Jumaat, 29 Oktober 2021

PRN Melaka: "Elok semua parti bertanding guna logo Pas" - Tuan Ibrahim

Fareez Azman
PRN Melaka: "Elok semua parti bertanding guna logo Pas" - Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis mencadangkan agar semua parti yang akan bertanding di PRN Melaka kelak menggunakan logo parti berkenaan. - Gambar fail
 
MELAKA: Ketika persoalan dengan pihak mana Pas akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan sama ada di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO atau kekal dalam Perikatan Nasional (PN), ada ‘idea’ baharu yang dicetuskan pimpinan parti itu.
 
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis mencadangkan agar semua parti yang akan bertanding di PRN Melaka kelak menggunakan logo parti berkenaan.
 
"Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan Pas, elok kalau kita gunakan satu logo iaitu logo Pas dalam PRN Melaka nanti. Fikir-fikirkan," kata Tuan Ibrahim dalam entri terbaharu di laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
 
Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek menjelaskan, keputusan berhubung tawaran UMNO untuk memperkukuhkan MN akan dibuat oleh Pas Pusat pada Ahad ini.
 
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada UMNO kerana sedia bekerjasama dengan Pas.
 
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada PRN Melaka.
 
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan MN dalam menghadapi PRN Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.