Rabu, 30 Jun 2021

Perlis, Kelantan dan Terengganu dapat kelonggaran masuk Fasa 2 minggu depan

Perniagaan kedai gunting rambut antara senarai positif sektor ekonomi di bawa Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

TIGA buah negeri iaitu  Perlis, Terengganu, Kelantan serta beberapa buah negeri lain yang mencatatkan kes jangkitan harian Covid-19 yang rendah dijangka beralih ke Fasa 2 Perintah Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara seawal minggu depan.
 
Menurut sumber, peralihan kepada fasa seterusnya itu dibuat menggunakan nilai ambang negeri-negeri tersebut yang menyaksikan penurunan ketara kes penularan harian.
 
Pada masa ini Perlis mencatatkan lima kes, Putrajaya (11), Terengganu (20) manakala Labuan (132), Pulau Pinang (131), Perak (137 ) dan Kelantan (159).
 
Selangor masih lagi mencatatkan kes jangkitan tertinggi dalam negara sejak seminggu lalu dan hari ini sahaja sejumlah 2,836 kes direkodkan.
 
Menurut sumber, beberapa laporan terperinci berhubung perkara tersebut telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak minggu lepas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkatakan 
sesuatu kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy 
Jamaluddin ketika melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) 
Sunway Convention Centre, Petaling Jaya 27 Jun lalu. 
GAMBAR: Abd Razak Aid


“Keputusan ini dibuat bagi berlaku adil kepada negeri-negeri yang menunjukkan perkembangan positif sepanjang berada dalam fasa pemulihan dengan mematuhi segala penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).
 
“Dengan keputusan ini negeri-negeri berkenaan tidak lagi terhalang untuk beralih ke fasa berikutnya hanya kerana kes-kes yang masih tinggi di negeri Selangor,” kata sumber itu lagi.
 
Mengenai kes-kes di Selangor yang masih tinggi, sumber tersebut memberitahu, Perdana Menteri telah mengarahkan agar satu strategi khusus dilaksanakan di negeri tersebut bagi memastikan lengkung pandemik dapat dilandaikan pada kadar segera.
 
Sumber tersebut memberitahu, kerajaan sentiasa meneliti laporan berhubung pandemik ini yang disediakan oleh agensi-agensi terlibat dan keputusan peralihan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua dibuat berdasarkan data-data mutakhir yang dikumpul di peringkat negeri dan nasional.
  
“Ini satu pendekatan yang adil dan praktikal. Negeri-negeri yang telah menunjukkan perkembangan positif berdasarkan tiga indikator ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara boleh beralih kepada fasa seterusnya,” kata sumber itu lagi.
 
Sumber tersebut menambah, pendekatan ini merupakan satu bentuk galakan kepada negeri lain untuk terus berusaha meningkatkan pematuhan SOP supaya boleh segera beralih kepada fasa lain.
 
Bagi negeri yang masih tinggi kes jangkitan harian kata sumber itu, penguatkuasaan SOP yang lebih ketat perlu dilaksanakan untuk mengekang dan mengawal penularan virus ini.
 
“Langkah ini akan membolehkan negeri-negeri tersebut mencapai nilai ambang yang disasarkan dan beralih kepada fasa-fasa lain yang memberi lebih kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani kehidupan seharian serta meneruskan aktiviti ekonomi dan sosial sebagaimana ditetapkan,” katanya.
 
Menurut sumber itu lagi, penetapan nilai ambang dalam Pelan Pemulihan Negara juga memberi panduan yang lebih jelas kepada kerajaan untuk mengambil langkah , pendekatan dan strategi yang tepat mengikut keperluan sesebuah negeri.

Baca artikel berkaitan: Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara bersambung, lebih banyak bantuan akan diumum – Muhyiddin

Daripada kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiga hari lalu, jika beralih kepada Fasa 2, senarai positif sektor ekonomi boleh diperluaskan kepada perniagaan kedai buku dan alat tulis, gunting rambut (gunting sahaja), cuci kereta, barangan elektrik serta kedai komputer dan telekomunikasi.

Berdasar kenyataan Ismail Sabri itu, dalam Fasa 2 juga, pasar tani dibenar dibuka selain pasar pagi tetapi pasar malam masih belum dibenarkan sehinggalah sudah beralih Fasa 3.

Di bawah Fasa 3, dine in terhad kepada dua orang akan dibenarkan manakala semua aktiviti ekonomi dibenarkan kecuali berisiko tinggi seperti spa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.