Khamis, 26 Ogos 2021

PM umum pembentukan kabinet jam 11 pagi esok

 MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembentukan kabinetnya pada jam 11 pagi esok (Jumaat), kata pejabatnya.

Sementara itu, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri akan berlangsung pada hari Isnin depan pada jam 2.30 petang.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Ismail Sabri akan mengumumkan senarai kabinetnya, petang ini selepas senarai cadangannya mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota jemaah kabinet baru itu semasa sesi menghadap di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, pagi tadi.

Sebelum ini terdapat banyak kegiatan lobi-melobi untuk jawatan kabinet oleh pelbagai pihak - umpamanya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meminta untuk mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri kedua untuk diisi oleh ahli parlimen Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula mencadangkan timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan dilantik sebagai menteri kewangan dalam kabinet Ismail Sabri.

Sementara itu, sumber-sumber Umno dan Bersatu pula mendakwa bahawa Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri bersama penyokongnya jika tidak dijadikan timbalan perdana menteri. 

Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham menafikan laporan itu dan berkata ia adalah "sama sekali palsu, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab".

Terdapat juga beberapa jangkaan bahawa kabinet Ismail Sabri tidak akan terlalu berbeza dengan kerajaan Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Star Online sebelum ini melaporkan senarai kabinet itu sepatutnya dipersembahkan semalam tetapi ditangguhkan ke hari ini, memandangkan Yang di-Pertuan Agong tidak berada di Kuala Lumpur.

Ia juga melaporkan bahawa perdana menteri diminta memuktamadkan senarai kabinet sebelum sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos.

Selepas senarai kabinet itu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, majlis angkat sumpah dijangka diadakan secepat mungkin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.