Khamis, 26 Ogos 2021

Antara 114 Ahli Parlimen, takkan Azmin paling layak dilantik TPM?

 Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Parti seolah-olah ‘miskin tegar’ pemimpin berwibawa

BANGI Kini berlegar desas-desus nama pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hakikatnya, jika ura-ura itu tepat, lantikan dibuat bukan berdasarkan keperluan negara, sebaliknya hanya untuk membalas budi dan kelangsungan kuasa semata-mata.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim yakin rakyat pasti mempersoalkan alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebalik lantikan itu.

“Apakah pendekatan yang diguna pakai oleh YAB Perdana Menteri, adakah pendekatan membalas budi atau melihat kepada ketinggian kredibiliti Ahli Parlimen itu sendiri. 

“Kalau sekiranya perlantikan tersebut kerana membalas budi, maka inilah penyakit sebenar yang sedang dihadapi oleh parti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jelasnya, parti yang ketandusan pemimpin berwibawa dan hanya mampu menonjolkan pemimpin yang bermasalah membuktikan bahawa ia adalah satu parti ‘miskin tegar’ pemimpin berwibawa.

“Di antara 114 Ahli Parlimen yang telah menyokong Datuk Seri Ismail Sabri, apakah Azmin yang paling layak untuk menggalas tugas TPM?,” soalnya lagi.

Malang andainya berlaku, ia bermakna pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti rakyat mesti memilih calon yang berwibawa. 

“Rakyat perlu memilih muka baharu yang mampu membawa nafas politik segar dan mampu membina semula negara ini. 

“Pemain-pemain politik lama perlu rakyat rehatkan.

“BERJASA tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa lantikan jemaah menteri mesti dilantik berdasarkan keperluan negara. Negara sangat penting ditadbir urus oleh MP yang bersih berintegriti dan berwibawa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Azmin Ali kini menjadi pilihan utama dalam Bersatu untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut satu sumber, faktor utama yang menjadi pertimbangan ialah beliau telah berjaya mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen Bersatu.

Selain Azmin, nama yang turut disebut-sebut sebagai calon ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.