Selasa, 2 November 2021

Boleh jual arak hingga 9 malam sahaja – DBKL

 Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

 

PETALING JAYA – Bermula hari ini, semua pemborong dan peruncit minuman keras di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya dibenarkan menjual bahan itu bermula dari pukul 7 pagi sehingga pukul 9 malam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, bagi premis yang di kategorikan sebagai Rumah Awam Kelas 1 (Pub/Bar/Lounge/ Restoran) kebenaran diberikan bermula dari pukul 10 pagi sehingga pukul 12 tengah malam.

Bagaimanapun kata DBKL, pemohonan lanjutan masa Lesen Minuman Keras (LMK) boleh dipohon berpandukan had masa aktiviti hiburan atau ketetapan di zon pusat hiburan yang telah diluluskan dan
maksimum sehingga pukul 2 pagi.

“Bagi pemegang Lesen Sementara, kelulusan akan dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Eksais (Penjualan Liquor) 1977 Akta Eksais 1976,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut DBKL berkata, beberapa syarat lain turut dikenakan antaranya, premis perniagaan tidak boleh berhadapan atau dalam lingkungan jarak 100 meter dari balai polis, rumah ibadah, sekolah, hospital dan rumah kediaman.

“Premis perniagaan mestilah mempamerkan lesen sepanjang masa serta kod QR di pintu masuk premis iaitu kod biru boleh dihidangkan di premis perniagaan, manakala kuning dibawa pulang sahaja.

“Pemohon atau pemegang LMK hanya dibenarkan kepada orang bukan beragama Islam dan pemilik premis serta majoriti Ahli Lembaga Pengarah (Syarikat) mestilah terdiri daripada orang bukan beragama Islam,” ujarnya.

Tambah DBKL, antara syarat lain adalah pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan tiada pengunjung berumur di bawah 21 tahun dan tiada pengunjung beragama Islam minum minuman keras.

Jelas DBKL lagi, papan kenyataan mengenai larangan ini hendaklah dipamerkan di hadapan pintu masuk premis.

“Penjualan minuman keras dalam bentuk ‘sachet’ juga adalah dilarang sama sekali dan pemilik premis perlu memastikan kebersihan premis sentiasa dijaga serta tiada pencemaran bunyi bising.-K! ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.