualiti di mana mereka boleh membuat pilihan,” katanya. – K! ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.